Dari mana datang wang mahu tunai janji?
Khairy Jamaluddin
Dalam negara berada di ambang pilihan raya umum, kita telah menyaksikan pelbagai usaha daripada pihak pembangkang memperkenalkan beberapa cadangan dasar bagi memenangi segmen pengundi utama.

Secara khususnya, mereka telah menyasarkan pengundi muda yang mewakili sebahagian besar daripada lebih dua juta rakyat Malaysia yang baru berdaftar sebagai pemilih, dan juga kelas menengah secara amnya.

Dua daripada cadangan dasar pembangkang yang telah diumumkan tahun ini khusus untuk menawan kedua-dua kumpulan pengundi tersebut secara langsung adalah menghapuskan semua pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menyediakan pendidikan universiti percuma dan, yang terbaru, dasar untuk mengurangkan harga kereta penumpang. Kedua-dua dasar ini dirangka dengan matlamat politik yang jelas.

Pelupusan pinjaman pelajar adalah tawaran menarik untuk pengundi muda yang masih dibebani dengan pembayaran balik hutang PTPTN, kos sara hidup yang meningkat dan bagi sesetengahnya pula, komitmen kewangan meniti gerbang perkahwinan serta memulakan sebuah keluarga.

Manakala janji harga kereta yang lebih rendah mempunyai daya tarikan yang lebih luas kerana rakyat Malaysia perlu membayar lebih untuk kereta yang sama daripada pembeli di negara-negara lain, yang menyebabkan sebahagian besar daripada gaji bulanan kita digunakan untuk melunaskan bayaran pinjaman kereta.

Dengan menjaja janji-janji ini, pembangkang mengatakan bahawa ia boleh membantu meningkatkan disposable income (pendapatan boleh guna) rakyat kerana kita akan mempunyai lebihan wang untuk kegunaan lain dan juga untuk simpanan kerana kedua-dua tanggungan ini akan lenyap (pinjaman PTPTN dihapus) atau dikurangkan (harga kereta yang lebih murah).

Bagaimana tampung kos Rencana ini tidak bertujuan untuk meneliti kedua-dua cadangan pembangkang tersebut secara langsung, tetapi untuk membincangkan satu persoalan pokok yang timbul apabila parti-parti politik - terutamanya mereka yang tidak memerintah - membuat janji-janji pilihan raya:

Bagaimanakah pembangkang akan dapat menampung kos bagi segala janji-janji mereka? Jika persoalan ini tidak dapat dijawab, tak perlulah kita bincang tentang dasar-dasar mereka secara spesifik sebab ia sekadar janji manis yang tidak mungkin dapat ditunaikan.

Jika soalan ini tidak perlu langsung untuk dijawab, maka politik akan menjadi satu permainan yang mudah. Mana-mana pihak boleh menjanjikan apa sahaja hatta bulan, bintang dan matahari dan kemudiannya duduk bersenggang menantikan peralihan sokongan pengundi kepada mereka umpama pengail yang menunggu untuk merentap ikan yang meragut umpannya. Namun, hakikatnya kita tidak hidup dalam dunia yang mana pengundi percaya mereka boleh mendapatkan segala-galanya secara percuma.

Rakyat Malaysia umumnya percaya bahawa kerajaan tidak seharusnya meningkatkan defisit belanjawan dengan janji-janji yang boros dan berhutang lebih banyak lagi. Kebanyakan rakyat Malaysia juga merasakan bahawa mereka yang berhutang perlu membayar kembali apa sahaja yang telah mereka pinjam dan tidak mengalihkannya pula kepada kerajaan untuk dihapus kira hutang tersebut.

Tidak serius

Pada masa yang sama, isu ini juga penting di dalam memperlihatkan disiplin pengurusan kewangan negara kepada pelabur antarabangsa dan juga agensi-agensi penarafan kredit yang sedang menilai sama ada kita hidup mengikut kemampuan kita. Dalam era yang dibayangi oleh krisis pembayaran balik hutang serta pelbagai pelan penyelamatan dalam kalangan negara- negara maju, sudah pastinya tanggungjawab fiskal adalah antara kriteria utama untuk menarik pelaburan asing dan mendapat penarafan kredit yang baik.

Namun, pembangkang tampak tidak serius dan tidak mengambil berat tentang disiplin pengurusan kewangan negara di dalam agenda mereka. Mereka gagal menjelaskan bagaimana mereka akan menanggung segala kos janji pilihan raya mereka. Untuk pengamatan umum, kos bagi janji mereka akan mencecah kepada RM206.5 bilion dalam tahun pertama sahaja.

Jumlah tersebut bukan sahaja mencakupi janji-janji terbaru iaitu pelupusan pinjaman pendidikan tinggi dan pengurangan cukai ke atas kereta, tetapi juga segala janji-janji yang terkandung di dalam Buku Jingga. Dan ini belum lagi mengambil kira janji yang sudah menjadi lumrah di dalam ceramah pembangkang untuk mengurangkan harga petrol serta- merta sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan. Janji harga minyak ini sahaja boleh merobek kantung kerajaan beratus-ratus juta ringgit, selain daripada apa yang telah disenaraikan di dalam rajah di bawah.

Peruntukan

Bagi analisis yang lebih mendalam, segala kos bagi janji-janji pembangkang hendaklah dinilai di dalam konteks perbelanjaan negara secara keseluruhan.Untuk pengetahuan ramai, jumlah peruntukan bagi belanjawan Kerajaan Persekutuan untuk 2012 adalah sebanyak RM232.8 bilion.

Berdasarkan jumlah ini, janji-janji pilihan raya pembangkang sahaja sudah hampir mencecah 90 peratus daripada belanjawan tahunan kerajaan.

Jadi, jika kesemua janji tersebut akan dipenuhi dalam tahun pertama mereka memerintah, akibatnya kerajaan  tidak akan mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji guru, doktor, jururawat, polis dan anggota tentera, apatah lagi mempunyai dana untuk membina jalan, sekolah, hospital atau menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan miskin. Kebanyakan wang akan digunakan untuk menunaikan segala janji Buku Jingga.

Jika ini berlaku kesemua perkhidmatan penting akan terhenti dan negara akan gagal berfungsi. Jika pembangkang memutuskan untuk meminjam lebih banyak wang untuk membiayai janji-janji mereka, defisit fiskal akan membengkak mencecah lebih daripada 25 peratus daripad KDNK dan mengakibatkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun pertama.

Penjimatan

Seandainya kita mengajukan hujah ini kepada pembangkang yakni janji-janji mereka akan menelan perbelanjaan yang amat besar dan mustahil untuk dibiayai, mereka akan segera tampil dengan jawapan klasik iaitu untuk menghapuskan rasuah bagi menampung segala kos janji janji mereka

Bagi pembangkang, jawapan ini sudah memadai untuk menjelaskan bagaimana janji-janji mereka akan dibiayai. Tetapi persoalannya, apakah mereka boleh menebus kesemua janji mereka dengan hanya menghapuskan rasuah (sekiranya ada)?

Untuk itu, mari kita sekali lagi menganalisis belanjawan 2012. Daripada jumlah RM232.8 bilion yang diperuntukkan, RM148.5 bilion (63.8 peratus daripada jumlah besar) diperuntukkan untuk gaji penjawat awam serta caj tetap dan geran seperti subsidi, khidmat hutang, biasiswa, geran penyelidikan dan juga pemberian dana untuk Kerajaan Negeri. Ini adalah semua caj atau bayaran tetap.

Manakala baki sebanyak RM84.3 bilion adalah untuk perbelanjaan berkaitan perolehan, sama ada pembelian peralatan, perkhidmatan dan aset atau pun bagi pembayaran projek di bawah perbelanjaan pembangunan.

Memandangkan rasuah dan ketirisan, secara logiknya, hanya boleh berlaku untuk perbelanjaan berkaitan perolehan berbanding caj tetap seperti gaji, apa-apa penjimatan dicanangkan pembangkang hanya boleh dibuat daripada bahagian tersebut. Jika mereka mendapat penjimatan 10 peratus daripada perolehan, dana tambahan adalah sebanyak RM8.43 bilion dan ini tidak cukup untuk membayar segala janji pilihan raya pembangkang.

Malah jumlah keseluruhan yang berkaitan dengan perbelanjaan perolehaniaitu RM84.3 bilion jauh daripada mencukupi untuk menampung keseluruhan RM206.5 bilion yang diperlukan untuk menampung kos bagi segala janji mereka ke Putrajaya. Pokoknya: amatlah mudah untuk pembangkang mengatakan bahawa penjimatan boleh dibuat dengan mengurangkan ketirisan, tetapi tiada siapa yang benar-benar menyemak berapa banyak yang boleh dijimatkan.

Walaupun 10 peratus daripada perolehan sememangnya satu jumlah yang signifikan sebagaimana dijelaskan di atas, tetapi ia amat kecil jika dibandingkan dengan apa yang diperlukan untuk memenuhi segala janji-janji pembangkang.

Jadi, pembangkang tidak boleh berpuas hati dan berpeluk tubuh dengan hanya sandaran hujah menghapuskan rasuah untuk menjana dana. Ini kerana usaha itu sahaja tidak akan dapat menampung kos segala janji mereka. Pembangkang perlu berkongsi dengan rakyat Malaysia apakah cara atau langkah lain yang akan mereka laksanakan.

Apakah mereka akan meminjam wang? Apakah program yang akan dibatalkan? Apakah projek yang akan dirincih? Sekolah atau hospital manakah yang tidak akan dibina? Apakah cukai akan dinaikkan? Berapa ramai penjawat awam yang akan diberhentikan?

Selagi pembangkang tidak mampu menjawab segala persoalan di atas dan menjelaskan dengan rapi bagaimana ia akan meningkatkan wang untuk memenuhi janji-janjinya dan bukannya dengan hujah tangkap muat dengan penghapusan rasuah (yang terbukti tidak tuntas), kita boleh menganggap sama ada pembangkang akan mengemudi Malaysia ke lembah kehancuran dengan membelanjakan apa yang tiada di kantung kita atau pembangkang sebenarnya tidak mempunyai niat barang sedikit pun memenuhi janji kerana mereka tahu mereka tidak boleh melaksanakan dan membiayai janji tersebut.