Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, November 17, 2013

Nak Tergelak Ada, Menyampah Pun Ada!

Ahad, 17 November 2013 09:32
MENYESAL SUDAH TERLAMBAT, DR M: Melayu lemah pendidkan disebabkan dasar jumud kamu!
Oleh Simon Neoh
Terkenal dengan sindiran dan juga minda yang tajam, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad baru-baru ini membuat satu lagi kenyataan yang membuatkan saya tergelak.
"Saya orang Melayu dan saya suka bahasa Melayu," dia dipetik sebagai berkata."Tetapi saya juga mahu orang Melayu menjadi terpelajar.Saya memohon agar subjek-subjek ini diajar dalam bahasa Inggeris semula."
Jangan tersalah sangka- bukan kerana Mahathir' meminta ' untuk Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris yang membuat saya ketawa , sebaliknya, saya tidak percaya apabila saya membaca bahawa lelaki berusia lapan puluhan yang juga dikenali sebagai lelaki bijak di Malaysia ini mengaku dirinya ‘orang Melayu'.
Ia sama seperti serigala dalam cerita dongeng ‘Little Red Riding Hood’ yang berkata, "Saya nenek kamu". Bukankah dia dahulunya sering menegur dan mencemuh orang Melayu sendiri kerana tidak bersyukur dan sentiasa lupa, dia juga telah menggariskan satu persatu dilema orang Melayu.
Sama ada Mahathir telah lupa bahawa dia anak Mohamad, seorang lelaki Malayali , Iskandar Kutty, yang berasal dari Kerala , India, atau dia telah memilih cara hidup suku Mosuo , dimana budaya mereka adalah " matrilineal " –mengikut keturunan ibu. Apa kena mengena pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dengan Mahathir yang mendakwa dirinya sebagai orang Melayu!
Bahasa yang digunakan adalah semata-mata bahasa pengantar. Melayu, atau Inggeris, bukan isu dengan sistem pendidikan kita, tetapi persekitaran di mana intelektualisme kita sedang ditindas oleh sistem pendidikan Malaysia yang pastinya menjatuhkan standard pendidikan dalam negara!
Orang-orang seperti kita yang telah belajar di luar negara mampu bergerak ke hadapan ,malangnya majoriti rakyat Melayu kita, rakan-rakan yang berasal dari luar bandar, ketinggalan dalam zaman globalisasi ini. Siapa lagi yang harus dipersalahkan kecuali Mahathir sendiri!
Oleh itu, untuk mendakwa dirinya sebagai orang Melayu membuatkan saya ketawa, terutama sekali apabila dia kini bercakap tentang pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris apabila pada suatu masa dahulu, atas nama nasionalisme Melayu, bahasa kebangsaan telah diperkasakan tanpa mengambil kira bahasa-bahasa lain.
Sudah terlambat
Soalan saya ialah: Bukankah Mahathir menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1974 ?Kemudian, dia menjadi Perdana Menteri keempat yang telah berkhidmat untuk tempoh terpanjang dari tahun 1981. Selama lebih 22 tahun sehingga dirinya bersara pada tahun 2003, apa yang telah dilakukan untuk memastikan rakyat Malaysia digalakkan untuk menguasai Bahasa Kebangsaan mereka, tanpa mengabaikan bahasa-bahasa lain , terutamanya bahasa Inggeris?
Masyarakat Cina dan India telah melakukannya dengan baik kerana mereka memilih untuk mengamalkan pelbagai bahasa.Saya boleh jadi contoh yang baik. Saya fasih dalam Bahasa Inggeris dan Melayu. Jika saya bercakap dalam bahasa Melayu melalui telefon, anda mungkin fikir saya orang Melayu, tetapi dengan Mat Salleh , saya boleh bercakap dengan yakin dalam Bahasa Inggeris.
Apabila saya mengimbas kembali ,apa yang boleh saya katakan adalah Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini walaupun dia mempunyai kuasa untuk melakukan yang terbaik. Sebaliknya, dia lebih berminat dalam projek-projek mega dan projek-projek penswastaan ​​yang memperkayakan kroninya. Malah, pendidikan juga telah diswastakan.
Apabila Cina dan India melabur sebahagian besar simpanan mereka untuk pendidikan anak-anak sama ada di institusi swasta tempatan mahupun luar negara , masyarakat Melayu luar bandar dibiarkan untuk bergantung kepada pendidikan percuma di universiti awam. Semua diajar adalah dalam bahasa Melayu. Sekarang, kerana mereka kekurangan kecekapan dalam bahasa Inggeris , mereka mendapati ianya sukar untuk menguasai kedua-dua komuniti perniagaan sama ada tempatan ataupun global di mana Bahasa Inggeris digunakan secara meluas .
Pada masa lalu, orang-orang seperti Lim Kit Siang dan yang lain-lain telah berkali-kali mengulangi bahawa bahasa hanya merupakan alat - satu kaedah untuk mencapai matlamat –bukanlah objektif itu sendiri, tetapi mengapa Mahathir tidak mahu mendengar suara rakyat?Kenapa perlu cemburu sekarang jika kaum-kaum lain boleh berkomunikasi dengan yakin dalam bahasa yang berbeza , tetapi majoriti orang Melayu yang masih ' terperangkap ' dalam mentaliti satu bahasa - Bahasa Melayu?
Saya percaya bahawa rakan-rakan Melayu saya boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang betul atau dalam bahasa global yang lain, tetapi yang menyedihkan saya adalah setiap kali saya melihat surat permohonan kerja yang ditulis oleh seorang lulusan universiti (termasuk graduan India dan Cina). Walaupun sudah bertahun mereka mempelajari bahasa itu sebagai satu subjek , mereka masih tidak boleh menghasilkan surat yang mudah, apatah lagi yang mampu menarik perhatian saya sebagai penemuduga.
Standard jatuh menjunam: Bukankah kamu bertanggungjawab , Dr M?
Jika ditanya semula kepada Mahathir, soalan saya kepadanya ialah: Anda sendiri telah menerajui portfolio pendidikan, apa yang telah anda lakukan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan penduduk luar bandar?
Daripada melabur dalam pendidikan mereka, apa yang saya lihat adalah Mahathir lebih berminat untuk mengukuhkan kerjaya politiknya. Dia sebenarnya bertanggungjawab memperkenalkan kawalan kerajaan yang lebih ketat ke atas universiti-universiti di negara ini. Pada masa itu, university-universiti di Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau ini, dan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan (HSC) perlu bersaing untuk mendapatkan tempat di universiti-universiti awam tempatan. Mereka yang tidak mendapat tempat di universiti awamlah yang terpaksa memilih untuk belajar di luar negara .
Setelah tiga dekad, perkara yang terbalik pula berlaku. Standard universiti awam kita telah jatuh menjunam mengakibatkan kebanyakan orang pada hari ini tidak lagi mendambakan kemasukan ke universiti awam tempatan. Universiti-universiti awam di Malaysia tidak lagi diberi nilai yang tinggi, berbanding rakan-rakan mereka di negara-negara perindustrian yang baru. Ia dianggap sekadar ‘cukup makan’ jika memasuki institusi pengajian tinggi swasta - dan ibu bapa perlu mengeluarkan sebahagian besar daripada wang simpanan mereka untuk membayar bagi mendapatkan segulung kelayakan untuk anak-anak mereka . Jika institusi itu jujur, tidak mengapa; tetapi, jika institusi itu hanya mahu mengaut keuntungan daripada ibu bapa yang tidak mengesyaki apa-apa?
Pada tahun 70-an , apabila Mahathir menjadi Menteri Pelajaran, pelajar universiti aktif berpolitik dan lebih lantang. Akibat daripada penindasan politiknya pada tahun-tahun awal berkhidmat sebagai Menteri Pelajaran, sistem pendidikan Malaysia telah gagal menghasilkan intelektual yang kini boleh terlibat dalam debat awam untuk membantu dalam kemajuan negara. Individu-individu terutamanya mereka yang lantang telah menyertai kesatuan sekerja dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain , dan apa yang Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak warisi dari Mahathir hanyalah kabinet yang terdiri daripada lelaki dan wanita pak turut.
Disebabkan itu, apa yang kita ada pada hari ini hanyalah ahli-ahli politik yang pengecut jika dicabar untuk berdebat secara terbuka. Daripada menggalakkan amalan berhujah secara sihat dan intelektual, dimana mereka tidak mahu, atas alasan nasionalisme Melayu , mereka hanya memetik pepatah "Pantang Melayu dicabar " (‘orang Melayu tidak boleh dicabar’ dari epik Hang Tuah ) atau "Jika anda tidak setuju, carilah negara lain." Cara menteri kabinet bercakap langsung tidak menggambarkan mereka sebagai pemimpin yang bijaksana. Bagaimana anda boleh mengharapkan para intelektual untuk menghormati menteri-menteri kabinet yang hanya pandai merapu dan merepek sahaja?
Saya ulangi : Hasil daripada sistem pendidikan kita , ditambah dengan budaya politik yang telah kita warisi daripada Dr Mahathir, menyebabkan graduan kita menjadi pelajar pasif. Untuk mengelakkan biasiswa mereka ditarik balik, pelajar menjauhkan diri dari politik pada hari ini. Mereka adalah dunia korporat yang terasing, meninggalkan politik hanya untuk orang-orang yang dibenarkan terlibat dalam yang tidak lebih daripada politik longkang.
Orang Melayu paling terkesan
