Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan agar parti-parti politik menghantar wakil calon atau parti sebagai anggota penguatkuasa kempen pilihan raya bagi memantau perjalanan pilihan raya.

Mereka diharapkan akan membantu Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) membuat keputusan dalam isu melibatkan aktiviti kempen dan bahan kempen.

"Parti politik perlu menghantar wakil calon atau parti sebagai anggota PP-KPR bagi memudahkan PP-KPR membuat keputusan ketika berhadapan dengan isu-isu tertentu mengenai aktiviti berkempen dan pemasangan bahan kempen.

"Wakil-wakil parti juga perlu mengikut taklimat yang dibuat oleh SPR," kata Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya hari ini mengenai Laporan Mesyuarat Post Mortem Pilihan Raya Umum ke-13. .

Cadangan itu adalah sebahagian daripada laporan post-mortem pilihan raya umum ke-13 yang turut meliputi pilihan raya kecil N01 Besut pada bulan Julai dan N20 Sungai Limau pada 5 November lalu.

Menurut Abdul Ghani, SPR pada masa yang sama telah meningkatkan latihan untuk mengisi Borang 13 ((Penyata Kertas Undi) dan Borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi).

Menurut Ghani, ia telah bermula sejak dua pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Cadangan penambahbaikan ialah SPR akan meningkatkan latih amal dalam pengisian Borang 13 dan Borang 14 dan kajian sedang dibuat bagi mempermudahkan pengisian borang-borang tersebut.

Dalam kebanyakan pilihan raya sebelum ini, Borang 14 sering menjadi pertikaian calon-calon yang bertanding.

Kontroversi timbul apabila sesetengah wakil calon mendakwa mereka tidak diberikan salinan borang itu atau petugas enggan menandatangani borang berkenaan.

Mengulas masalah pemilih yang tinggal serumah tetapi mendapati lokaliti mengundi mereka berbeza antara satu sama lain, Abdul Ghani menggesa pemilih agar memastikan alamat pada kad pengenalan mereka adalah betul dan tepat. 

Begitu juga dengan masalah terlalu banyak pemilih didaftarkan pada alamat yang sama, Abdul Ghani berkata ia berlaku di kawasan setinggan kerana pemilih mahu memudahkan urusan surat-menyurat yang melibatkan posmen.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Ghani berkata SPR akan meneliti cadangan membenarkan wakil menerima Sampul Keutamaan bagi pihak pengundi pos yang tiada di rumah kerana bekerja. 
    
Katanya, cadangan itu bertujuan memastikan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos dapat diserahkan kepada setiap pemilih pos dan seterusnya membolehkan mereka untuk mengundi.
    
"Sebelum ini terdapat pemilih pos yang tidak dapat mengundi kerana Sampul Keutamaan tidak dapat diserahkan disebabkan pemilih berkenaan tiada di rumah kerana bekerja. 
    
"Peraturan sedia ada tidak membenarkan Sampul Keutamaan diambil oleh wakil pengundi," katanya.

Post mortem yang diadakan serentak mengikut negeri-negeri itu berakhir Julai lepas dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk Ketua Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya, wakil Ketua Tempat Mengundi dan Penyelia Pusat Mengundi serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
    
Abdul Ghani berkata isu membenarkan wakil menerima Sampul Keutamaan itu antara cadangan penambahbaikan yang diterima SPR susulan mesyuarat itu yang bertujuan mengenal pasti kelemahan dan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan pengurusan dan proses pilihan raya dijalankan dengan teratur dan lancar berdasarkan peruntukan undang-undang.
    
Beliau berkata bagi memastikan pengurusan kertas undi pos yang lebih efisien, SPR juga akan menambahbaik prosedur penghantaran dan penerimaan balik karung kertas undi pos yang dibuat oleh kurier polis/tentera bagi mengatasi masalah kelewatan mengembalikan karung kertas undi pos ke pusat pengiraan undi. 
    
"SPR juga telah membuat penyelarasan dengan Pos Malaysia Berhad (PMB) supaya beroperasi pada hari cuti Sabtu dan Ahad untuk tujuan penghantaran kertas-kertas undi pos ke luar negara," katanya. 
    
Sebagai usaha menangani masalah kesesakan di pusat mengundi, terutamanya yang mempunyai banyak saluran, SPR akan menimbang keperluan menjadikan premis-premis yang sesuai di dalam kawasan berkenaan sebagai pusat mengundi, katanya. 
    
"SPR telah menetapkan jumlah maksimum pengundi seramai 3,850 dengan enam saluran mengundi. Saluran pertama seramai 350 pemilih diikuti saluran berikutnya maksimum 700 pemilih," katanya. 
    
Abdul Ghani berkata bagi menangani isu kesukaran mengesahkan status muflis, SPR akan berbincang dengan parti politik bagi mencari kaedah sesuai untuk membolehkan semakan dapat dibuat lebih awal dengan Jabatan Insolvensi. 
    
Katanya, SPR turut memberi perhatian kepada cadangan supaya latihan dan taklimat kepada petugas pilihan raya serta ejen parti dilaksanakan secara lebih berkesan dengan memberi penekanan kepada latihan amali bagi memastikan mereka benar-benar memahami segala prosedur dan istilah pilihan raya bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kecelaruan. 
     
Abdul Ghani berkata SPR juga telah menetapkan pengambilan petugas SPR dalam kalangan penjawat awam pada masa akan datang, berdasarkan gred tertentu bagi memudahkan kefahaman mengenai proses pilihan raya dan kepimpinan dalam kalangan petugas berkenaan. 
    
Katanya SPR juga disaran memperbaiki kelemahan prosedur mengumumkan keputusan pilihan raya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di setiap pusat penjumlahan rasmi undi bagi mengelak masalah kelewatan mengumumkan keputusan yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan kemungkinan berlaku ketegangan antara penyokong-penyokong parti. 
    
Mengenai dakwat kekal, Abdul Ghani berkata SPR telah membuat penambahbaikan dalam kandungan bahan dakwat, kaedah penyimpanan, kaedah penandaan pada jari daripada dicalit kepada dicelup, serta menyediakan panduan tatacara penggunaan kepada kerani pengundian sebagai langkah menggelak sebarang cubaan untuk mengundi dua kali oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab. 
    
"Penambahbaikan itu telah dilaksanakan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu dan Sungai Limau, Kedah," katanya.
    
Berhubung isu berbeza lokaliti walaupun tinggal dalam satu rumah, Abdul Ghani berkata penetapan lokaliti adalah berdasar kepada alamat pada kad pengenalan pemohon yang seterusnya akan menentukan alamat pusat mengundi bagi pemohon berkaitan. 
    
"Oleh yang demikian seseorang pemilih hendaklah memastikan agar alamat yang digunakan pada kad pengenalan hendaklah betul dan tepat," katanya. 
    
Menjelaskan isu ramai pemilih didaftar dalam satu alamat, sepertimana kes yang berlaku di Kg Sungai Pusu, Gombak dan Pandamaran di Klang, Abdul Ghani berkata hasil siasatan SPR mendapati perkara itu berlaku kerana ada sebilangan pemilih yang menggunakan satu alamat yang sama sebagai alamat surat-menyurat.
    
Perkara itu, katanya sering berlaku di kawasan-kawasan penempatan setinggan dengan alasan alamat surat-menyurat yang digunakan adalah lebih mudah diakses oleh posmen.