22 Mac 2013
Penganalisis politik, Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, teknik kombinasi, muka baru dan kepimpinan sedia ada yang masih mendapat sokongan rakyat sememangnya dinanti oleh pengundi masa kini.
"Ia kombinasi sebenarnya. Calon muda yang dipilih mungkin memenuhi kehendak sentimen umum, calon muda dan calon boleh menang.
"Orang lama dalam parti, sudah tentu ada yang hendak nama mereka dicalonkan. Jika tidak dicalonkan, mungkin sokongan tenaga kerja jentera dalam parti akan merosot. Inilah sebenarnya harus diimbangi oleh parti-parti komponen ini," katanya kepada Sinar Harian Online.
Shamsul diminta mengulas perkembangan semasa bahawa BN mungkin tidak diwakili nama-nama besar dalam arena politik seperti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Koh Tsu Koon dalam pilihan raya akan datang.
Menurut Shamsul, jika pemimpin ini tidak dicalonkan, ia tidak akan menimbulkan sebarang tindak balas seperti sabotaj dan sebagainya.
Ia memandangkan, dalam parti komponen, presiden masing-masing yang akan membuat keputusan senarai calon dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hematnya tidak ada masalah untuk bersetuju dengan cadangan berkenaan.
"Pada saya Perdana Menteri tak akan ada halangan dan menyokong (jika presiden tak mahu tanding)," ujar beliau sambil menambah, masalah ini mungkin ada di peringkat calon parti yang lain.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, ia keputusan "sangat baik" bagi BN.
Jelasnya, kepimpinan lama ini perlu faham dan beri ruang kepada pemimpin muda dan baru ini mempersiapkan diri mereka sebagai pewaris kepimpinan pada masa hadapan.
"Mereka ini harus ada pengalaman dahulu. Yang baru ini juga kena tolak ansur.
"Jangan hendak cepat naik sehingga cuba singkirkan yang lama. Kena sabar, timba pengalaman dulu," ujar Mohamed Mustafa.
"Sama-sama kena fahamlah baru ada keharmonian," tambah beliau.
Seorang lagi pemerhati politik, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, kemungkinan pengguguran beberapa pemimpin lama dalam "perang" paling sengit ini sudah dinyatakan lebih awal.
Oleh itu katanya, sepatutnya mereka sudah maklum mungkin nama mereka antara yang akan disingkirkan itu.
"Mungkin ada juga yang tidak puas hati tapi akhirnya dia terpaksa menerima keadaan itu terutama sekali pemimpin parti.
"Mereka pun sedar. Nama-nama seperti yang disebut tadi, mereka pun ada masalah," ujar Zainal.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa