SLIM RIVER –  Dijanjikan hasil pulangan tinggi hingga mencecah RM1.5 juta, maka tidak hairanlah 476 peneroka Felda Sungai Behrang yang terletak hampir 13 kilometer dari tapak pembangunan Proton City, satu ketika dulu, memasang angan-angan tinggi untuk hidup mewah.

Pembangunan yang pernah dirancang pada 1994 untuk memajukan lokasi seluas 5,000 ekar itu menjadikan penduduknya ghairah dan teruja untuk menikmati hasil pembangunan yang dirancang.

Pengerusi Koperasi Felda Sungai Behrang, Sahak Baitan berkata, dalam tempoh tujuh tahun itu, kawasan Felda boleh diibaratkan sebagai sebuah lokasi pesta jualan apabila pelbagai barangan ditawarkan tanpa bayaran pendahuluan.

Menurutnya, dari barangan elektrik, perabot hinggalah kenderaan mewah pelbagai jenama, penduduk Felda Sungai Behrang boleh mengambil apa sahaja barangan tanpa bayaran awal.

“Situasi pada ketika itu tidak ubah seperti pesta barang percuma, setiap hari pelbagai deretan kereta mewah datang ke kawasan ini. Jika berhasrat, kami boleh pilih dan ambil apa sahaja jenis kereta tanpa bayaran pendahuluan, daripada kereta jenis Wira hinggalah Mercedes, semuanya ada,” katanya.

Ditanya adakah antara kalangan mereka yang membeli kereta berkenaan, Sahak berkata, ada beberapa individu yang mempunyai simpanan lebih membeli kereta yang dipamerkan.

Katanya, tindakan itu dibuat, dengan harapan wang yang dibelanjakan akan diganti semula dengan ganjaran yang bakal mereka peroleh kelak.

“Saya dulu pun fikir begitu juga, mujurlah tidak terikut, sebenarnya ramai kalangan kami berhasrat untuk membeli tanah sekiranya mendapat wang itu, tetapi apa boleh buat, hasrat tidak kesampaian,” katanya.

Sahak yang merupakan antara peneroka terawal di kawasan itu turut mengakui, impian untuk menjadi orang kaya baru sememangnya sudah menjadi fenomena di kawasan itu.


Diberi kebenaran berhutang

Ketua Biro Belia JKKK, Mohammad Ridzauddin Abd Molop berkata, perkhabaran jutawan mewah yang menjadi fenomena di Felda berkenaan turut memberi kesan ketara kepada anak-anak yang bekerja di ibu kota untuk pulang ke kampung masing-masing.

Menurutnya, ada yang mengambil keputusan berhenti kerja untuk meneruskan khidmat di kampung dengan harapan mendapat tempias jutawan ibu bapa masing-masing.

“Ibarat kata orang, walau tak dapat wang pun, jadi pengawal peribadi ibu dan bapa pun jadilah,” katanya.

Mohammad Ridzauddin yang ketika itu membuat kerja sambilan penghantaran barang di sebuah premis barangan elektrik mengakui, setiap penduduk diberi kebenaran berhutang peralatan elektrik dengan nilai maksimum RM15,000.

“Bayangkanlah ketika itu, mereka boleh ambil apa sahaja, semuanya tidak dikenakan bayaran, bayaran hanya akan diambil apabila wang ganjaran hasil pembangunan diterima.

“Tetapi apabila pembangunan dirancang tidak menjadi, ada yang terpaksa mengembalikan barangan yang diambil, tidak kurang juga terpaksa membayarnya secara ansuran,” katanya.


Rugi hasil tanaman

Tujuh tahun yang dilalui penduduk di Felda Sungai Behrang dengan memasang angan-angan sebagai jutawan nyata bukan satu tempoh yang pendek.

Sepanjang tempoh itu, Ketua Kampung, Abdullah Mat Daud berkata, banyak kerja ladang dan kebun mereka tergendala kerana rata-rata peneroka menganggap ia bukan lagi keutamaan.

“Akibatnya, pokok banyak yang tidak terjaga menyebabkan penghasilan getah berkurangan, keadaan ini secara tidak langsung pendapatan peneroka agak goyah kerana Felda tidak lagi menampung kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai tawaran penjualan produk dan barangan elektrik yang dibuat sepanjang tempoh tujuh tahun itu juga menyebabkan kadar hutang dalam kalangan peneroka meningkat.

Katanya, boleh dikatakan syarikat-syarikat yang menawarkan barangan ‘percuma’ sebelum itu terpaksa menanggung kerugian besar apabila sebahagian besar peneroka tidak dapat membayar kembali harga barangan yang diambil.

“Mengikut perjanjian ‘jual-beli’ itu, bila dapat duit baru bayar, jadi penduduk berpegang kepada perjanjian itu, duit yang diharapkan tidak dapat, susahlah mereka mahu bayar,” katanya.


Peneroka sokong

Menubuhkan syarikat Behrang Development Sdn Bhd, bekas Ahli Lembaga Pengarah, Kamaruddin Zakaria, 65, berkata, kehidupan mereka berubah apabila perancangan untuk membangunkan kawasan yang mula diteroka pada 1966 itu dipersetujui semua pihak.

Menurutnya, meskipun menyedari impak yang bakal diterima apabila mengambil keputusan keluar daripada Felda, pihaknya yakin dengan keupayaan untuk merancang pembangunan sendiri di kawasan itu.

“Ketika itu keyakinan kami begitu tinggi, kita mendapat sokongan kuat dari kerajaan, malah menerima khidmat konsultan dari sebuah syarikat yang terkemuka, jadi siapa yang tidak teruja.

“Setiap perbincangan dibuat dengan teratur, boleh dikatakan hampir setiap bulan kami bermesyuarat, bagaimanapun krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia pada 1997 menyebabkan hasrat berkenaan terbantut begitu sahaja,” katanya.

Kehadiran pelabur yang datang bersilih ganti ke kawasan itu untuk meneruskan pembangunan menjadikan perancangan awal yang seakan terkubur, kembali berkobar.

Kamaruddin berkata, apabila peneroka menubuhkan syarikat kedua Behrang Bersatu Berhad, jawatankuasa yang dilantik kembali giat melaksanakan gerak kerja memilih pelabur dan pemaju yang benar-benar berminat.

Katanya, pelan pembangunan yang teratur dan strategik menjadikan ramai pelabur berminat untuk terlibat sama dalam pembangunan di kawasan itu.

“Ketika itu boleh dikatakan kampung mereka menerima kunjungan pelabur dari pelbagai negara setiap hari yang menawarkan pelbagai jaminan dan ganjaran.

“Kami sebenarnya sangat berhati-hati dalam isu ini, kami semua tidak ada pelajaran tinggi, takut tergadai pula tanah, ada juga syarikat yang sudah dipersetujui, tetapi mengenakan syarat yang tinggi, mereka mahu salinan geran dan sebagainya.

“Apabila sudah terlalu lama tempoh perbincangan mengenai ‘pembangunan sendiri’ ini berlangsung, pada 2001 akhirnya kami peneroka duduk berbincang dan mengambil keputusan untuk kembali kepada pengurusan Felda,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu nyata disambut baik semua generasi Felda Sungai Behrang.

“Sebenarnya kami menyesal kerana mengambil keputusan keluar daripada pengurusan Felda dahulu, tetapi tidak mengapalah, mujur pelan pembangunan yang dirancang ini tidak memberi impak yang begitu ketara kepada peneroka Felda,” katanya.