SHAH ALAM - Keputusan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk bertanding di Johor manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sama ada di Perak ataupun Selangor bagi membuka laluan Pakatan Rakyat (PR) mengukuhkan kedudukan, masih menjadi perdebatan.

Pakar Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan berkata, Kit Siang bertanding di Johor kerana yakin DAP mampu merampas kerusi yang dikuasai MCA.

Bagaimanapun, beliau berpandangan pengundi Cina di negeri itu tidak akan menyokong DAP seratus peratus kerana golongan tersebut adalah lebih bersifat strategik.

"Pengundi Cina tahu negeri itu tidak akan jatuh ke tangan pembangkang dan sekiranya mereka mengundi pembangkang mereka akan hilang suara dalam kerajaan negeri.

"Oleh yang demikian, keputusan Kit Siang untuk 'alih angin' itu dilihat sebagai kesilapan strategi dan tidak akan menjadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Sementara itu, ketika mengulas langkah yang diambil Anwar pula katanya, terdapat dua teori mengapa bekas timbalan perdana menteri itu mengambil keputusan itu.

Katanya, yang pertama Anwar dikatakan tidak mampu bertahan di Permatang Pauh dan keduanya kerana Anwar yakin pengundi di Perak akan terus menyokong PR.

Beliau menjelaskan, pada masa sekarang pengundi Melayu di negeri Perak sudah beralih sokongan kepada Umno dan mustahil negeri itu akan jatuh kepada pembangkang.

Mengulas perkara sama, Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Madya Dr Zaid Ahmad pula berkata, dalam mengatur strategi untuk mengucar-kacirkan lawan politik gabungan itu, PR mempamerkan gerakan yang sukar dijangka.

Menjelaskan lebih lanjut, Zaid berkata, sebelum ini mana-mana pihak mungkin tidak dapat menjangkakan langkah yang diambil oleh PR.

"Pemilihan Kit Siang untuk bertanding di Johor dilihat mampu memberi impak kepada pengundi Cina dan Barisan Nasional (BN) Johor pula terpaksa berhadapan dengan calon lawan 'heavy weight'.

"Memandangkan Kit Siang sudah berada lama dalam arena politik, beliau mungkin tidak risau kalaupun ditakdirkan tidak terpilih pada PRU13 nanti," jelas beliau.

Sedangkan katanya, langkah Anwar yang dilihat masih berteka-teki tentang kerusi yang akan ditandingi juga dilihat sebagai serangan psikologi supaya tidak dapat dibaca oleh pihak lawan.

Selain itu,Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, langkah PR tersebut dilihat mempunyai percaturan sendiri, namun sejauh mana kedua-dua tokoh itu mampu mengulangi kemenangan seperti rekod pilihan raya lalu masih belum dapat dipastikan.

"Saya merasakan langkah yang diambil merupakan cubaan PR untuk meletakkan calon berprofil tinggi pembangkang di kawasan-kawasan lain kerana yakin terhadap asas kukuh di kawasan yang sedang diwakili mereka.

"Namun, semuanya bergantung kepada penerimaan di kawasan baru," katanya.

Jelas beliau lagi, kerusi Parlimen Gelang Patah sebelum ini dimenangi oleh MCA dengan majoriti undi besar pada pilihan raya 2008 walaupun merosot berbanding 2004.

Katanya, dalam konteks ini cabaran Kit Siang bukan hanya terpaksa berhadapan dengan pengundi Cina di kawasan itu malah terpaksa berhadapan dengan pemimpin DAP sendiri yang masih bergelut mencari penyatuan.

"Mungkin konflik dalaman membabitkan kepimpinan PR di kawasan berkenaan yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tokoh veteran itu diletakkan di kerusi parlimen berkenaan bagi meleraikan masalah yang timbul.

"Timbul persoalan tujuan beliau dihantar bertanding di kawasan itu ataupun sekadar mempunyai matlamat lain dapat dilihat apabila tiba musim pilihan raya kelak," katanya.

Bagaimanapun, ketika mengulas keputusan Anwar bertanding di tempat lain, Sivamurugan masih berpandangan asas tokoh itu masih terletak di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan tidak pasti mengapa Anwar perlu keluar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman pula berkata, ketika ini PR dalam keadaan yakin gabungan itu boleh manawan Putrajaya, namun kemenangan mutlak itu masih pada kedudukan 50-50.

Beliau menjelaskan, PR juga sedar hakikat itu dan membuatkan gabungan tersebut mencari pendekatan-pendekatan yang dapat melonjakkan sokongan.

Katanya, dalam konteks ini, Johor dan Perak merupakan dua negeri yang berpotensi kerana Perak berdasarkan rekod kemenangan lalu manakala Johor pula berdasarkan peralihan undi orang Cina yang begitu ketara.

"Bagaimanapun, percaturan tersebut dilihat lebih memihak kepada Kit Siang kerana pada siri pilihan raya lalu ketika bertanding di Pulau Pinang dan Perak, kemenangan adalah menjadi milik ahli politik veteran itu, sekaligus menunjukkan ia memberikan kesan kepada
pengundi.

"Manakala bagi Anwar yang mengatakan akan bertanding di tempat baru itu mungkin sekadar gimik politik sahaja," katanya.

Beliau berpandangan, pada masa sekarang tidak ada satu kawasan yang selamat untuk Anwar bertanding di Perak.

Ketika diminta mengulas kawasan terbaik untuk Anwar tanding di negeri itu, Mohammad Redzuan berpandangan Anwar akan terus mengekalkan kerusi Parlimen yang ditandinginya sebelum ini.

Rasional pandangan beliau katanya, ketika Parlimen dibubarkan, disebabkan kekangan masa, peluang Anwar untuk berkempen dilihat sangat rendah.

"Kajian Umcedel baru-baru ini menunjukkan kedudukan Anwar masih kebal di kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun beliau tidak membuat kempen.

"Tiba musim pilihan raya nanti memerlukan beliau pergi berjumpa pengundi dan sebagainya sedangkan beliau perlu memberikan fokus di seluruh Malaysia.

"Kalau di kerusi Parlimen Permatang Pauh mungkin tidak mendatangkan masalah, namun berisiko jika di tempat lain kerana pengundi tetap mahu bertemu calon wakil rakyatnya," katanya.

Katanya lagi, senario sama turut dilihat sama jika Anwar memilih untuk bertanding di Selangor