Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendakwa, penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang didakwa berbaur fitnah terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hassan Abdul Rahman, didalangi pembangkang.
    
"Saya percaya yang mulakan SMS ini daripada pembangkang, mereka ini biasa dengan kerja-kerja kotor," dakwanya.
    
ali rustamBeliau mendakwa, pihak pembangkang telah kehabisan modal sehingga sanggup memburukkan ADUN daripada Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan.
    
Mohd Ali diminta mengulas mengenai penyebaran SMS yang didakwa berunsur hasutan dan perkauman yang mula tersebar Selasa lalu.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kontinjen negeri Melaka kepada bapa angkat pasukan itu sempena Sukan Malaysia (Sukma) hari ini.
    
Di majlis itu, ADUN Kemayan, Pahang Mohd Fadil Osman dipilih bapa angkat kepada kontinjen negeri Melaka.
    
Selasa lalu, 13 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Melaka membuat laporan polis berhubung penyebaran SMS tersebut yang mendakwa Hassan melakukan tindakan tidak bermoral dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kaum India ketika menghadiri perhimpunan aman menghalang kedatangan pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga bagi mempromosikan BERSIH di Merlimau Sabtu lalu.
Sementara itu, Mohd Ali berkata Melaka tidak menaruh harapan tinggi pada Sukma ke-15 di Pahang mulai 7 hingga 16 Julai depan dengan hanya mensasarkan 20 pingat emas menerusi sukan tradisi negeri itu seperti wushu, menembak dan acara berbasikal.
    
Justeru beliau menggesa persatuan-persatuan sukan di Melaka mempertingkatkan usaha mengesan bakat baru terutama pelajar sekolah untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
    
- mk