Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 31, 2013

Bezanya isteri Habibie dengan isteri Najib

Oleh H FANSURI
SEJAK buku autobiografi Rosmah Mansor (isteri PM Najib Razak) dilancarkan, maka tidak sedikit buku itu mengundang kutukan dari langit. Kutukan dari langit itu sudah diterjemahkan lewat impian segala hati manusia untuk mengejinya.

Sementara itu di pihak Umno pula -- ketika catatan ini ditulis -- belum ada mana-mana pihak itu yang sudi membuat diskusi bertujuan mengangkat wacana berhubung buku ini. Agaknya Umno juga mengerti bahawa Rosmah itu bebanan buat seluruh alam termasuk Umno.

“Kalau Umno nak kalah cepat,” kata seorang teman, “Banyakkan perbahasan tentang buku Rosmah itu.”

Pendek kata, di pihak rakyat, berpusu-pusu kutukan mengalir ke atas isteri Perdana Menteri itu, sedang di pihak Umno pula, tiada orang yang berani membahaskan ‘kebaikan’ buku tersebut.

Buku setebal 165 halaman yang ditulis berdasarkan temu bual itu juga tidak galak disambut keras oleh wanita-wanita MIC dan wanita-wanita MCA juga. Mungkin bagi kaum Cina dan India, Rosmah bukanlah contoh ikutan yang terbaik buat diri mereka juga.

Demikianlah hari-hari berlalu dengan timbunan kata-kata Rosmah yang mengalir di corong-corong radio, dan sesekali suaranya bergetar, membikin setiap hati yang mendengar suaranya turut berdebar.

Mutakhir ini, yang paling memenatkan adalah - hidup untuk menanggung seksa derita akibat mendengar kata-kata keramatnya. Kata-katanya sebelum ini telah menyinggung rasa khalayak secara tidak sengaja.

"Takkanlah saya mahu menghebohkan kepada semua orang bahawa orang itu beri saya jam, orang itu beri saya beg tangan dan sebagainya. Itu sudah riak namanya, seperti mahu menunjuk-nunjuk," katanya.

"Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan berasa kecil hati," katanya.

"Saya tidak mahu kelihatan selekeh kerana apabila saya selekeh akhirnya saya dikritik," katanya lagi.

Mungkin ada banyak lagi deretan perkataannya yang meresah gelisahkan ramai yang mendengarnya. Di sana, Najib tidak pernah mengerti akan hakikat ini. Tapi, bukanlah hal ini yang ingin kita bahaskan.

Apa yang ingin kita bahas adalah persoalan berhubung perbezaan antara sikap Ainun Habibie (isteri bekas Presiden Indonesia; BJ Habibie) dengan Rosmah Najib apabila kedua-duanya berdepan dengan hadiah-hadiah ini.

Di dalam buku memoir Ainun dan Habibie (yang kemudiannya telah difilemkan dengan judul yang sama), ada diperihalkan sikap Ainun apabila suaminya Habibie mendapat hadiah jam tangan yang mewah.

“Semoga jam ini tersalah dihantar ya pak?” kata Ainun di dalam bahasa sindiran, ketika terjumpa hadiah jam tangan mewah yang sengaja diselitkan di dalam beg kerja Habibie. Esoknya Habibie sudah serahkan kembali hadiahnya itu. Dan, percubaan kapitalis yang menyogoknya telah terbatal.

Demikianlah sikap Ainun Habibie yang lebih afdal diikuti dibanding Rosmah Najib ini. Kita dapatlah ambil iktibar - betapa sikap isteri yang baik itu boleh memandu pemerintahan kita dengan baik dan sempurna.

Sebaliknya jika kita beroleh isteri yang tidak membantu kita dengan nasihat yang baik, maka jahanamlah seluruh pentadbiran isi negara itu. Itulah iktibar cerita Musang Berjanggut di mana isteri yang baik boleh memandu penguasa dalam pentadbiran negara.

Ainun dalam kacamata Habibie itu digambarkan sebagai wanita terpelajar. Beliau mengikuti suaminya di Jerman lalu bekerja sendiri sebagai doktor untuk membantu keluarganya. Ini berbeza dengan Rosmah.

Rosmah banyak menghabiskan wang negara, duit rakyat dengan kos perbelanjaan Permata Pintar hingga RM111 juta. Bukan saja Rosmah tidak bekerja sendiri membantu menampung keluarga, malah mengikis duit umat.

Jadi, bagaimanalah Habibie tidak jatuh cinta kepada Ainun itu? Cinta Habibie ke atas isterinya Ainun itu? Gambaran kisah kasih itu demikian bersinar terpancar sampaikan Habibie sanggup menulis biografi cinta untuk Ainun, tetapi Najib tidak menulis buku mengenai cintanya ke atas isterinya Rosmah.

Mungkinkah kerana Najib Razak sudah ada wanita lain? Dan, beliau sukar berlaku setia ke atas isteri itu? Entahlah! Hanya pembubaran Parlimen yang akan memecahkan segala persoalan yang maha getir ini

1 comment:

  1. Andai kata Najib tewas dalam PRU13, dan dia jatuh sakit lumpuh separuh badan, kemudian semua hartanya dirampas akibat kesalahan rasuah dan penyelewengan. Rasa-rasanya Rosmah akan terus berada di sisinya membantu makan pakai, berak kencing Najib tak?

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa