TUMPAT – Satu laporan polis dibuat Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) terhadap Gabungan Profesional Kelantan Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Kelantan (Royalti) yang didakwa menggunakan nama Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V dalam perjuangan mereka.

Laporan polis itu dibuat kira–kira jam 10.15 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat oleh Naib Presiden MTRK Kelantan, Ab Kadir Ya’acub yang dihadiri bersama kira-kira 100 ahli MTRK.

Turut hadir, Setiausaha MTRK Tumpat, Izani Abdul Kadi dan Timbalan Ketua MTRK Tumpat, Nik Mustapha Nik Mat.

Ab Kadir yang juga Ketua MTRK Kawasan Tumpat berkata, dia kesal atas dakwaan pertubuhan NGO itu yang mengatakan perjuangan mereka mendapat perkenan Sultan Kelantan.

“Saya memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan dakwaan Royalti itu yang mendapat perkenan Sultan dan pihak yang tidak menyokong pergerakan Royalti secara tidak langsung akan menderhaka kepada baginda,” katanya.

Menurutnya, Royalti adalah pertubuhan bukan kerajaan yang didalangi Pas.

"Pada 26 Jun lalu, Royalti mengadakan perhimpunan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dengan membawa kain rentang yang terdapat gambar Sultan.

“Perhimpunan itu turut membabitkan Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar), penyokong  Royalti membawa kain rentang itu dan mendakwa sesiapa yang tidak menyokong pergerakan mereka secara tidak langsung menderhaka kepada sultan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Kadir berkata, MTRK tidak akan berhenti menuntut air bersih daripada Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak rakyat Kelantan.