Pesawat Airbus A380 Milik MAS Mulakan Penerbangan Sulung
SEPANG, 2 Julai (Bernama) --Airbus A380, pesawat penumpang komersil terbesar di dunia milik Malaysia Airlines (MAS), memulakan penerbangan sulungnya Ahad dengan memilih London sebagai destinasi pertama.
Selepas ini, pesawat itu akan terbang ke London sebanyak tiga kali seminggu sebelum memulakan perkhidmatan harian ke destinasi tersebut pada Ogos.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan acara melepaskan penerbangan sulung pesawat kebanggaan negara itu dalam satu majlis yang penuh gemilang dan meriah di sini Ahad malam.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.
Muhyiddin berkata penerbangan itu membuktikan kerajaan memberi perhatian serius dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia dan pelancong.
"Ini adalah satu kejayaan bagi negara dan kita berharap untuk mencapai sasaran ketibaan 30 juta pelancong tahun depan," katanya.
Pesawat sepanjang 73 meter itu mampu menampung sehingga 494 penumpang dan menawarkan satu daripada susunan tempat duduk terbaik dalam industri penerbangan bagi kabin kelas pertamanya.
MAS merupakan syarikat penerbangan kelapan dalam kelab A380 selepas Singapore Airlines, Emirates, Air France, Lufthansa, Korea Air dan China Southern Airlines.
MAS juga bakal menjadi syarikat penerbangan kedua yang mengendalikan pesawat ini apabila menjadi anggota penuh Oneworld Alliance pada akhir 2012.
Syarikat penerbangan negara itu menempah enam pesawat A380, empat akan dihantar menjelang hujung tahun ini dan bakinya pada 2013.
Laluan Kuala Lumpur-Sydney akan menjadi destinasi kedua A380 menjelang akhir November.
Terdapat juga rancangan untuk menerbangkan A380 ke Narita, Tokyo dan/atau Beijing sebagai tambahan kepada perkhidmatan MAS.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa