Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok mendakwa, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggunakan pegawai Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia bagi menimbulkan dakwaan bahawa pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang dikaitkan dengan komunis berusaha meresapi parti PAS dan DAP.

MP Seputeh itu mendakwa tindakan itu sengaja dilakukan bagi memberi gambaran buruk terhadap Pakatan Rakyat.

"Hishammuddin telah guna pegawai cawangan khas untuk tuduh komunis dan JI masuk dalam Pakatan Rakyat. Sekali lagi dia guna pegawai dan dia (Hishammuddin) teruskan dengan kenyataan sama.

"Ini beri gambaran dia ketandusan modal politik dan kena korek isu lama untuk jadi satu modal.

"Saya seru Hishammuddin selaku menteri dan pemimpin BN bertanggungjawab dengan kenyataannya yang telah guna pegawainya untuk burukkan imej Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS hari ini.

Hishammuddin ketika mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin itu pada awalnya berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berkaitan dengan perkara tersebut.

Hishammuddin kemudiannya berkata pengaruh Jemaah Islamiah (JI) dan komunis dalam parti pembangkang itu masih belum dapat menjejaskan keselamatan negara.