Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib hari ini mengambil kesempatan dalam muktamar dewan itu untuk menjelaskan dakwaan ulama PAS "gila kuasa" kerana mahu mengkaji semula hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Ketika merasmikan muktamar itu, beliau mendakwa, usul 'Multaqa' (pertemuan) Ulama PAS di Kedah September lalu telah "disalah tafsir", menyebabkan muktamar mereka hari ini berlangsung "agak panas".

"Kita bukan tamak kuasa. Kita bukan gila kuasa. Tetapi parti PAS adalah sebuah parti berteraskan Islam dan undang-undang tertinggi adalah al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qias.

"Maka dalam waqi' (realiti) hari ini siapa yang lebih faham dasar parti selain daripada ulama?

"Kita tidak memperlekeh dan merendahkan orang yang bukan daripada ulama," jelasnya.

Mengulas mengenai semakan semula kerjasama PAS dalam Pakatan, Harun menjelaskan, ia tidak bermaksud memutus atau memecahkan gabungan itu, tetapi menyemak "demi keuntungan Islam".

"Ia dikaji dari sudut setakat mana Islam dapat dilaksanakan di negeri yang kita perintah," katanya di Shah Alam hari ini.