Sarajevo: Penduduk perkampungan Sanica di utara Bosnia gempar apabila kolam yang menjadi tempat kanak-kanak setempat memancing tiba-tiba hilang ‘ditelan’ sebuah lubang.
Penduduk, Rezak Motanic mengibaratkan kejadian itu seperti filem fiksyen sains berikutan lubang itu seolah-olah menelan air kolam, ikan malah juga pokok berhampiran.
“Saya sedang duduk di tepi kolam itu sebelum tiba-tiba keadaan kelam-kabut,” katanya.
Penduduk lain, Cemal Hasan berkata, dia melihat ikan melompat keluar dari kolam itu.
LUBANG besar yang dulu sebuah kolam di Sanica, Bosnia
“Malah sebuah pokok plum besar tumbang seolah-olah ditarik seseorang,” katanya.
Penduduk kampung nyata terkejut sejak kolam seluas 20 meter dan sedalam lapan meter itu lenyap, dua minggu lalu.
Apa yang tinggal kini sebuah lubang seluas 50 meter dan sedalam 30 meter.
Dari semasa ke semasa keluasan kolam itu dilaporkan semakin membesar.
Menurut saintis, kejadian seperti itu lazim berlaku mungkin disebabkan arus air bawah tanah yang semakin kering atau perubahan dalam saliran tanah.
Bagaimanapun, penduduk Sanica mempunyai teori tersendiri, termasuk gua besar atau gunung berapi di bawah tanah, malah ada mendakwa pemilik kolam itu ‘membawanya’ bersama selepas meninggal dunia, bulan lalu.
Tidak ketinggalan juga penduduk yang menganggapnya tanda kiamat. - AP
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa