Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau telah mengarahkan biro antarabangsa pergerakan itu untuk mengkaji "secara mendalam" usaha untuk membantu pelarian Islam Rohingya di Burma.

Sehubungan itu, katanya, beliau kini sedang menunggu maklum balas daripada biro yang diketuai Datuk Ahmad Zaki Zahid, berhubung isu tersebut.

"Perkara ini telah dibangkitkan beberapa kali. Saya telah minta biro antarabangsa untuk mengkaji secara mendalam supaya dapat membantu pelarian Rohingya.

"Saya tunggu maklumbalas daripada biro antarabangsa," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di ibu negara lewat petang ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung cadangan Pemuda Umno untuk membantu pelarian pelarian tersebut di Burma.

Dilaporkan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengambil langkah mengadakan munajat perdana bagi membantah kekejaman dan penganiayaan terhadap pelarian umat Islam itu.

Dalam sidang media yang sama juga, Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata, pergerakan itu akan mengadakan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana 1Malaysia di Kedah dan Kuala Lumpur.

Katanya, majlis tersebut masing-masing akan diadakan pada 10 dan 11 Ogos.

Beliau berkata, pihaknya akan menentukan tempat yang sesuai dan berkemungkinan diadakan di Alor Setar dan manakala majlis di Kuala Lumpur akan diadakan di Masjid KLCC.

Katanya, majlis di masjid KLCC dijangka dihadiri kira-kira 2,000 peserta yang terdiri daripada anggota Pemuda, pelajar universiti dan pelajar sekolah tahfiz.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang dijemput ke majlis yang diadakan di masjid KLCC.