Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 2, 2014

Memalukan: Bila Ramai Yang Tak Reti Bahasa......

Mengkritik parti dan pemimpin bukan bermakna menghina bangsa dan agama
Viktor Wong10:00AM Mac 02 2014

SUARA LANTANG: Sejak 2008, terdapat pelbagai insiden serta dakwaan bahawa sesuatu bangsa dan agama dihina serta diganggu gugat.
Terbaru, situasi tersebut menjadi kian buruk, sehingga apabila seseorang mengkritik pemimpin atau satu parti politik, dia akan dituduh menghina satu bangsa dan agama atau mungkin juga mencabar hak istimewa sesuatu bangsa.
Kita tertanya-tanya mengapa landskap politik negara telah berubah menjadi begini buruk. Mengapa politik perlu ganas, bersifat rasis, mengancam dan penuh rasa dendam? Mengapa politik berunsur dendam kesumat menjadi semakin jelas? Kita bertanya perkara ini kepada ahli politik hampir saban hari.
Malaysia telah mengecap kemerdekaan selama lebih 56 tahun dan hari ini, negara wajar membangun, bertamadun dan matang dari aspek politik, sosio-ekonomi, hak asasi manusia dan sebagainya.
Malang sekali, apa yang diperhatikan kini ialah politik dan ekonomi yang semakin merudum, hak asasi terhakis dan kebebasan akhbar dan hak bersuara disekat secara sengaja.
Apa yang menyebabkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat semakin terjejas ialah kehendak politik kerajaan yang ada, serta parti pemerintah yang telah berkuasa selama 56 tahun. Ia gagal menangani masalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan lemah dari segi pentadbiran, pimpinan, kronisme, nepotisme dan lain-lain.
Kerana itu, pemimpin parti pemerintah, pemimpin kerajaan dan kerajaan kita sentiasa diperkecilkan dan dikritik akibat gagal mengambil tindakan dan lemah di dalam urus tadbir negara. Pemimpin ini serta parti mereka dijadikan jenaka di dalam bentuk kartun, lukisan mural dan terbaru klip video.
Namun, kritikan tidak dijawab, dianalisa atau dibuat penambahbaikan bagi mengekang kelemahan atau menjadikan keadaan semakin elok. Bahkan, pengkritik dan oposisi dituduh menghina sesuatu bangsa dan agama. Senario semakin meruncing apabila Raja-Raja dilibatkan di dalam kancah politik bagi memendam suara pengkritik.
Tidak kira bertapa merepek alasannya, pihak rasis dan ekstremis agama akan mencari jalan sebagai justifikasi tindakan mereka mempertahankan pemimpin yang tidak mempunyai prestasi cemerlang bagi menerajui negara atau parti sendiri.
Soalnya, jika Perdana Menteri kita, yang juga presiden Umno serta pengerusi Barisan Nasional sering dikritik, dijadikan bahan jenaka kerana tidak bertindak menangani isu berhubung rakyat dan negara, adakah kita dianggap menghina Melayu secara keseluruhan, agama Islam atau Yang Di-Pertuan Agung hanya kerana Perdana Menteri seorang pemimpin parti Melayu yang mendominasi Barisan Nasional dan hanya kerana beliau dilantik dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agung? Masuk akalkah?
Ya, walaupun tidak masuk akal dan aneh, pihak rasis serta kumpulan ekstremis ini bertegas bahawa mereka mempertahankan pemimpin, agama, bangsa, serta kedaulatan Raja-Raja. Mereka sebenarnya menanam kebencian, keganasan dan membuat ancaman di atas nama bangsa, agama dan Raja-Raja.
Di dalam keadaan ini, adakah perdana menteri hanya pemimpin satu kaum, satu agama dan hanya bertanggungjawab ke atas Raja-Raja? Beliau bukan pemimpin semua rakyat Malaysiakah?
Berbalik kepada pihak rasis dan kumpulan ekstremis yang menyemai segala politik kotor yang tidak bersifat Islamik, di manakah elemen menghina Melayu, Islam serta Raja-Raja? Beri bukti kepada kami.
Jika pihak rasis dan kumpulan ekstremis boleh mengancam kita agar jangan mencabar mereka, elok kita beri peringatan bahawa di Malaysia, demokrasi diamalkan, maka Perdana Menteri serta pimpinan kerajaan akan dinilai rakyat dan kritikan akan dilemparkan ke atas tindakan serta gaya hidup mereka.
Apa sahaja yang berlaku, politik negara berkisar tentang bagaimana demokrasi boleh bergerak selari dengan realiti dan mencapai kematangan. Ia langsung tidak berkisar tentang bangsa, agama atau pemerintah tradisi.
Hakikatnya, perdana menteri, kerajaan dan gabungan parti pemerintah ini telah sengaja menyebabkan kita gagal.
Viktor Wong, merupakan penganalisa sosio-politik yang mahu Malaysia yang lebih baik, ditadbir kerajaan yang bersih dan menghormati rakyat, hak asasi manusia, serta berpegang kepada undang-undang serta tidak memainkan isu bangsa, agama dan Raja-Raja.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa