Beberapa bekas pemimpin DAP Selangor mendakwa mereka mendapat ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) agar tidak lagi membuat sidang media untuk mengkritik pucuk kepimpinan dan kelemahan dalam parti itu. 
    
Bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang Putra, R Vellasamy, 45, berkata beliau tidak akan berdiam diri dengan ugutan seumpama itu, yang disifatkannya sebagai suatu tindakan pengecut dan tidak profesional.
    
Bagaimanapun katanya laporan polis belum dibuat berhubung ugutan itu.
    
"Kita terima SMS yang memberi amaran supaya jangan lagi membuat sidang media berhubung parti DAP di Jenjarom. Kita tidak takut dengan SMS itu. Kita sebagai bekas anggota parti itu mahu kebenaran dan keadilan.
    
"Kita tidak boleh berdiam diri dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam parti itu. Mereka selalu menuduh Barisan Nasional (BN), itu tak  betul... ini tak betul tetapi sebenarnya DAP yang tak betul," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung penyelewengan dalam pemilihan parti pada 15 Disember lalu, di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Cawangan Taman Megah Cheras, Lee Chee Cheng, 53, meminta ROS agar membatalkan keputusan pemilihan pengundian Jawatankusa Tertinggi Pusat (CEC) pada 15 Disember 2012.
    
"Buku catatan pegawai pemilihan DAP dan log kiraan manual patut diserahkan kepada ROS. Selain itu kiraan undian pemilihan dalaman CEC juga harus diserahkan kepada ROS untuk siasatan lanjut," katanya.
    
Mereka juga menafikan dakwaan kononnya tindakan berpaling tadah terhadap DAP dilakukan atas arahan pihak lain.
    
"Kita buat bantahan sebab kita tidak puas hati, bukan atas arahan atau diminta berbuat demikian.
    
"Niat kita bukan untuk menghancurkan parti seperti yang didakwa beberapa pimpinan pusat parti itu... bukan. Kita mahu keadilan," katanya.
    
Mereka juga membuat laporan polis berhubung pemilihan CEC parti DAP pada 24 Januari lalu.