Mohd-Abdul-Wahid-Endut
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berdebat mengenai isu-isu setempat sebagai reaksi positif beliau terhadap penganjuran Debat Sinar, Selasa lalu.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, debat di peringkat negeri membabitkan beliau dan Ahmad perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah terutama membabitkan pembangunan dan sebagainya yang menjadi persoalan sehingga kini.


Bercakap kepada pemberita, Wahid berkata, pihaknya bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.


“Kalau di Terengganu debat boleh dilakukan antara saya dan Ahmad Said. Bila-bila masa sahaja. Kalau berbahas dalam Sidang Dun tidak sempat cakap sudah dipotong,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah politik di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas Terengganu.


Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.


Wahid turut mencadangkan bahawa debat perlu berkisar pada isu yang membabitkan hak rakyat.


Beliau turut mencadangkan isu runtuhan bumbung bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang tidak diketahui status sebenar sehingga kini dan juga penarikan balik saman royalti minyak terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat.


Katanya, debat akan membantu kedua-dua pihak mengupas persoalan yang berlaku secara lebih menyeluruh.


“Kita berdebat mengenai isu Terengganu seperti stadium runtuh, royalti minyak tarik balik. Sedangkan itu hak rakyat Terengganu dan saya sanggup, apatah lagi dengan Ahmad... bila-bila masa,” katanya.


Sinar Harian menganjurkan debat antara Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengenai Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi.