Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Monday, July 10, 2017

'Apa yang Pas mahukan sebenarnya?'

Saya sayang Pas tapi saya kecewa: Mahfuz
NORHASRAM MOHAMAD - 8 JULAI 2017
Mahfuz menyampaikan ceramah bersama Pakatan Harapan di Pasir Puteh malam tadi

PASIR PUTEH - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengakui masih sayang kepada Pas tetapi kecewa kerana partinya itu tidak mahu merebut peluang dengan membina kekuatan bersama parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN dalam PRU14 nanti.

Katanya, Pas tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan mereka lebih berpengalaman dalam politik lalu mengenepikan parti-parti lain.

"Jangan perlekehkan parti-parti dalam Pakatan Harapan, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, saya yakin Pakatan Harapan boleh menang.

"Saya kecewa dalam keadaan Umno bergolak dan lemah sehingga sebahagian pemimpinnya menubuhkan parti baharu, Bersatu, kita pembangkang tidak boleh bersepakat, tidak boleh berbincang untuk mencari titk pertemuan.

"Kalau suatu ketika dulu kita boleh berkerjasama dengan Berjasa yang pernah menyebabkan Pas hilang kuasa, kenapa kita tidak boleh menerima parti-parti dalam Pakatan Harapan hari ini," katanya ketika berceramah dalam program Ceramah Perdana Pakatan Harapan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kenyataan beberapa pemimpin Pas akhir-akhir ini dilihat lebih membela Umno termasuk dalam isu siasatan kes 1MDB menimbulkan keraguan ahli Pas sendiri.

"Saya minta ahli Pas desak pemimpin mereka untuk kembali bersama parti-parti pembangkang kerana mengambil alih kerajaan yang ada merupakan satu-satunya jalan penyelesaian.

"Umno-BN dah tak boleh diubati, dah tak boleh dibaiki, kita kena ambil alih kuasa jika benar mahu menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, bagaimana Pas mahu mengambil alih kerajaan dengan hanya bertanding di 100 kerusi Parlimen sedangkan Pas perlu memenangi 112 kerusi Parlimen sebagai majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan.

"Bertanding 100 daripada 222 kerusi Parlimen, sasar atau yakin menang 40 kerusi, macamana.nak ambil alih kerajaan, jadi apa yang  Pas mahukan sebenarnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa