Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mendakwa, kenyataannya berhubung kumpulan gengster Tiga Line yang diucapkan di Melaka pada Sabtu lalu diputar belit.

"Saya tidak pernah sebut Tiga Line orang kita. Saya cakap ia merupakan serpihan dari kumpulan Pertubuham Kebajikan Dakwah dan Islamiah (Pekida) dan pecahan itu mewujudkan Tiga Line.

"Saya mendapat laporan terperinci mengenai kumpulan ini, sejak sebelum jadi menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

"Tetapi jika dalam kalangan mereka jadi bouncer, penarik kereta dan terlibat dengan jenayah saya akan minta polis tangkap mereka. Kenapa ayat itu tidak keluar," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Malaysiakini pada 7 Oktober lalu, melaporkan Zahid menyifatkan Tiga Line sebagai rakan-rakan dan menyarakan pihak itu "menjalankan apa yang patut".

Beliau juga menyebut bahawa Tiga Line bukanlah "samseng betul" tetapi hanya "gengster kenduri-kendara".

Malaysiakini juga melaporkan Zahid sebagai menyebut bahawa anggota itu asalnya anggota Pekida.

Sementara itu, Sinar Harian juga melaporkan Zahid sebagai berkata, portal berita yang mengkritik organisasi kerajaan juga harus bersedia menerima kritikan bagi menunjukkannya penerbitan bebas.

Katanya, sesuatu kenyataan hendaklah disiarkan sepenuhnya dan bukan sebahagian sehingga menimbulkan salah faham.