Mufti Kedah Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad enggan mengulas cabaran Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya beliau bersumpah laknat selepas didakwa memfitnah bekas mufti Perlis itu.

NONEKetika diminta mengulas berhubung perkara itu, beliau sebaliknya menyuruh Malaysiakini mendapatkan komen pihak lain.

"Saya tiada komen. saya tak nak komen. Saya tak nak mengulas, tak nak panjang-panjang (cerita).

"Kalau nak (tanya juga), tanya-tanya orang lain," kata Sheikh Muhamad Baderudin (kiri) sebelum memutuskan talian telefon.

Dr Mohd Asri pada 23 November lalu mencabar Sheikh Muhamad Baderudin bermubahalah atau bersumpah laknat dengannya selepas timbulnya rakaman video yang didakwa memfitnahnya.

Katanya, jika benar beliau mengeluarkan kenyataan seperti didakwa, maka laknat Allah ke atasnya; dan jika sebaliknya, laknat akan menimpa mufti itu.

Dr Mohd Asri merujuk kepada sebuah rakaman kuliah Sheikh Muhamad Baderudin di Youtube berhubung isu Wahabi yang secara sepintas lalu menyebut namanya.

Antara dibangkitkan, menurut Dr Asri, berkaitan tuduhan kepada aliran Wahabi, pengiktirafan kepada keberkatan Nabi Muhammad dan tuduhan menyamakan Allah dengan makhluk, seperti kera, dalam pentakwilan ayat al-Quran.