Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, May 29, 2012

Belang Sebenar: Belum Kalah lagi Dah Pun Ganas....

Mahathir ramal Umno ganas jika kalah?
Ahmad Lutfi Othman,29 Mei 2012
Sewaktu debat mempertemukan Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disifatkan sebagai permulaan budaya politik baru yang sihat dan matang, kita dikejutkan dengan siri aksi brutal terhadap program Pakatan Rakyat.
Ketika rakyat masih mengingati dengan jelas perlakuan ganas polis semasa menyuraikan himpunan aman Bersih 3.0, riak kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal menjadi gelanggang terburuk dalam sejarah, seperti hampir tidak dapat dielakkan lagi.

Terbaru, 24 Mei, di Pantai Dalam, media melaporkan batu dan telur berterbangan semasa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berceramah, mengakibatkan seorang warga emas cedera di kepala. Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis dturut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan. Personaliti yang ghairah menabur fitnah, Ummi Hafilda Ali berceramah dengan pembesar suara dihalakan kepada audien program Pakatan Rakyat, dengan menjawab secara langsung isu-isu yang dibangkitkan penceramah Pakatan berhampiran.

Hari yang sama, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, pada majlis ceramah membabitkan bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan, Nizar Jamaluddin, 11 kereta disimbah cat biru. "Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan," kata Nizar.

Minggu ini juga, kumpulan anti-Bersih, yang diketuai pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Jamal Yunus, secara berterusan melakukan provokasi dan gangguan melampau di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga selepas aksi "senaman punggung" dipamerkan pada 15 Mei.

Minggu lalu, di Melaka, batu dan telur juga berterbangan di majlis minum petang anjuran PAS, di mana Ambiga dijadual hadir. Dua Adun DAP, Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (BAndar Hilir) berkata, tayar kenderaan mereka dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihantam kumpulan pengacau yang didalangi Umno, termasuk beberapa wakil rakyatnya.

Siri gangguan ke atas program dan personaliti pembangkang dijangka berterusan, malah mungkin ditingkatkan, kerana ia sudah menjadi budaya Umno sejak zaman berzaman (ingat zaman Pemuda Tahan Lasak Umno), yang kini pimpinan parti berkenaan gelabah dan kelihatan gabra menghadapi "hukuman rakyat" dalam PRU13.

Secara peribadi, saya pelik memikirkan bagaimana Umno-BN yang meniti saat-saat sukar ini, memilih pendekatan konfrontasi, yang sebenarnya semakin menjauhkan lagi parti itu daripada sokongan pengundi.

Meskipun ia ibarat "baling batu sembunyi tangan, namun banyak bukti boleh ditunjukkan bahawa segala serangan dan provokasi jahat selama ini (ingat siri gangguan sejak keputusan PRU12, Mac 2008, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, dengan kemuncaknya rampasan kuasa kerajaan Perak), ditaja oleh Umno.

Sepatutnya, menjelang PRU13 yang cukup kritikal itu, semua parti-parti yang bertanding mempersembahkan pendekatan terbaik bagi memikat hati dan pemikiran pengundi, bukannya melakukan tindakan agresif -- apatah lagi berunsur samseng dan ganas -- yang hanya menyebabkan masyarakat menjadi lebih marah dan jelik.

Aneh sekali strategi Umno ini, 'kan? Ketika perayu kempen berusaha dengan segala tenaga untuk melunakkan hati pengundi, mereka memilih taktik yang boleh menikam belakang sendiri!

Tentu ramai mengingati bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi asakan di luar adab kemanusiaan, termasuk dihadiahkan "kek tahi" yang menjijikkan sempena hari jadinya tidak lama dahulu.

"Apa nak dihairankan, tengok saja akhbar-akhbar yang dimiliki Umno, yang tidak malu-malu menyiarkan gambar lucah dan porno, hanya untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat. Blogger yang ditaja dan diupah Umno, serta mendapat layanan istimewa pemerintah, bersikap biadab dan kurang ajar ketika memaparkan posting mereka," kata seorang teman, seorang pensyarah sains politik.

Ternyata Umno tidak sabar dan tahan uji menghadapi kekalahan, apatah lagi menunggu "saat kematian". Sedangkan selama ini, sejak pilihan raya umum pertama, pembangkang khususnya PAS, tetap  menolak pendekatan kekerasan atau militan meskipun sering diganasi secara fizikal dan istiqamah dengan  "muwajahah silmiyyah".

Pemimpin dan aktivis PAS menghadapi ujian perit, termasuk dibunuh, dipenjarakan, dibuang daerah, dinafikan hak sebagai warga dan pelbagai bentuk pengkhianatan lain. Biarpun kalah teruk -- termasuk melalui penipuan -- dalam pilihan raya, PAS tetap menghormati proses demokrasi dan pemimpinnya berjaya meyakinkan ahli-ahlinya agar tidak memilih jalan di luar batas undang-undang.

Justeru, apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad cuba melakukan satu lagi provokasi jahat, bagi saya ia satu tindakan tidak bertanggungjawab dan patut dikecam.

Dalam blognya,  Dr Mahathir mendakwa jika Pakatan Rakyat tewas dalam PRU13, mereka akan menganjurkan "demonstrasi ganas" tanpa henti untuk menolak keputusan itu. Selepas itu, pembangkang akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya. Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwanya.

Kalah dalam pilih raya bukan satu isu besar bagi pembangkang. Mereka sudah melaluinya sejak sekian lama. Sejarah menjadi saksi pembangkang dapat menerima kekalahan itu tanpa menimbulkan huru-hara. Yang panik dan gelabah apabila ditewaskan adalah Umno. Tidak dapat dengan jalan kasar, mereka memilih pendekatan membeli wakil rakyat dengan sogokan rasuah.

Namun, jika PRU13 berjalan secara tempang, penuh penipuan dan sarat dengan manipulasi, seperti tergambar melalui pelbagai komplot hari ini, saya sendiri tidak dapat menolak kemungkinan rakyat akan bangkit membantah melalui perhimpunan yang lebih ramai daripada Bersih 3.0 lagi.

Apakah Dr Mahathir sudah menduga bahawa Umno-BN sudah bersiap untuk melakukan "kejahatan dahsyat" itu dalam PRU13 nanti? Atau beliau sekadar membayangkan Umno sendiri  mungkin mencetuskan huru-hara dan keganasan sekiranya kalah dan hilang kuasa di peringkat persekutuan nanti, seperti terjelma secara kecil-kecilan sehari dua ini?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa