Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, July 2, 2017

Dari Mufti Perlis: Peringatan kepada pembela yang mungkar

Sunday, 2 July 2017
MOHON TERASA DENGAN PERINGATAN INI!!

Hari Ini Kita Membela Yang Munkar, Siapakah Yang Akan Membela Kita Di Padang Mahsyar?!

Seringkali orang yang memiliki ilmu dan pengaruh cuba digunakan oleh pihak lain untuk kepentingan mereka. Ini bukanlah perkara baru dalam sejarah manusia. 

Malangnya, seringkali pula ada pihak yang berilmu dalam bidangnya sanggup memperdagangkan pengetahuannya atas kepentingan tertentu. Justeru, banyak fakta dikelirukan, banyak kebenaran dipalsukan. 

Orang berilmu dalam bidang apa sekalipun akan ada pengaruhnya yang tersendiri berkaitan bidangnya. Pakar undang-undang akan dipercayai oleh yang tidak begitu mengetahui berkaitan undang-undang. 

Pakar ekonomi akan dipercayai oleh yang tidak pandai tentang ekonomi. Begitulah seterusnya. Jika golongan berilmu ini me’lacur’kan ilmu mereka untuk kepentingan diri, pasti orang awam menjadi mangsa.

Hal ini apatahlagi apabila golongan yang mempunyai pengetahuan berkaitan agama tapi memutar fakta ataupun menyembunyikan kebenaran ataupun mengakui kezaliman ataupun melindungi kemunkaran dengan hujah-hujah yang seolah-oleh itu perintah Tuhan. 

Apakah di sana ada pendustaan dan pengkhianatan yang lebih daripada orang yang menjual nama Allah untuk kepentingan dirinya sehingga manusia tertipu?!

Golongan agama yang seperti ini, untuk menjaga kepentingan diri sanggup berhujah dengan segala lenggok bahasa agama membela pihak yang dapat memberikan sesuatu untuk mereka. Kadang-kala seakan bagaikan titah Tuhan yang langsung kepada mereka. Kadang-kala dengan nada kerohanian. Kadang-kala dengan teknik ilmiah dalil itu dan ini. 

Namun, kesemuanya membawa natijah yang sama, membela yang jelas kezaliman ataupun penyelewengannya. Jika hal yang dibela itu sesuatu yang bersifat ijtihadi yang mana tidak jelas antara benar dan salahnya, bolehlah kita bersangka baik. 

Namun duka cita apabila mereka sanggup membela perkara yang nyata lagi zahir kesalahan ataupun kezaliman padanya. Ketika masyarakat awam pun nampak jelas salah dan munkar, tiba-tiba terdapat golongan berpengatahuan agama menyatakan ‘itu betul’, ataupun ‘itu sebenarnya tidak salah’, ataupun ‘biarkan saja, bukan urusan kita’ dan pelbagai ayat ‘keagamaan’ yang lain.

Al-Quran dalam Surah al-Nisa ayat 107-109 mengingatkan kita tentang hal ini:
وَلَا تُجَٰدِلۡ عَنِ ٱلَّذِينَ يَخۡتَانُونَ أَنفُسَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمٗا . يَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَلَا يَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمۡ إِذۡ يُبَيِّتُونَ مَا لَا يَرۡضَىٰ مِنَ ٱلۡقَوۡلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطًا . هَٰٓأَنتُمۡ هَٰٓؤُلَآءِ جَٰدَلۡتُمۡ عَنۡهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فَمَن يُجَٰدِلُ ٱللَّهَ عَنۡهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَم مَّن يَكُونُ عَلَيۡهِمۡ وَكِيلٗا . 

Dan janganlah kamu berdebat (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelimang dosa. Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah beserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahasia yang Allah tidak redlai. Dan adalah Allah Maha Meliputi (ilmu-Nya) terhadap apa yang mereka kerjakan. Beginilah kamu, kamu sekalian adalah orang-orang yang berdebat untuk (membela) mereka dalam kehidupan dunia ini. Maka siapakah yang akan mendebat Allah untuk (membela) mereka pada hari kiamat? Atau siapakah yang menjadi pelindung mereka (terhadap siksa Allah)”

Soalan tambahan lain; Siapakah pada Hari Kiamat nanti yang akan berhujah membela kita yang telah berhujah membela mereka pada hari ini? 

Ilmu adalah amanah. Kata Abu Bakar al-Siddiq r.a dalam ucaptama perlantikannya: "Benar adalah amanah, bohong adalah khianat".

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis
1 Julai 2017

Ulasan Blog - Tidak perlu ulasan yang panjang-panjang  terhadap kenyataan atau peringatan daripada Mufti Perlis ini. 

Juga tidak perlu disebut atau diulang-ulang isu apa yang paling relevan dan siapa yang mungkin terkait dengannya.

Kepada sekalian yang berkenaan, mohonlah terasa dan segeralah kembali ke pangkal jalan kerana di Padang Mahsyar nanti tiada sesiapa yang mampu membela kita. 

Wang, habuan, jawatan, kedudukan, gajet A9 atau apa saja tidak berguna apa-apa lagi di sana nanti. Amalan dan perbuatan kita di dunia inilah yang akan menjadi saksi segala-galanya. (ShahbudinHusin 02/07/2017)

Anda mungkin juga meminati:
HANCUSS NEGARA DEK MENTERI MACAM NI....

Posted by Shahbudin Husin at 16:39 

1 comment:

  1. Alhamdulillah, masih ada orang yang berilmu dan memikul amanah Allah yang masih mahu menasihati orang orang alim yang berilmu dan turut memikul amanah Allah yang kelihatan seolah olah lupa setiap kata kata, setiap ulasan mereka terhadap satu satu isu akan disoal diakhirat kelak.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa