24 NOVEMBER 2015
Urut tradisional sesetengahnya bercampur aduk dengan amalan khurafat.
BAU kemenyan menusuk hidung cukup buat bulu roma meremang. Mata meliar ke seluruh ruang bilik.
Nampak sebekas kemenyan yang diletak di atas bangku Jepun separa lutut di tepi tilam yang digunakan untuk mengurut.
“Buka baju tu mek, pakai kain ni. Mok Yah (bukan nama sebenar) nak start dah ni. Kalau sakit oyak (beritahu),” kata Mok Yah yang usianya mungkin awal 70an.
Sambil menghulurkan kain kuning yang dijahit menyerupai baju pesakit di hospital, Mok Yah tidak melengahkan masa terus mencapai sireh yang telah pun siap sedia di dalam mangkuk bersebelahan dengan bekas yang diisi minyak.
“Mok Yah lama dah ke mengurut, mesti banyak pengalaman kan?," saya cuba mengisi kesunyian malam itu, yang tujuan sebenar adalah untuk memesrakan diri dengan Mok Yah sekali gus mengurangkan sedikit rasa takut yang datang bersama bau kemenyan.
Mok Yah ketawa kecil sambil menggenggam jari-jari kaki saya. Pada awalnya sentuhan itu agak menakutkan namun lama kelamaan rasa sakit dan lenguh di tapak kaki mulai hilang.
“Mok Yah mengurut sejak umur 20 lagi mek. Masa tu Mok Yah sakit, jatuh motor. Habis luka tubuh. Tapi nak pergi klinik tak ada duit, pakai urut gitu je lah, kaba-kaba sia (sembuh),” katanya sambil memicit pergelangan buku lali saya.
Rasa keberatan pula hendak bertanya kepada Mok Yah tentang ilmu mengurut yang diperolehnya namun apabila terpandang gambar di sisi meja di mana terletaknya mangkuk kemenyan yang masih berasap itu, saya bertanya: “Gambar lama tu Mok Yah, siapa tu?”
“Itu emak dan nenek Mok Yah... demo (mereka) itulah yang turunkan ilmu mengurut ni kepada Mok Yah. Tak menurun pun, tapi kaba-kaba ada ilmu berubat orang melalui mengurut, kita ambiklah moga (sebab) benda molek, bukan benda tak molek,” katanya sambil ketawa kecil.
Ilmu turun temurun
Baru saya tahu dari mana datangnya ilmu mengurut Mok Yah. Rupanya warisan turun temurun. Mok Yah arahkan saya meniarap.
“Mok Yah memang nak mengurut ke, atau saja-saja mewarisi?"
Mok Yah tidak terus menjawab soalan saya. Dia bangun dan keluar dari bilik. Sambil menunggu, saya terus memerhati ke seluruh ruang bilik yang dipenuhi elemen warna kuning daripada cadar, lampu sisi, bekas minyak, mangkuk kemenyan, semuanya kuning.
Sambil memerhati, terpandang bingkai gambar yang diisi dengan sehelai kain kuning yang ditulis ayat bertulisan jawi. Ketika saya cuba mengeja ayat tersebut, tanpa disedari Mok Yah sudah berada di sisi dan menghulurkan agar-agar coklat.
“Makanlah mek, Mok Yah buat tu. Sekejap lagi Mok Yah urut pinggang dengan kayu deh. Lo ni kayu dok atas dapur lagi. Biar panas sikit. Makan benda ni dulu."
Bacaan ayat pendinding
Saya bertanya mengenai ayat itu. Mungkin Mok Yah dapat rasa kelainan saya berbanding pesakitnya yang lain. Saya memang banyak bertanya sebab tujuan saya hari itu bukanlah mahu mengurut tetapi mahu mendapatkan cerita. Kerana itu, kenalah banyak bertanya.
Mulanya Mok Yah seakan keberatan namun akhirnya dia buka mulut juga. Kata Mok Yah: "Ayat tu pendinding Mok Yah. Mok Yah selalu diganggu makhluk halus yang ada dalam badan pelanggan setiap kali datang yang bermasalah saka dan sebagainya.
“Ayat itu memang Mok Yah amal sejak dulu lagi, peninggalan arwah tok dan emak Mok Yah. Mereka pun pakai ayat inilah juga, kena baca lepas sebelum dan selepas mengurut. Kalu Mok Yah tak baca, Mok Yah boleh kena demam tujuh hari tujuh malam.
"Serupa juga dengan kemenyan, kena ada sokmo. Kalau tak ada (kemenyan) tak boleh mengurut, 'angin' tok mari. Wajib pakai kuning sebab tok nenek Mok Yah keturunan raja. Raja zaman dulu, keramat. Kalu angin tak mari, tangan tak kuat mengurut,”ujarnya jelas.
Barulah saya tahu apa guna semua benda yang ada dalam bilik itu. Namun begitu apabila ditanya sama ada ayat itu daripada al Quran ataupun sumber lain, Mok Yah cuba mengubah perhatian hingga akhirnya soalan saya langsung tidak dijawab.
Asap mesti mau ada pasal jin makan asap. Kalau luar rumah, najis haiwan dan tulang bangkai haiwan pun jadi makanan jin jugak. Kah kah kah.
ReplyDelete