Presiden Pertubuhan Pasokmomogun KadazanDusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok menggesa kerajaan menarik balik kesemua kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah dan mengeluarkan semula dokumen berkenaan kepada golongan yang dikenalpasti sebagai warga yang sah.

Menurut laporan Borneo Post, MP Penampang itu menuntut demikian untuk menyisihkan golongan yang memiliki dokumen berkenaan secara tidak sah.

Anggota exco kerajaan Sabah itu juga berkata, beliau akan mengesyorkan perkara itu kepada suruhanjaya siasatan diraja mengenai pendatang asing di Sabah.

"Ini akan memberi peluang kepada kita di Sabah untuk membuktikan ketulenan kewarganegaraan kita supaya orang Sabah yang asli sahaja diberikan dokumen kerakyatan seperti kad pengenalan baru itu," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Kenyataan itu disokong para pemimpin parti komponen BN yang mewakili kumpulan Kadazan-Dusun Murut – presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Sri Joseph Kurup.

Kedua-dua mereka hadir dalam sidang media sama, lapor Borneo Post.

Dompok dilaporkan berkata demikian ketika melancarkan gerakan untuk membantu gereja di negeri itu, yang dinamakan Operasi Tataba.