Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa kenyataannya "tembak dulu" merujuk kepada kes lima suspek ditembak mati oleh polis di Pulau Pinang pada 19 Ogos.

zahid hamidi astro awani 101011"Saya merujuk kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang di mana lima (suspek) penjenayah telah dibunuh oleh pihak polis, kerana menurut maklumat risikan, mereka itu ada senjata.

"Dan saya menyatakan bahawa apa yg dinyatakan oleh seorang timbalan menteri adalah tembakan amaran dahulu baru tembakan yang sebenarnya.

"Saya fikir itu bukan SOP yang ada pada pihak polis sebab semua (suspek) penjenayah ada senjata.

"Adakah pihak polis hanya boleh mempertahankan diri apabila telah ditembak? Kalau begitu keadaannya, tentu ramai polis yang mati disebabkan oleh tindakan yang demikian.

"Apa yang telah saya nyatakan (di Melaka) itu ialah soal kesiapsiagaan polis kerana maklumat awal melihat bahawa penjenayah mesti dibanteras.

"Bagi saya tidak timbul tembak dulu baru tanya. Itu satu kenyataan liar yang dibuat oleh mereka," kata Zahid.

Berikutan ini, penemubual itu meminta pengesahan sama ada kejadian menembak itu berlaku selepas risikan maklumat itu "100 peratus" pasti bahawa mereka bersenjata, dan Zahid menjawab dalam afirmatif.

Zahid berkata beberapa suspek penjenayah daripada kumpulan yang telah ditembak di Pulau Pinang, telah melarikan diri ke Perak tetapi satu operasi terhadap mereka terpaksa dibatalkan kerana ada kehadiran wanita dan kanak-kanak.

"Tindakan tidak dilakukan, sebab kita tidak mahu ada collateral damage kepada yang lain-lain.  Itu kita tidak highlight. Kalau kita highlight, mereka akan spin kepada perkara yang lain," katanya dalam satu temubual dengan Astro Awani semalam.

Cabaran kepada Majlis Peguam

Ahmad Zahid berkata, konteks yang beliau nyatakan itu akan menjadi jelas sekiranya portal berita tertentu menerbitkan keseluruhan ucapan kontroversi itu.

Zahid merujuk kepada laporan Malaysiakini pada hari Isnin mengenai ucapannya pada hari Sabtu di Melaka di mana beliau mengarahkan wartawan supaya jangan melaporkannya, dan beliau mengancam untuk menutup mana-mana akhbar yang tidak mematuhinya.

Dalam ucapannya, Zahid berkata, orang Melayu sering menjadi mangsa jenayah dan bahawa "cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu".

Bahagian ini boleh didengarkan di sini, manakala rakaman penuh ucapan tersebut boleh didengar di sini.

Walaupun Zahid tidak menyatakan secara jelas pada masa itu bahawa kenyataan "tembak dulu" itu merujukkan kepada kes di Pulau Pinang,  beliau menyambung dengan mengkritik Timbalan Menteri P Waythamoorthy kerana mendakwa bahawa polis sepatutnya melepaskan tembakan amaran terlebih dahulu

Bagaimanapun, Zahid mendakwa dalam temubual dengan Astro Awani itu bahawa kritikannya terhadap Waythamoorthy dan kenyataan "tembak dulu" itu berkaitan.

Dalam temubual itu, Zahid juga mencabar Majlis Peguam untuk mengambil tindakan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.