Apabila Rakyat menolak politik perkauman, gagasan “1Malaysia” juga ditolak. Makalah ini cuba menjelaskan sebabnya.
Sementara para politikus sibuk berkempen memancing undi, saya mahu mengimbau satu konsep/slogan yang diperkenalkan pada April 2009 dan masih belum diterapkan sepenuhnya oleh pihak yang memperkenalkannya secara “separuh masak”.
Saya merujuk kepada slogan muluk “Satu Malaysia” yang kemudian bertukar menjadi “1Malaysia” dan terus “menghantui” orang ramai pada setiap saat dan ketika. Segala benda dan bukan benda dimasukkan label “1Malaysia”. Satu-satunya produk yang belum diperkenalkan adalah “Kondom 1Malaysia”, walaupun saya ada mencadangkan dalam sebuah makalah di Free Malaysia Today pada 12 Januari 2013.
Berbalik kepada konsep 1Malaysia, selepas menjadi Perdana Menteri dahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sedikit demi sedikit nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan itu menerusi blog beliau pada April 2009. Nilai-nilai berkenaan adalah Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan, dan Integriti.
Kalau anda mahu menguji sama ada konsep 1Malaysia benar-benar diamalkan dan difahami oleh orang-orang Barisan Nasional (BN) sendiri, kini adalah masa terbaik!
Jangan lupa bahawa calon-calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mungkin datang bertemu, berbual, bersalam dan bertanya khabar anda (pengundi) di pasar malam, pasar borong, tandas awam, tepi jalan, tanah perkuburan, rumah atau di mana-mana tempat ada manusia.
Sebagai usaha mengelakkan politikus terbabit mengganggu ketenangan hidup anda dengan ucapan dan kata-kata retorik yang tiada apa-apa makna selain sekadar usaha memancing undi, anda perlu bertindak lebih cepat dan bertanya: “Boleh senaraikan dan huraikan lapan nilai 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib pada 2009?”
Soalan itu boleh juga ditanya kepada Najib sendiri jika beliau datang bertemu anda di mana-mana. Boleh juga bertanya soalan tambahan kepada Najib: “Memandangkan Dr Mahathir menganggap Datuk Seri sebagai PM yang lemah, apakah konsep 1Malaysia akan tetap ada jika Datuk Seri tidak lagi menjadi PM selepas PRU-13?”
Bagi Rakyat (huruf besar disengajakan) yang meneliti evolusi slogan 1Malaysia sejak April 2009, pasti sedar bahawa ia sekadar “alat” untuk membuatkan orang ramai setia kepada BN. Bukti nyata adalah apabila nama BN pun ditulis sebagai “Bar1san Nas1onal”. Kononnya konsep 1Malaysia diperkenalkan kepada Rakyat sebagai satu strategi baru oleh Kerajaan BN bagi mengeratkan hubungan kaum dalam jangka masa panjang.
Saya sebenarnya tidak hairan dengan segala slogan muluk ini kerana sejak diasaskan pada Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sudah mengamalkan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Kempen 1Malaysia hanya “gimik politik” berbanding konsep yang sudah lama diterapkan dan menjadi jati diri Rakyat sejak dahulu. Hal ini nyata apabila slogan muluk tersebut kononnya langkah terbaik kerajaan dan paling sesuai bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Saya pernah menyatakan perkara ini dalam sebuah makalah pada September 2009. Najib pula cuba menegaskan bahawa gagasan 1Malaysia bukan retorik politik serta berjanji untuk menterjemahkannya “secara evolusi melalui proses tertentu”.
Rakyat diperkuda, diperkotak-katikkan
Najib dulu mengatakan bahawa konsep 1Malaysia mementingkan sikap saling hormat-menghormati dan menerima antara satu sama lain. Sebenarnya itu adalah konsep “Bangsa Malaysia” dan integrasi; bukannya sesuatu yang baru lahir daripada idea beliau.
Apa-apa pun, janji Najib mengenai sikap saling menghormati musnah sepenuhnya pada saat beliau dengan angkuh mengangkat seorang individu rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu bernama Zulkifli Noordin sebagai “rakan BN” untuk bertanding kerusi Parlimen Shah Alam dalam PRU-13.
Agak menarik juga apabila calon UMNO yang sepatutnya bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan memutuskan untuk tidak mengemukakan borang pencalonan pada 20 April. Akhirnya, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang juga “rakan BN” akan bertanding sebagai calon bebas pada 5 Mei.
Gagasan 1Malaysia kononnya mementingkan konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” tetapi tindak-tanduk Najib dan BN sejak empat tahun lalu membuktikan bahawa semua itu tidak benar. Rakyat sebenarnya diperkudakan dan diperkotak-katikkan.
Mungkin anda masih ingat bagaimana pada 5 Mei 2009, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan untuk membantu para pemimpin ketika berucap. Kata kunci adalah “akan” kerana sehingga kini tiada garis panduan dikeluarkan.
Sebenarnya, ramai yang masih tidak pasti apakah gagasan 1Malaysia sebenarnya ideologi politik (political ideology) atau satu strategi tadbir urus (governance strategi), seperti pernah ditegaskan ahli akademik, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Pada 2009, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengambil beberapa langkah untuk memasyarakatkan dan mengoperasikan gagasan 1Malaysia. Apa yang ada sampai sekarang hanyalah kempen dan propaganda BN! Mungkin itulah makna 1Malaysia bagi Rais.
Saya pernah membentangkan kertas kerja mengenai 1Malaysia pada Konvensyen Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan di Seremban pada 9 Mei 2009. Ramai hadirin mengaku tidak faham apa yang cuba dimaksudkan oleh BN menerusi gagasan 1Malaysia.
Malah, rata-rata peserta konvensyen itu menegaskan bahawa Rakyat sudah sedia mengamalkan nilai-nilai yang kononnya menjadi asas bagi gagasan itu. Maka, mereka berkata – dan saya amat bersetuju – bahawa Rakyat yang sudah sedia mengamalkan semangat Bangsa Malaysia wajar “mengajar” politikus yang sedang cuba mengajar Rakyat.
Itulah antara semangat “The Third Force” di mana Rakyat berani berkata “tidak” apabila berdepan dengan politikus yang kurang bijak tetapi cuba “mengajar” orang. Rakyat perlu bangkit bersuara dan menegaskan kepada politikus bahawa Rakyat lebih berkuasa dan lebih bijak daripada orang politik.
Drama UMNO, MIC, Perkasa, Hindraf
Masalah dalam arena politik di Malaysia adalah apabila politikus – khususnya pihak yang sudah lebih 55 tahun memegang tampuk kuasa Kerajaan Pusat – mula lupa diri dan menganggap mereka tahu lebih banyak berbanding Rakyat yang sebenarnya telah memilih dan meletakkan politikus terbabit di kerusi empuk yang sedang diduduki.
Rindhuan Tee Abdullah yang menghina penganut agama Hindu pada Februari 2013 dibiarkan meneruskan kerja-kerja yang bertentangan dengan gagasan 1Malaysia. Tindakan mengangkat Zulkifli pula adalah bukti terbaru bahawa gagasan 1Malaysia hanya retorik politik dan BN tidak pernah memandang berat pandangan, perasaan dan sensitiviti Rakyat pelbagai kaum. Ditambah pula dengan “drama” calon BN tidak bertanding di Pasir Mas.
Drama lain yang membuatkan orang ramai – khususnya pengundi kaum India – semakin berani untuk menolak UMNO/MIC secara terbuka adalah drama BN dan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) pimpinan P. Waythamoorthy menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pada 18 April lalu.
Terdahulu, orang ramai (khususnya kaum India) secara terang-terangan menolak Human Rights Party (HRP) apabila pertubuhan tidak berdaftar pimpinan P. Uthayakumar itu membuat keputusan bertanding dalam PRU-13 sebagai calon bebas dengan niat “kacau daun”. Kononnya mahu mendapatkan undi “kaum India miskin” untuk menghantar Uthayakumar ke Parlimen sebagai “calon Hindraf pertama”.
Malangnya kempen HRP (menggunakan nama “Hindraf”) di alam nyata dan alam siber terbukti bersikap rasis, fanatik dan ultra kiasu – lalu dilabel oleh pelbagai pihak sebagai “Perkasa versi India”. Rakyat pelbagai kaum yang menolak politik perkauman ternyata turut menolak HRP.
Apabila Rakyat menolak serta mempersenda gagasan 1Malaysia, mereka bukannya menolak semangat Bangsa Malaysia. Sebaliknya mereka menolak cubaan licik BN memanipulasi semangat kebangsaan dengan mengatakan bahawa untuk menjadi warganegara yang mencintai Malaysia, maka Rakyat wajib menyokong BN.
Samalah juga apabila Rakyat menolak Hindraf dan HRP. Apa yang ditolak bukanlah hak serta kepentingan kaum India tetapi cubaan licik Hindraf (Waythamoorthy) memujuk kaum India mengundi BN, serta semangat rasis yang dibawakan oleh HRP (Uthayakumar).
Alasan jurucakap rasmi HRP dan sejumlah penyokong adalah bahawa jika UMNO dan Perkasa boleh bersikap rasis, mengapa mereka diselar apabila mengamalkan sikap yang serupa. Agak-agaknya (dengan meminjam perumpamaan lazim dalam kalangan penutur Bahasa Tamil) kalau UMNO dan Perkasa makan tahi, apakah HRP juga mahu makan tahi?
Apa yang pasti, PRU-13 menandakan penolakan mutlak masyarakat pelbagai kaum/agama terhadap politik perkauman. Umpama unggun api yang dipasang sempena sambutan Boghi pada malam sebelum sambutan Ponggal untuk “membakar” segala perkara/objek/pemikiran negatif yang menjadi penghalang kepada kejayaan yang diimpikan oleh Rakyat dengan semangat sejati Bangsa Malaysia.
Uthaya Sankar SB tidak menyokong mana-mana parti politik walaupun beberapa rakannya adalah politikus dan calon yang bertanding dalam PRU-13.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa