Papan kecil hubung jalan
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Februari 2013
KAMPUNG LAMIR – Petani mengeluh kerana mereka terpaksa menggunakan papan yang digunakan sebagai titi untuk berulang-alik ke petak sawah.
Keadaan tersebut berlaku disebabkan jalan paya sering dilalui mereka terputus hubungan akibat laluan air bawah tanah.
Petani, Mohd Ali Abd Rahman, 32, berkata, masalah itu berlaku kira-kira dua bulan lalu dan sehingga kini masih tidak mendapat perhatian daripada pihak berkaitan.
Malah katanya, masalah itu sudah dua kali diajukan kepada pihak berkaitan dalam tempoh dua bulan ini, namun setakat ini tiada sesiapa turun padang untuk melakukan tinjauan sekali gus menyelesaikannya.
“Kebanyakan petani masih melalui jalan ini untuk ke sawah kerana tidak mahu melalui jalan lain yang terletak agak jauh.
“Keadaan itu menyebabkan mereka terbeban kerana pertambahan kos pengangkutan. Tambahan pula kini sudah tiba masanya untuk menabur benih yang memerlukan petani ke petak sawah beberapa kali sehari,” katanya, di sini.
Seorang lagi petani, Mohd Salleh Mohamed, 27, berkata, berikutan jalan lain terletak agak jauh, sesetengah petani terpaksa juga menggunakan papan kecil untuk menyeberangi laluan air itu dengan menunggang motosikal.
Menurutnya, petani tiada pilihan lain walaupun keadaan itu boleh membahayakan keselamatan mereka.
“Beberapa hari lalu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil terperosok ke dalam lubang itu, bagaimanapun pemandunya bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan.
"Namun, kenderaannya mengalami kerosakan, selain perlu ditarik keluar,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap masalah itu mendapat perhatian sewajarnya bagi mengelakkan kemalangan lebih teruk berlaku di samping membolehkan petani menjimatkan kos pengangkutan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa