Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Thursday, March 16, 2017

Selasa tak tiba-tiba lagi

Selasa tak tiba-tiba lagi tetapi ramai kawan Najib – Rosmah tanggung bala, bila nak saman WSJ?
Posted by admin Date: March 16, 2017
Hari ini, Selasa 14 Mac 2017. Adakah sesuatu yang dinanti-nanti akan berlaku? Atau ia akan berlalu sunyi dan kelu kerana Selasa tidak wujud dalam takwim kleptokrat dunia nombor satu?

Rasanya banyak orang sudah lupa. Pada 5 Julai 2015, akhbar The Star dan stesen TV Astro Awani melaporkan yang Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak akan kemukakan saman terhadap surat khabar Amerika Wall Street Journal (WSJ) pada hari Selasa 7 Julai 2015.

Maka media masa milik Umno dan prokerajaan pun berlawan-lawan siar berita itu. Utusan Malaysia begitu seronok sehingga membuat tajuk berita “PM Saman WSJ”.
Utusan seronok sampai “tipu” tajuk berita

Sampai hari ini orang dungu yang percaya kepada Utusan percaya Najib sudah saman WSJ.

Hakikatnya sampai hari ini Najib tak saman dan tak mungkin dia berani saman pasal sejak itu bukti penipuan 1MDB makin banyak.

Contohnya makin ramai kawan Najib-Rosmah dan kawan kepada kawan Najib-Rosmah kena tindakan undang-undang pasal terlibat dengan skandal penipuan 1MDB.

Yang terbaru kena tindakan seorang kawan baik Najib-Rosmah bernama Tim Leissner, bekas pengarah Goldman Sachs. Semalam, 13 Mac, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) haramkan dia daripada terlibat dengan sebarang kegiatan kewangan di republik itu selama 10 tahun.

Dia adalah antara eksekutif kewangan yang kena tindakan kerana terlibat dengan skandal kecurian dan pengubahan duit haram (money laundering) 1MDB.

Najib adalah pengerusi lembaga penasihat antarabangsa 1MDB dan berkuasa ke atas 1MDB sebagai Menteri Kewangan. 1MDB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Selain Leissner, Singapura telah bicara dan jatuhkan hukum penjara serta denda ke atas lima orang yang lain.

Singapura juga tutup cawangan dua buah bank Swiss (Falcon Private Bank dan BSI) dan denda dua buah yang lain – UBS (Switzerland) dan DBS (Singapura) – kerana kesalahan yang sama.

Berbilion-bilion ringgit duit yang dicuri daripada 1MDB cuba “dibersihkan” di Singapura oleh Jho Low, sahabat akrab Najib-Rosmah.

Pasal itu Najib dah tak berani ke Amerika dan Switzerland. Untuk Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York September lalu dia hantar Ahmad Zahid Hamidi dan untuk Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, awal tahun ini dia hantar Mustapa Mohamed.

Tapi di Malaysia Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, kata kes tutup. Apa yang nak kita hairankan.

Apandi adalah orang Umno lantikan Najib untuk ganti (Tan Sri) Abdul Gani Patail yang disingkir 24 jam atas alasan dia sakit tapi tanpa pengesahan Lembaga Perubatan (Medical Board).

Khabar kata, kontrak Abdul Gani ditamatkan pasal dia sedang bersiap sedia heret Najib ke mahkamah atas kes seleweng RM24 juta duit SRC International Sdn Bhd.

SRC ini milik Kementerian Kewangan dan pinjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kononnya untuk melabur di Mongolia negara Altantuya.

Kerja KWAP labur duit pencen kakitangan awam. Kalau macam ini, silap-silap duit pencen kakitangan awan pun lesap!

Jangan fikir tak boleh jadi. Dah ada banyak negara di mana duit pencen kakitangan awam lesap dicuri atau rugi dalam perniagaan macam di Greece, Brazil dan Argentina.

Pesara yang carum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dah mula rasa. Dividen makin tahun makin kurang sedangkan kos sara hidup makin naik.

Jadi kita kena waspada pasal kerajaan kita sudah digelar kerajaan kleptokrasi oleh DoJ. Kerajaan kleptokrasi ni adalah kerajaan yang curi duit negara dan rakyat jelata. Wallahuaklam.

RALAT: Tim Leissner inilah yang pada tahun 2012 atur hutang AS$6.5 bilion (kira-kira RM20 bilion pada kadar tukaran waktu itu) untuk 1MDB. Yang jadi kontroversi ialah Goldman Sachs dibayar komisen dan duit poket AS$593 juta (RM1.8 bilion). Pada tahun berikutnya (2013), kira-kira AS$680 juta masuk akaun peribadi Najib di AmBank.

* Komentar bebas bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk A Kadir Jasin I 16 Mac 2017

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa