Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 4, 2017

Kantoi kerana berbelanja di salah tempat?

Monday, 3 July 2017
SAMAN DOJ TIDAK MUNGKIN TIMBUL JIKA JHO LOW, RIZA AZIZ HANYA BERBELANJA DI MALAYSIA SAJA

Oleh kerana kerja membela dan mempertahankan Najib Razak merupakan kerja paling sia-sia di dunia, kadangkala terasa kelakar serta geli hati dengan hujah-hujah yang dilontarkan oleh para pembela dan pentaksubnya.

Di ketika yang lain, sesekali macam nak muntah dan loya pun ada juga lantaran apa yang mereka hujahkan tidak masuk akal dan menyimpang terlalu jauh daripada fakta yang sebenar.

Dalam isu saman DOJ, ada yang berkata kenapa badan penguasa undang-undang AS itu sibuk-sibuk mahu bertindak merampas harta-harta di pelbagai negara sedangkan 1MDB sendiri tidak pernah sama-sekali melaporkan kehilangan wangnya.

Untuk menyedapkan lagi cerita, dijaja pula berita melalui saluran arus perdana  bahawa saman DOJ itu lebih bermotif politik dan suatu bentuk campurtangan asing terhadap negara kita.

Maka, menjeritlah mereka, baik yang bersongkok mahu pun yang berkopiah dan berserban di kepala - marilah kita jaga kedaulatan negara kita dan jangan biarkan pihak asing mencampuri urusan kita. Lalu dilaungkan juga biarlah kita selesaikannya melalui cara kita sendiri.

Sementara mereka ini lupa atau buat-buat lupa bahawa semua agensi penguatkuasa dalam bagaikan sudah dirantai kaki dan dibisukan daripada bertindak terhadap 1MDB, saman sivil DOJ itu sebenarnya jauh tersasar sama-sekali untuk dijuruskan sebagai campurtangan asing.

Selain tindakan DOJ adalah berdasarkan undang-undang mereka kerana memperguna sistem kewangan AS untuk mencuci wang haram, sebagaimana disebut oleh beberapa pengomen dalam blog ini, pelaku-pelaku yang dirampas hartanya itu sebenarnya telah melanggar undang-undang negara asing dan bukan suatu bentuk campurtangan asing.

Jika melalui wang yang disonglap itu Jho Low menggunakan Bank Simpanan Nasional milik kerajaan Malaysia misalnya dan membeli hartanah di Pekan, Marang, Temerloh dan Kuala Nerus atau memborong lukisan di Pasar Seni saja, tentulah tidak teringin sama-sekali untuk DOJ bertindak mengemukakan saman sivilnya.

Juga tentu tiada tindakan daripada DOJ jika Jho Low hanya membeli-belah di Poh Kong atau Habib Jewels semua barang kemas, intan berlian serta permata merah jambu untuk dihadiahkan kepada Miranda Kerr dan isteri Malaysian Official 1.

Pasti juga tiada tindakan daripada DOJ jika Riza Aziz hanya melabur di syarikat filem dalam negara atau membuat versi baru kepada filem-filem lama seperti Bujang Lapok, Hang Tuah dan sebagainya.

Dengan Jho Low dan Riza Aziz hanya melabur dan berbelanja cuma di dalam negara, Peguam Negara tentulah turut lebih mudah membersihkan dan mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh mereka.

Tetapi, oleh kerana mereka itu menggunakan sistem kewangan AS dan sebahagian harta atau aset juga dibeli di sana, maka tentulah DOJ berhak bertindak berdasarkan undang-undang mereka sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Itulah juga yang dilakukan oleh Singapura, Switzerland dan Luxembourg dalam mendenda, menutup bank dan memenjara mereka yang dipercayai terlibat dalam membantu atau bertindak cuai dalam aktiviti pencucian wang haram yang merupakan suatu jenayah di seluruh dunia.

Kenapa DOJ sibuk-sibuk bertindak sedangkan 1MDB sendiri tidak pernah melaporkan kehilangan wangnya?

