Enam disumbat dalam but kereta
26 November 2013
Seorang warga asing mendakwa mengalami kecederaan kaki memerlukan bantuan untuk keluar dari but kereta
SUNGAI PETANI - Seramai 18 warga asing ditahan termasuk enam yang disumbat dalam but kereta oleh pasukan Peronda Lebuhraya Unit 4 Alor Setar-Sungai Petani, Bukit Aman (Zon Utara) dalam dua kejadian berasingan, awal pagi semalam.
Kejadian pertama disedari apabila kenderaan dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan melalui Lebuhraya Utara Selatan dekat Kilometer 73.5 arah utara ke selatan pada kira-kira jam 1.50 pagi semalam.
Pasukan peronda terdiri daripada empat anggota yang mengekori kenderaan tersebut mengarahkan pemandunya berhenti namun suspek memecut laju sehingga melanggar palang susur keluar Plaza Tol Gurun.
Kejadian menyebabkan cermin hadapan kereta itu pecah sebelum terbabas ke tepi jalan dekat Jalan Bedong-Sungai Petani.
Pemandu dipercayai warga tempatan melarikan diri ke arah belukar dalam keadaan gelap.
Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati, bahagian tempat duduk belakang dipenuhi enam warga asing.
Polis bagaimanapun menemui tiga lagi warga asing dalam but kereta tersebut yang diikat tangan serta ditandakan.
Pemeriksaan lanjut mendapati, kereta berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan bersangkutan dengan laporan polis Seberang Jaya pada 2010.
Rondaan oleh anggota sama diteruskan di lokasi sama sebelum menemui sebuah lagi kereta bercermin gelap dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 68 Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Seperti kejadian pertama, arahan untuk memberhentikan kenderaan tidak diendahkan, malah suspek nekad melanggar palang di Plaza Tol Gurun sebelum terbabas ketika melalui simpang dekat pekan Gurun.
Pemeriksaan mendapati, kenderaan terbabit dipandu remaja lelaki rakyat tempatan berusia 17 tahun ditemani rakan perempuan berusia 22 tahun.
Pemeriksaan lanjut turut menemui enam warga asing di tempat duduk belakang sementara tiga lagi dalam but kereta, dengan tangan berikat.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 12 hingga 30 tahun dipercayai mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin mengesahkan mereka ditahan dan laporan dibuat di Balai Polis Gurun.
Berniaga manusia lebih menguntungkan berbanding lembu NFC
ReplyDeleteInilah akibatnya kalau rasuah bermaharajalela! Benteng pertahanan sempadan negara cukup mudah ditembusi....hanya dengan duit!!!
ReplyDelete