Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau kelihatan mewah kerana memakai perhiasan yang dihadiahkan oleh para tetamunya, demi menjaga hati individu berkenaan.

Katanya, tidak manis sekiranya pemberian mahal ditolak, dan ia menjadi pembaziran sekiranya barang kemas tersebut, termasuk cincin, jam dan perhiasan diri itu disimpan dalam peti besi.

"Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan berasa kecil hati," katanya.

Rosmah dalam buku biografinya terbitan Yayasan Amanah Perdana itu juga mendakwa tidak mahu bermegah-megah dengan pemberian tersebut.

"Takkanlah saya mahu menghebohkan kepada semua orang bahawa orang itu beri saya jam, orang itu beri saya beg tangan dan sebagainya. Itu sudah riak namanya, seperti mahu menunjuk-nunjuk," katanya.

Jelasnya, sebagai isteri perdana menteri mahu kelihatan kemas dan terhias apabila mengenakan perhiasan berkenaan, yang turut melibatkan barangan yang dibelinya sendiri.

"Saya tidak mahu kelihatan selekeh kerana apabila saya selekeh akhirnya saya dikritik," tambahnya yang bimbang akan diejek apabila dilihat selekeh.