Jika kita teliti berdasarkan kertas pendakwaan DOJ, asas penyiasatan mereka ialah kerana wujudnya konspirasi peringkat antarabangsa untuk menyeleweng dana kekayaan Malaysia bagi membiayai cara hidup mewah mereka dengan mengorbankan kepentingan rakyat Malaysia sendiri.

Jika ia sudah dikatakan suatu bentuk konspirasi dengan banyak pihak yang terkait dengan 1MDB sendiri mendapat manfaat daripadanya, maka tentulah tidak mungkin kehilangan wang itu dilaporkan kepada sesiapa. Malah, seboleh-bolehnya, akan terus disembunyikan lagi.

Namun, adakah 1MDB benar-benar kehilangan wangnya?

Jika tiada wang yang hilang daripada 1MDB, di manakah Jho Low dan Riza Aziz mendapat semua wang untuk bermewah dan berbelanja?

Adakah mereka ahli perniagaan ternama, diketahui nama syarikat dan jenis perniagaannya  sebelum ini atau keluarga mereka daripada golongan super kaya?

Jika kita lihat berdasarkan laporan PAC, terdapat fakta yang mudah untuk difahami bahawa memang berlaku kehilangan wang atau wang yang tidak dapat disahkan berjumlah kira-kira AS$7 bilion daripada 1MDB.

Ia meliputi pelaburan di Cayman Islands berjumlah AS$2.318 bilion, bayaran kepada Good Star Ltd milik Jho Low sebanyak AS$1.3 bilion, bayaran kepada syarikat klon Aabar BVI sebanyak AS$3.51 bilion, AS$940 juta yang disimpan dalam bentuk unit di BSI Bank Singapura dan AS$1.56 bilion yang dilabur dalam 1MDB Global Investment Ltd.

Secara keseluruhannya,  jumlah wang AS$7 bilion yang tidak dikesan itu adalah dapatan berdasarkan laporan audit yang dibuat oleh Ketua Audit Negara, tetapi ia kemudian diOSAkan daripada pengetahuan umum.

Selain itu, jika tiada wang 1MDB yang hilang, mengapa IPIC menafikan Aabar BVI itu adalah anak syarikatnya dan kemudian membawa kes ka mahkamah timbangtara di London untuk menuntut wang mereka yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investment yang didaftarkan di Abu Dhabi?

Mengapa juga, 1MDB memilih untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dengan setuju membayar AS$1.2 bilion serta menebus kembali bon berserta dengam faedahnya sekali kalau benar-benar bayaran secara betul sudah dibuat?

Dalam kes kehilangan wang 1MDB, memang ia tidak dikaitkan dengan Najib kerana ia bukanlah bidang kuasa PAC berbuat demikian, tetapi disahkan ada kehilangan wang berlaku dalam syarikat tersebut.

PAC seterusnya juga mahukan pihak polis melakukan siasatan lanjut kerana 1MDB dan Kementerian Kewangan tidak menyerahkan penyata akaun dokumen untuk mengesahkannya.

Seperti yang kita sedia maklum, siasatan oleh pihak polis berkaitan 1MDB masih lagi belum selesai meskipun sudah lebih setahun berlalu daripada tempoh laporan PAC itu dibentangkan.

Tetapi, dalam laporan DOJ yang menyebut Malaysian Official 1 menerima AS$731 juta wang 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya, Najib yang disahkan oleh Abdul Rahman Dahlan sebagai MO1 tidak pernah sama-sekali menafikannya.

Kenapa Najib tidak berani menafikan laporan DOJ itu?

Begitu juga dengan isteri Malaysian Official 1 yang didakwa menerima hadiah barang kemas berjumlah RM128 juta daripada Jho Low, turut sama tidak pernah menafikannya. Yang ada cuma ugutan mahu menyaman saja.

Mengapa tidak pernah membuat penafian jika tidak pernah menerima hadiah barang kemas tersebut?

Lebih dari itu, kenapa hanya berani melalak saja, tetapi langsung tidak bertindak menyaman atau membuat celahan dalam saman sivil DOJ itu?

Akhirnya, DOJ yang bermotif politik atau kita sendiri yang mempolitikkan saman sivil itu untuk kepentingan politik? (ShahbudinHusin 03/06/2017)
Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa