Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya akan membuat pendedahan balas terhadap ADUN DAP Ng Suee Lim sekitar isu rumah kondominium yang dibinanya.

NONE"Suruh dia bersedia dengan isu rumah kondo yang dia buat di Sekinchan. Tunggu, kita akan tanya dia pula," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucap utama dalam Konferen Antarabangsa Bisnes Agro-Bio 2012 di ibu negara petang ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan, bila pendedahan tersebut akan dibuat terhadap wakil rakyat DAP itu.

Noh yang juga ahli parlimen Tanjong Karang memberi amaran demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung pendedahan Ng mengenai dakwaan pemimpin Umno bahagian itu membeli tanah dengan harga sangat murah pada tahun 2001.

Diminta mengulas berhubung dakwaan Ng tersebut, Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani bagaimanapun enggan menjawabnya.

NONE"Ini standard isu tempatan, tak payahlah (jawab)... Ini isu tempatan, tak payahlah," katanya.

Ng pada 6 Jun lalu mendakwa terdapat urus niaga tanah tidak wajar membabitkan 1.2 hektar yang dibeli oleh Umno Tanjung Karang pada harga diskaun sebanyak RM3.17 juta pada tahun 2001.

Enggan ulas itu papan tanda 'haram'
Sementara itu, beliau juga enggan mengulas dakwaan bahawa beliau memasang papan tanda memaparkan wajahnya bersama perdana menteri secara haram di Kuala Selangor.

Sebaliknya, menurut Noh, setiausaha politik kepada menteri besar Selangor Faekah Husin yang membuat dakwaan itu patut menyelesaikan "masalah dalaman" PKR melibatkan terlebih dahulu.

NONE"Suruh dia selesai masalah dalaman (terlebih dahulu). Pastikan dia selamat sebagai pegawai (setiausaha politik).

"Orang PKR pun marah dekat dia, dia nak kacau orang pasal apa. Selesai masalah dalaman dahulu, pastikan jawatan kekal, baru dia (boleh) cakap banyak," kata Noh dengan nada tegas.

Portal kerajaan negeriSelangorku kelmarin melaporkan Faekah sebagai berkata, tujuh papan tanda berkaitan dipasang secara haram di Tanjung Karang, melanggar peraturan dan tanpa kebenaran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDSA).

Mempertahankan tindakan itu, Noh kemudiannya menjelaskan, semua papan tanda itu dipasang oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Katanya, pemasangan papan tanda itu bukan untuk kepentingan politik tetapi bagi memaklumkan kawasan Tanjong Karang sebagai pusat pertanian utama di Selangor.