Royalti: Kelantan ada hak batal perjanjian - peguam
Aslani M, | 25 Sep 2012 |
KOTA BHARU: Seorang peguam, Muhammad Faizal Che Yusof berhujah kerajaan Kelantan berhak membatalkan dan menamat perjanjian dengan Petronas kerana ada perlanggaran undang-undang kontrak.
Beliau berkata, secara jelas berlaku rescind the contract apabila Petronas gagal membayar royalti sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian yang ditandatangani 9 Mei 1975.
Katanya, Petronas telah memecah janji atau repudiate the contract.
“Justeru itu pihak-pihak iaitu Petronas dan Kelantan dalam hal ini tiada lagi sebarang tanggungjawab sebagaimana ditetapkan dalam perjanjian 1975.
“Dengan erti kata lain, Petronas tiada lagi hak untuk memasuki kawasan perairan dan daratan Kelantan untuk meneroka sumber minyak,” katanya di sini.
Pada 2, 3 dan 4 Oktober ini akan berlangsung perbicaraan kes saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Sempena perbicaraan tersebut Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) akan mengadakan konvoi beramai-ramai ke Putrajaya.
Muhamad Faizal seorang peguam hak asasi berkata, kerajaan Kelantan boleh memohon pengisytiharan mahkamah terhadap ketidakesahan perjanjian tersebut.
Ini kerana kata beliau undang-undang paling asas dalam sesuatu kontrak menyatakan bila mana salah satu pihak gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian, ia dikatakan telah pecah kontrak atau repudiate.
“Tindakan ini membangkitkan hak kepada pihak yang satu lagi untuk rescind the contract iaitu mengambil tindakan untuk membatalkan terus perjanjian yang dipersetujui,” katanya.
Menurutnya kerajaan Kelantan berhak untuk memutuskan dengan apa jua cara bagi meneroka dan mencari gali minyak di kawasan daratan dan perairan Kelantan dengan cara sendiri.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa