Terdesak sangatkah mereka sehingga Menteri ini meraban? Sudah tidak boleh diharapkah kepada Parti-Parti komponen atau adakah rakyat tidak pandang serius lagi dengan Part-Parti yang berteraskan kaum dan bangsa yang dibanggakan selama ini?
Sudah kehabisan modalkah untuk memecah belahkan antara kaum dan mengalihkan perhatian rakyat ke arah mereka? Atau baru sekarang baru nak celik biji mata? Dan satu lagi, kemanakah nak dicampakkan keris telanjang yang berkarat tu?.
Cina dah lama buang lembing. Kita masih lagi genggam keris telanjang!
KUALA LUMPUR: Seorang Naib Presiden Umno semalam mencadangkan keahlian Barisan Nasional (BN) dibuat secara langsung tanpa perlu menjadi ahli parti komponen BN seperti diamalkan sekarang.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan BN, berkata perkara itu antara cadangan transformasi yang akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan jawatankuasa pindaan perlembagaan BN pada akhir tahun ini.
"Cadangan itu selaras dengan harapan serta matlamat untuk mempermudahkan rakyat menyertai perjuangan BN.
"Saya sudah minta Ibu pejabat BN mengeluarkan surat kepada Presiden dan kepemimpinan parti komponen untuk melantik wakil masing-masing duduk bersama saya dalam jawatankuasa induk pindaan ini," katanya kepada media selepas perasmian Majlis Konvensyen Wanita Umno oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.Beliau berkata, pada masa itu dapat dilihat bagaimana BN membuat transformasi yang sesuai dengan cita rasa serta kehendak ramai, sama ada cadangan keahlian secara langsung itu boleh dibincang dan dipertimbangkan.
"Sebagai contoh, menjadi ahli dalam parti kita (BN) tanpa dibelenggu dalam konteks kepartian (parti komponen) dan had umur yang ditetapkan untuk menjadi ahli secara langsung...bagaimana badan gabungan, badan bukan kerajaan (NGO), anak muda kita yang mungkin belum lagi sampai kepada tahap mahu membabitkan diri secara langsung dalam parti tertentu tetapi ingin bersama BN dalam perjuangan kita.
"Ini perubahan yang saya rasa perlu untuk kita berkhidmat kepada rakyat. Gagasan 1Malaysia menuntut kita turut berubah. Saya percaya dengan kemahuan politik untuk melakukannya, kesedaran mendalam mengapa kita perlu melakukannya, sasaran tertentu, niat ikhlas serta komitmen bersungguh-sungguh, apa yang sudah dilakukan (transformasi) dalam Umno, saya cukup yakin juga dapat dilakukan dalam konteks parti BN," katanya.
Akhbar semalam melaporkan Konvensyen BN akan diadakan pada akhir tahun ini bagi meminda perlembagaan dan menggubal dasar yang bersikap lebih terbuka serta inklusif untuk mengiktiraf sumbangan parti politik, individu dan NGO yang menyokong parti itu.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, sebarang pelaksanaan cadangan pindaan perlembagaan itu memerlukan persetujuan semua parti komponen BN.
Beliau berkata, keputusan awal melihat semula dan meminda perlembagaan BN adalah satu petanda baik menyahut seruan Umno untuk melakukan transformasi.
Katanya, transformasi dan juga pindaan perlembagaan Umno yang dilakukan pada perhimpunan agung lalu ternyata tidak sia-sia, termasuk sudah disahut oleh Pergerakan Wanita Umno sehingga mencetuskan kesedaran ahli bahawa perubahan perlu dilaksanakan.
"Apa yang kita bincangkan semalam (kelmarin dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN) ialah bahawa landskap dunia hari ini menuntut kita menyesuaikan perjuangan kita dan parti mengikut tuntutan semasa.
"Secara konsensusnya, kepemimpinan parti komponen dalam BN sudah bersetuju bahawa perlembagaan BN mesti menggambarkan apa keadaan di luar, bermakna parti perlu inklusif dan memberikan ruang kepada golongan yang ingin berjuang tetapi bukan berada dalam parti masing-masing.
"Perlembagaan yang perlu saya teliti dengan rakan yang lain menuntut kita melihat perkara ini dari kaca mata yang baru dan ia sudah dimulakan...kebetulan saya juga yang bentangkannya pada peringkat Umno, akan diperluas dalam konteks BN," katanya.
Sumber dari sini
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa