Tahniah kepada artis-artis yang kini berani tampil secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Selama ini rungutan golongan artis di bawah pemerintahan BN ialah mereka dianaktiri, dipinggir dan kreativiti disekat.
Contohnya filem atau drama yang melibatkan watak polis mesti terlebih dahulu dilulus oleh PDRM-ini adalah terang-terangan satu kongkongan kebebasan. Penapisan pula semakin ketat. Sejak akhir-akhir ini bukan sahaja skrip drama mesti diluluskan oleh stesen-stesen TV tetapi casting pelakon juga mesti terlebih dahulu mendapat perkenan stesen-stesen TV. Lagu-lagu yang kritis pula akan digam oleh stesen TV dan Radio. Ini adalah sebahagian contoh dari senarai panjang tekanan-tekanan.
Bob Lokman, Aishah, Dayang Ku Intan, Hairie Othman, Abby Abadi, Iwan (sekadar menyebut beberapa nama) menyertai Pakatan kerana yakin bahawa gagasan tersebut adalah wadah alternatif untuk menggantikan BN.
Kehadiran artis-artis disambut baik dengan undangan ceramah hampir setiap malam. Namun begitu, ceramah berterusan tidak wajar terjadi. Pakatan tidak sepatutnya mengajak artis berceramah kerana ia bererti mensia-siakan bakat seni para artis tersebut.
Artis-artis tersebut sewajarnya digalakkan untuk terus membuat persembahan seni, cuma wadah dan isinya berbeza.
Selain itu, Pakatan juga harus mengambil peluang ini untuk mempamerkan diri sebagai wadah baru kepada artis dalam dunia hiburan dengan menyediakan ruang, peluang dan kemudahan bagi mereka untuk terus berkarya.
Di bawah Pakatan, Bob Lokman harus terus mencipta lagu, Dayang Ku Intan dan Aishah harus terus menghasilkan album, Abby Abadi dan Hairie Othman harus terus berlakon dan begitu juga artis-artis lain.
Pakatan gagal menyambut kehadiran artis dengan cara sewajarnya. Setakat ini tiada usaha untuk mengadakan konsert yang menggabungkan artis-artis yang berhijrah. Tiada juga usaha menghasilkan album lagu-lagu reformasi. Tiada juga usaha untuk menghasilkan filem yang mencatat sejarah perjuangan dan sebagainya.
Produksinya bukan mudah kerana memerlukan belanja besar. Tetapi apakah dengan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, peruntukan kebudayaan di negeri masing-masing tidak boleh untuk tujuan ini?
Selain itu, sumber kewangan Pakatan adalah sumbangan orang ramai. Apakah kaedah yang sama tidak boleh digunakan?
Warga artis sedang menanti apakah Pakatan akan mengembalikan martabat artis dengan membebaskan mereka dari belenggu BN. Kerana itu konsep hiburan altenatif yang bakal dilaksanakan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya kelak, wajar dilaksanakan sekarang terutama di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.
Apakah tahap penapisan dan kebebasan yang bakal diterap Pakatan apabila memerintah kelak? Apakah akan ada garis panduan yang jelas? Semua ini boleh dijawab dengan mempraktikannya sekarang.
Jika ini dapat dilakukan, bukan sahaja Pakatan akan dilihat sebagai wadah alternatif, tetapi payung harapan kepada artis-artis agar dalam melahirkan karya-karya bebas, berkualiti dan menjurus perjuangan.
*Zunar ialah kartunis politik.
|
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa