Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa jet peribadi yang digunakannya dalam kempen di Sabah dan Sarawak tengah bulan ini bukanlah miliknya tetapi milik 'rakannya'.
 
Menurutnya, rakannya itu meminjamkan jet peribadi jenis Dassault Falcon 7X tersebut untuk berkempen kerana masalah cuaca dan logistik yang dihadapi di kedua negeri Malaysia Timur itu.
 
“Pemilik jet itu membenarkan saya menggunakan jet itu kerana ingin membantu memandangkan di ketika itu saya amat memerlukan penggunaan jet tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
 
Kata Anwar lagi, sebelum menggunakan jet peribadi itu, beliau bertanya dahulu kepada pemilik jet itu adakah dia berbuat baik kerana mempunyai kepentingan memiliki tanah di negeri bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) 'rakannya' itu menafikannya.
 
“Bantuan itu tidak terikat dengan apa-apa dan sekiranya saya diberikan peluang selepas ini untuk menggunakan bagi kempen pilihan raya, ia memang sangat diperlukan. Kalau boleh saya mahu pinjam lagi, “katanya.
 
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjelaskan bahawa jet tersebut berpangkalan di Kuala Lumpur dan berdaftar dengan Jabatan Penerbangan Awam.
 
Katanya lagi, jet tersebut digunakan untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Labuan, Kota Kinabalu, Kuching dan kembali ke Kuala Lumpur.- SH


Dan di bawah ini memang Isu

Hutang Negara Kini Mencecah RM437 bilion

(Oleh: Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara kini mencecah RM437 bilion berdasarkan Laporan Bank Negara yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Laporan Bank Negara Malaysia bertarikh 30 september 2011 menyatakan angka hutang negara setakat suku ke 2 tahun ini menunjukkan hutang negara mencecah RM437 bilion,” kata Anwar pada pembentangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di parlimen hari ini.
Menurutnya, jika unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK negara.
Kadar itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara.
“Kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK.
“Maknanya di bawah menteri kewangan yang secara kebetulan semuanya perdana menteri sebelum 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih hingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun,’ katanya.
Keadaan itu, kata Anwar, diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara.
“Defisit negara diunjurkan mencecah 6 peratus bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2 peratus seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh,” kata Anwar.
Ketika membentangkan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat di parlimen hari ini, Anwar berkata ia bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi hidup yang semakin terhimpit.
Pakatan memperuntukkan RM220 bilion dalam belanjawan berkenaan melibatkan penjimatan  sebanyak RM4 bilion dari perbelanjaan kerajaan BN.
Ia menumpukan usaha  mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada KDNK tahun ini. - KD