Orang Melayu merupakan golongan yang paling terkesan oleh sistem pendidikan yang terencat. Kecuali beberapa orang Melayu yang berfikiran moden, dan saya begitu bangga melihat mereka, begitu sedikit yang mampu berhujah secara intelektual dan maju selaras pemikiran mereka. Minda majoriti rakan-rakan Melayu kita sebahagian besarnya mundur, dan orang yang bertanggungjawab tak lain tak bukan, Dr Mahathir sendiri.
Pada kemuncak kuasanya dahulu, dia boleh menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk mereka. Saya pasti rakan-rakan Melayu kita boleh bangkit dalam intelektualisme mereka, dan bukan hanya membiarkan emosi menguasai diri dan dipergunakan oleh ahli-ahli politik yang mementingkan diri sendiri .
Selepas Dr Mahathir meninggalkan kabinet pada tahun 2003, semakin ketara bahawa orang-orang yang telah dipilih untuk menjadi menteri sebenarnya dikalangan mereka yang tidak berguna. Kecuali beberapa orang seperti Khairy Jamaluddin dan Saifuddin Abdullah, dan juga Ong Tee Keat, menteri-menteri kabinet yang lain, termasuk ramai yang berada dalam kabinet Najib hari ini, kurang berkaliber . Tidak hairanlah jika rakyat tidak lagi memberi kepercayaan kepada menteri-menteri kabinet.
Saya rasa, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Abdul Rahman Dahlan sudah pasti akan dimarahi jika dia memuji Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura ( HDB) semasa era Mahathir dan mencontohinya- memandangkan Mahathir dan musuh ketatnya Lee Kuan Yew sering tidak bersependapat antara satu sama lain.
Jurang perbezaan bandar dan luar bandar membesar, begitu juga ketidakstabilan
Jika ditinjau kembali, mangsa terbesar dalam sistem pendidikan sekarang merupakan orang luar bandar yang kekurangan peluang dan pendedahan untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia.Perbezaan antara seorang kanak-kanak dari bandar dengan yang berasal dari luar bandar adalah begitu ketara.
Jika lelaki muda dari bandar mempunyai keyakinan dan motivasi yang tinggi, mampu mengendalikan situasi yang paling mencabar dalam persekitaran perniagaan, rakan sejawatannya dari luar bandar masih tidak mampu menyusun ayat dalam bahasa Inggeris.
Jurang ini juga nampak jika kita membandingkan graduan dari universiti awam di Australia, United Kingdom dan Amerika dengan lulusan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan . Malah dalam senario kes terburuk, jika mereka boleh berhujah, walaupun bukan dalam bahasa Inggeris yang sempurna, yang kedua pula tidak mampu untuk mengutarakan hujah yang bijak dalam mana-mana subjek sekali pun.
Walaupun Mahathir telah membuat rayuan baru-baru ini, tidak mungkin Najib mahupun timbalannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, akan berpaling untuk mengikut telunjuknya. Seperti yang dinyatakan oleh seorang penganalisis veteran PKR, Eddie Wong, "Ini akan menjadi peluang untuk Najib dan Muhyiddin untuk memperolehi mata daripada orang Melayu. Ia adalah mudah untuk meramalkan reaksi mereka. Mereka akan tergesa-gesa memastikan hak-hak orang Melayu dilindungi apabila sebenarnya ini adalah isu pendidikan bukan isu bangsa mahupun hak-hak kaum. "
Mungkin juga, hanya jika kerajaan berubah akan membantu memperbaiki sistem pendidikan di negara ini. Jika tidak, sesiapa sahaja boleh membuat penilaian yang mudah dan memberitahu di mana sebenarnya hala tuju kita. Pada pendapat saya sebagai rakyat biasa, jika objektif pendidikan yang baik adalah untuk melahirkan insan yang bebas dan yakin, sistem pendidikan kita telah benar-benar gagal.
Setelah hampir 57 tahun, anak-anak muda kita masih bergantung kepada bantuan kerajaan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Dr Mahathir apabila dia tidak lagi menjadi jaguh nasionalisme Melayu yang pernah diperjuangkannya dahulu . Terdapat begitu banyak paradoks jika dilihat dengan mata kasar. Ia samalah seperti UMNO yang masih mengekalkan akronimnya, dan tidak mengubahnya kepada Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ( PKMB ), apabila segala-galanya termasuk nama-nama jalan dan papan tanda telah ditukar sejak tahun 70-an lagi.
Terjemahan oleh Huzainah A Rani
Malaysia Chronicle

2 comments:

  1. mengapa anda bercakap bahawa bekas PM tu tak memberi sumbangan apa2? Anda bijak sekarang membesar di era tun m. anda sebenarnya yg tak tahu erti bersyukur pd Allah.

    ReplyDelete
  2. mahathir mmg byk menyumbang pada kemusnahan melayu..pada kroni dan anak anak byk jugak yg dia sumbang...yg terbaru nak sekat internet ...duit aku ...aku punya pasallah nak byr internet...siapa agen cia dalam agc..?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa