Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 3, 2012

POLITIK SABAH: Bukan Sekadar Krisis Musa Dan Lajim

MONDAY, JULY 2, 2012

KRISIS POLITIK SABAH - Bukan sekadar krisis Musa dan Lajim

"My door is always open" terpampang kenyataan  Ketua Menteri Sabah di muka depan akhbar harian utama Sabah, Daily Express hari ini. 

Dalam berita kecil disiarkan juga kenyataan Datuk Yahya Husin dan Datuk Hajiji Hj Nor yang menyokong kepimpinan Musa di Sabah.

Beberapa  hari sebelum itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Sabah, Datuk Salleh Said juga membuat kenyataan akhbar supaya Musa Aman terus mengetuai UMNO dan BN di Sabah.  

Kenyataan itu barangkali ekoran saranan  Datuk Lajim Hj Okin supaya Datuk Musa Aman berundur daripada jawatannya untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada parti itu. Anggota Majlis Tertinggi  UMNO itu juga berkata, beliau akan meminta bantuan Perdana Menteri untuk menggantikan Musa.

Musa  Aman tidak pernah sunyi daripada kontroversi dan krisis sejak dilantik menjadi  KM Sabah pada 2003. Orang yang pertama bersengketa dengan Musa ialah Tan Sri Chong Kah Kiat, presiden LDP dan bekas KM yang menyokong kuat Musa Aman untuk menjadi Ketua UMNO dan Ketua Menteri Sabah selepas beliau.

Krisis dengan parti LDP berpanjangan walaupun setelah Tan Sri Chong bersara dan melepas jawatan presiden. Musa terus anggap LDP masih milik Chong.  Timbalan presiden parti itu, Senator Datuk Chin Su Phin pernah membuat kenyataan terbuka menolak kepimpinan Musa Aman. 

Sebagai membalas tindakan itu, Musa dikatakan menjadi okestera kepada keputusan beberapa pemimpin LDP meninggalkan  parti tersebut. Antaranya ialah ADUN Karamunting, Datuk Peter Pang yang menyertai parti Gerakan tapi terus dikekalkan dalam kabinet Musa.

Keputusan mengekalkan Peter Pang sebagai menteri penuh tidak disenangi presiden LDP  Datuk VK Liew kerana kuota tersebut adalah milik LDP. VK Liew juga secara tegas berkata, adalah tidak adil perkongsian kuasa itu jika parti yang tidak pernah bertanding dalam pilihan raya di Sabah tiba-tiba wakil rakyatnya menjadi menteri penuh!

Ramai penganalisis politik meramalkan krisis LDP dengan Musa Aman hanya 'tips of the iceberg' dan akan meletup dan tidak terkawal jika dua kerusi LDP di Karamunting dan Merotai diberikan kepada parti Gerakan pada PRU akan datang.

Siapa yang mengenali Musa, mereka melihat karakter beliau mempunyai banyak persamaan dengan seorang bekas KM Sabah, Tan Sri Harris Salleh (1976-1985). Kedua-duanya panas baran dan mudah melenting jika ada yang tidak disenangi. Disamping itu mereka terlalu percaya kepada gosip. 

Ramai yang kata, jika Musa mempunyai kuasa penuh dalam UMNO seperti mana kuasa yang ada pada Harris Salleh yang menjadi  presiden parti BERJAYA dulu,  sudah tentu ramai pemimpin UMNO Sabah ini telah dipecat atau telah digantung keahliannya.

Harris Salleh sewaktu berkuasa pernah memecat 17 orang ADUN yang dipanggilnya "Geng 17". Antara yang dipecat itu termasuklah Datuk Syed Abas Ali, Allahyarham Datu Hamid Tun Mustapha, Kolnah Ghani dan lain-lain.

Harris kemudiannya memecat Datuk Joseph Pairin Kitingan ekoran isu pribumi. Pairin  menubuhkan PBS dan  kerajaan BERJAYA pimpinan Harris Salleh tinggal 6 kerusi daripada 48 kerusi DUN Sabah.

Kepada yang tidak faham politik Sabah, mereka nampak krisis Musa Aman dengan Lajim Okin hanya melibatkan krisis dua orang pemimpin dalam UMNO. Hakikatnya krisis itu lebih mendalam dan membabitkan rakyat secara umum. Apakah krisis itu satu  petanda yang tidak baik kepada BN di Sabah? - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa