Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, May 14, 2012

Ini Pun Sodap! Penuh Dengan Surah Dan Hadith. Tapi Dia Paham Ker Idak, Entahlah?

Usah abai nilai agama ikutkan perasaan

Oleh Ashraf Muslim
bhagama@bharian.com.my
2012/05/14

KEADAAN boleh dikawal jika masyarakat tahu untuk bertindak mengikut perasaan dengan betul.
KEADAAN boleh dikawal jika masyarakat tahu untuk bertindak mengikut perasaan dengan betul.
Menjaga kesejahteraan majoriti perlu diutama daripada kepentingan diri

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya kecewa dan bimbang dengan perkembangan politik semasa yang semakin agresif hingga ada yang sanggup membelakangkan nilai ditekankan agama kerana terlalu mengikutkan perasaan.
Perhimpunan Bersih 3 yang terus menjadi perbahasan penyokongnya serta pihak yang menentang adalah fenomena merisaukan dan ia juga bukti menunjukkan bagaimana perasaan boleh mempengaruhi pemikiran.
Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. - Riwayat Muslim
Apa yang berlaku itu kesan daripada tindakan di luar kawalan apabila perasaan marah atas apa juga sebab atau perkara yang mencetuskannya mendorong kita mengikut kata hati sedangkan pepatah Melayu mengatakan, ‘ikut hati, mati’.


Sebenarnya siapalah saya untuk menilai atau mempertikaikan tindakan pihak yang menganjurkan perhimpunan itu, maklum balas kumpulan yang tidak bersetuju dan langkah diambil pihak berkuasa menangani situasi mengikut bidang kuasa diperuntukkan kepada mereka.


Namun, sebagai umat Islam, saya tidak terkecuali daripada tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan ummah terpelihara menggunakan cara yang terdaya oleh saya iaitu dengan berkongsi pandangan.


Daripada Abu Said al Khudri, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis sahih riwayat Muslim).
Sekadar berkongsi pandangan, menjaga kesejahteraan serta kepentingan kumpulan lebih besar (atau majoriti) adalah lebih penting berbanding kepentingan kumpulan tertentu. Disebabkan itu, ada keputusan yang dibuat sukar diterima khususnya oleh pihak berkepentingan.


Begitu juga dalam keluarga, ada keputusan yang dibuat ibu bapa tidak dipersetujui anak tertentu sedangkan bapa dalam memberikan kata akhir bukan tidak mahu memenuhi permintaan anak tetapi mendahulukan kepentingan semua ahli.


Dalam hal kepemimpinan, inilah yang dilakukan pemerintah kerana mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap tindakan dilaksanakan. Disebabkan itu, asas kepada sesuatu keputusan selalunya melihat kepada kepentingan kumpulan majoriti.


Oleh kerana jari telunjuk kita asyik menuding kepada pemimpin, kita lupa tiga lagi jari yang terarah kepada diri sendiri. Pernahkah setiap kali kita selalu meminta-minta, kita bertanyakan kepada diri apakah yang sudah kita beri.


Tanggungjawab kita kepada negara dan pemerintah ialah mentaati pemimpin yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.


Imam An Nawawi dalam Kitab Riyadhus Shalihin menyebut, rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Rakyat yang cuai dan tidak bertanggungjawab adalah berdosa di sisi Allah dan pemerintah.


Allah telah menjelaskan dalam al-Quran mengenai tanggungjawab ini melalui firman yang bermaksud: “Hai sekalian orang yang beriman, taatlah engkau semua kepada Allah dan taat pulalah kepada Rasulullah, juga kepada orang yang memegang pemerintahan dari kalanganmu sendiri.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)


Daripada Ibnu Umar pula, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melepaskan tangan ketaatan - yakni keluar dari ketaatan terhadap penguasa pemerintah, maka orang itu akan menemui Allah pada hari kiamat, sedang ia tidak mempunyai hujah - alasan lagi untuk membela diri dari kesalahannya itu. Adapun yang meninggal dunia sedang di lehernya tidak ada pembai’atan - untuk mentaati pada pemerintahan yang benar, maka matilah ia dalam keadaan mati jahiliah.” (Hadis riwayat Muslim)


Kejadian yang berlaku kita lihat lebih banyak mengakibatkan kesan buruk dan adalah menyedihkan apabila disebabkan ingin menegakkan pendirian masing-masing, ada keluarga yang dulunya aman kini berdepan suasana tegang.


Itu kesan terhadap institusi keluarga, belum lagi kesan lain yang mengakibatkan sesetengah pihak kehilangan punca rezeki, berdepan kesesakan lalu lintas yang menghalang mereka melaksanakan urusan masing-masing.


Kecederaan dialami, kesukaran dilalui, kepayahan pihak berkuasa untuk bertindak dan banyak lagi sebenarnya yang sepatutnya kita beri perhatian kerana dalam apa juga yang ingin kita buat, tidak boleh mengetepikan hak orang lain khususnya kemaslahatan ummah.


Untuk renungan bersama, daripada Abu Hunaidah iaitu Wail bin Hujr, katanya: “Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Nabiullah, bagaimanakah pendapat Tuan, jika kita semua diperintah oleh beberapa orang penguasa, mereka selalu meminta hak mereka dan menghalang-halangi apa yang menjadi hak kita. Apakah yang Tuan perintahkan itu terjadi? Beliau SAW memalingkan diri dari pertanyaan itu seolah-olah tidak mendengarnya. Kemudian Salamah bertanya sekali lagi, kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Dengarlah olehmu semua apa yang diperintahkan dan taatilah, sebab hanya atas tanggungan mereka sendirilah apa-apa yang dibebankan pada mereka - yakni bahawa mereka berdosa jika menghalang-halangi hak orang yang di bawah kekuasaannya - dan atas tanggunganmu sendiri pulalah apa yang dibebankan padamu semua yakni engkau semua juga berdosa jikalau tidak mentaati pimpinan orang yang sudah sah dibai’at.” (Hadis riwayat Muslim)


Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maaidah, ayat 2)



  • Ayat menahan marah atau penyejuk hati, surah Muhammad (ayat 21-32) dan surah Taha (ayat 120-135)
  • No comments:

    Post a Comment

    Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa