Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 25, 2013

Kenapa BN Perlu Diganti?

Baca dan celikkan mata bukalah minda...
Kenapa saya mahu kerajaan baru?
April 25, 2013
BN mengamalkan budaya takut. Asyik diulang hanya BN yang boleh memerintah. Siapa bersuara, disuruh keluar Malaysia.

Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah terlalu lama telah menyekat bukan sahaja kebebasan bersuara rakyat, malahan kebebasan berfikir rakyat. Kesemua idea dan cara BN dianggap tepat dan tidak boleh dipersoalkan walaupun yang diminta hanyalah penjelasan, belum pun dibuat bantahan.
Media massa dimonopoli jadi berat sebelah, pandangan daripada golongan pembangkang mahupun golongan professional yang arif tentang sesuatu perkara tersebut tidak boleh disiarkan langsung.
Generasi tua kini terperangkap dengan sejarah dan legasi pemimpin Umno dan BN yang lama. Pembangkang digambarkan umpama golongan penjenayah yang mahu menghancurkan apa yang dibina oleh pemimpin-pemimpin lama yang berjasa.
Hakikatnya, pemimpin Umno/BN sekarang bukan muka-muka yang sama dan mengamalkan cara pentadbiran yang sama. Itu sahaja. Sejarah memang benar tapi realiti hari ini juga benar.
Generasi muda dipupuk dan diajar hanya untuk mematuhi bulat-bulat idea-idea kerajaan. Golongan muda hanya diajar memberi pendapat hal-hal selain politik sahaja. Mahasiswa dah tak boleh berfikir sendiri, tiada pendapat sebab belajar hanya untuk markah peperiksaan, hanya untuk jadi pekerja-pekerja.
Sesiapa ada idea-idea yang berlawanan dengan “aspirasi” kerajaan dianggap salah, terpesong dan dipergunakan oleh “pihak-pihak tertentu”. “Listen, listen, listen”, kata seorang penyokong BN.
Disuruh ikrar tidak akan membuat demonstrasi jalanan. Lupa sejarah Umno dan BN sendiri yang merdeka melalui demonstrasi jalanan. Isu-isu semasa jadi tak penting. CGPA bagus tapi itupun pengetahuan graduan masih lemah, isu-isu semasa tidak tahu dan bahasa Inggeris lemah.
Ramai yang bercakap rojak. Bahasa Melayu lemah, Bahasa Inggeris pun lemah. Majikan kata graduan tiada kemahiran untuk bekerja. Universiti dipersalahkan.
BN telah mengamalkan budaya buli dan membalas dendam kepada golongan yang membantah. Pensyarah universiti, ulama, golongan professional dan penjawat awam yang beri pandangan selain idea-idea kerajaan akan dibuli sampai tak naik pangkat, dimalukan sampai terpaksa berhenti.
Tak minat politik akhirnya masuk politik. Kawasan yang tidak mengundi BN tetapi berada dalam kerajaan negeri atau wilayah bawah BN, geran akan disekat, jalanraya tidak akan diturap, walaupun itu tanggungjawab majlis daerah/perbandaran sebab penduduk disitu tidak undi BN.
Bila kempen, dituduh parti pembangkang tak buat kerja walaupun bajet untuk jalanraya, perparitan tu ada kat kerajaan tempatan.
Budaya takut
BN juga telah mengamalkan budaya takut. Asyik diulang hanya BN yang boleh memerintah. Siapa bersuara, disuruh keluar Malaysia. Hak dan ketuanan Melayu/Bumiputera dijadikan sandaran.
“Kalau tak undi BN, DAP akan hapuskan hak Bumiputera”. “Umno sahaja yang boleh jaga hak Bumiputera” walaupun hak Bumiputera dah ada dalam perlembagaan Malaysia.
“PAS tidak boleh”, “PKR tidak boleh” walaupun ramai Melayu dalam Pakatan Rakyat sekarang.
Sebenarnya, Umno jaga Melayu yang tertentu sahaja. Melayu yang kenal menteri-menteri. Mereka dapat dulu apa saja projek-projek kerajaan. Tak semua bagus pun. Biasa kerja tak sempurna dan terbengkalai.
Tiada integriti dalam pemilihan. Tidak bagus pun tidak apa asalkan Bumiputera. PKR tadbir Selangor dah lima tahun, keadaan lebih baik dari dulu dan bekas MB Selangor Khir Toyo masuk penjara.
Budaya takut ini dah menular berdekad-dekad. Hari ini dah tak mula berkesan, jadi dimulakan budaya rasuah. Beri rakyat miskin BR1M RM500, bantuan persekolahan RM100 setahun sekali dan lain-lain lagi tapi rakyat miskin dijualkan barangan runcit yang kurang berkualiti dengan harga murah di Kedai Rakyat 1Malaysia.
Klinik 1Malaysia pun tak ada doktor. Hinanya jadi orang miskin. Patutnya punca-punca harga barangan mahal dan kos sara hidup yang tinggi yang perlu dikaji dan diselesaikan.
Tetapi, pemimpin BN macam Raja Nong Chik Zainal Abidin kekalkan faedah pinjaman perumahan PPR 6.5% sebab bezanya cuma RM80 sahaja walaupun rumah PPR untuk yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Rakyat nak ubah kehidupan pun makin sukar. Jalan keluar kemiskinan ialah pendidikan tinggi tetapi pendidikan dah dikomersilkan. Tempat-tempat di universiti awam tak cukup tapi yang dibina berleluasa ialah universiti-universiti swasta.
Majoritinya bangunan kecil tak cukup kemudahan tapi bayar mahal. BN suruh pinjam PTPTN tapi graduan kena bayar balik pinjaman PTPTN pada kadar faedah 3%. Sepatutnya diubah menjadi seperti pinjaman bolehubah tanpa faedah MARA. Pendidikan percuma itu memang cabaran terbesar kalau nak buat tapi tak mustahil.
Sekarang rakyat golongan menengah turut hidup susah. Harga rumah tidak dikawal. Rumah mampumilik baik yang dibina kerajaan ataupun swasta terletak jauh berpuluh batu dari tempat kerja dibandar.
Kalau beli rumah kawasan ini, perjalanan harian ke tempat kerja kena bayar tol lagi, kos petrol, harga kereta pun dah termasuk cukai yang tinggi dan jalanraya tidak pun diselenggara selalu, cuma sebelum pilihanraya.
Kenapa tak contohi Singapura? Kerajaan yang membina rumah kos rendah dan sederhana manakala pemaju swasta bina rumah kos mewah. Kerajaan perlu ada hak lebih utama untuk kawasan yang berdekatan bandar sebab itu tempat kerja.
Di Singapura, flat-flat HDB dan kondo mewah boleh berada dikawasan yang sama. Jalanraya diturap selalu. Bas-basikut jadual tepat. Ada MRT. Kita baru nak bina. Jakarta pun baru nak bina MRT. Kita lambat ke Jakarta yang cepat maju?
Duit rakyat
Bila dipersoalkan semua itu, kita dituduh tidak bersyukur. Dihalau agar keluar Malaysia dan dimarahi, “Kenapa ambil juga pemberian BN kalau tak sokong BN? BN baik sebab beri kepada rakyat termasuk penyokong pembangkang.”
Sedarlah, itu duit rakyat, hasil dari negara milik rakyat, bukan kerajaan. Semua yang diberi oleh kerajaan adalah hak rakyat dari awal lagi. Rakyat patut ambil. Kerajaan hanya mentadbir.
Rakyat berhak memilih pemimpin mereka sendiri jika mereka tidak bersetuju dengan pentadbiran negara dan pembahagian hasil negara.
Negara kita negara membangun dan moden, tidak cukup dengan keperluan asas sahaja. Bukannya tidak bersyukur tetapi kita perlu maju sesuai dengan apa yang kita ada. Negara kita bukan negara miskin.
BN turut menimbulkan budaya kejayaan seseorang rakyat bergantung kepada siapa yang kita kenal. Pertama kali majoriti rakyat dengar perkataan kronisme ialah masa Perhimpunan Agung Umno pada tahun Anwar dipecat.
Kita baru tahu masa tu tapi sebenarnya dah lama. Projek-projek besar kerajaan diserahkan kepada menteri-menteri dan kenalan-kenalan kerajaan dan bukannya orang yang paling layak.
Rakyat hanya dibantu untuk industri-industri kecil dan sederhana melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank, AgroBank, FAMA, Tekun, MARA,PUNB dan sebagainya. Melayu-Melayu marhaen diminta berniaga kedai dobi, salon, kedai runcit, restoran dan yang kecil-kecil sahaja.
Projek besar macam Projek Ternakan Lembu NFC diberikan kepada golongan menteri dan keluarganya dan bukan golongan penternak. Hampir dua dekad, permit-permit teksi diberikan kepada syarikat-syarikat milik menteri dan kenalan kerajaan dan bukannya pemandu teksi yang miskin. Pemandu teksi perlu sewa permit tersebut. Ini yang dipanggil “rent seeking”.
Permit nak jual kereta pun dikawal. Kalau dia jual Mazda, dia seorang je. Kalau dia jual Hyundai, dia seorang je tapi NAZA dapat majoriti permit jualan kereta di negara kita. Hinanya ia dilakukan oleh pemimpin yang rakyat telah undi.
Akibatnya, BN yang mengawal peluang kekayaan. Ada juga yang membidas, nanti kerajaan baru pun begitu juga. Mana kau tahu?
Pilih semula atau tukar
Contoh yang lain, jual gula tak perlu permit. Gula bukan macam teksi yang perlu dikawal. Sepatutnya siapa yang ada tanah pertanian boleh menanam tebu, proses jadi gula dan jual. Tebu bukan tanaman yang susah nak dijaga.
Permit dikuatkuasakan hanya untuk mengkayakan golongan tertentu sahaja. Kalau gula berlambak dan jadi murah sangatpun, kos makanan terproses juga akan jadi rendah. Begitu juga dengan beras. Harga barangan banyak yang akan turun.
Dulu, Mahatma Gandhi di India pun menentang British yang tak benarkan rakyat proses dan jual garam.
Namun, ada juga yang bagus. Saya sokong Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dapat syarikat-syarikat milik Melayu dan kerajaan yang dah nak mati macam MMC, Pernas (sekarang Tradewinds), DRB-Hicom dan lain-lain dan banyak yang dah berjaya diselamatkan sebab dia usahawan asli bukan sebab dia masuk politik.
Beliau dah jadi “default choice”. Cuma sudah tiba masanya orang lain turut diberi peluang dan Tan Sri Syed Mokhtar boleh beri tunjuk ajar.
Sekarang, ketidakcekapan pemerintahan menyebabkan defisit negara tertinggi dalam sejarah.
Kos sara hidup juga tertinggi dalam sejarah. Mengundi berdasarkan fakta-fakta ini sahajapun dah cukup buat saya.
Tak perlu nak fikir pasal “sex, lies and videotape” ataupun perangai buruk penyokong-penyokong BN dan juga pembangkang.
Tak perlu fikirkan pasal Anwar pun. Lima tahun lagi kita boleh pilih semula atau tukar. Tiada parti yang “sacred”.
Shahrulazwad Ismail, berumur 36 tahun, seorang peguam kanan dengan firma guaman sendiri di Selangor.

2 comments:

  1. Orang Kampung Jambi, RengitApril 25, 2013 at 6:33 PM

    Apa yang dihidangkan kepada kita sekarang adalah dua pihak yang ingin berkuasa menerajui kerajaan. Apa yang boleh kita buat hanyalah memilih satu diantara dua. Siapakah yang lebih baik? Adakah kedua-duanya baik atau kedua-duanya sebenarnya tidak baik tetapi kita tiada pilihan lain melainkan memilih salah satu dari kedua-duanya? Bagi saya kedua-duanya tidak baik maka terpaksalah saya memilih dari kedua-dua pilihan yang buruk ini.

    Kalau pemberian projek kepada kroni hanya dikaitkan kepada BN saja adalah tidak tepat. Kedua-dua pihak melakukan perkara yang sama. Hakikatnya, ramai yang menyertai politik adalah untuk kepentingan diri semata-mata. Untuk berjaya mestilah berkuasa (dalam parti ataupun kerajaan) dan untuk kekal berkuasa, mestilah ada sokongan. Sila lihat penyandang jawatan di dalam setiap parti yang ada. Berapa ramai dari mereka merupan ahli perniagaan, kontraktor dan sebagainya. Berapa ramai pula dari mereka perjuangannya benar-benar ikhlas dan bukan berkepentingan? Berpolitik bukan hanya bermodalkan air liur sahaja. Tanpa wang, taraf kita hanya di kedai kopi saja.

    Untuk betul-betul mengenali hati budi mereka ini, kita tidak boleh percaya dengan cerita-cerita yang kita dengar sahaja. Kita mestilah bergaul rapat dengan mereka dan untuk berbuat demikian, adakah ianya sangat mudah?

    Singapura yang hendak dijadikan contoh dalam isu pengangkutan awam tidak sesuai sama sekali. Kos pemilikan kenderaan disana terlampau tinggi. Kos minyak, tol, parking, penyelenggaraan adalah amat tinggi. Maka pengangkutan awam menjadi perkara paling utama untuk disediakan. Berbanding dengan negara kita dimana kedua-dua pihak mahu menurunkan harga kenderaan! Dapat kita lihat dimana letaknya keutamaan kepada dua-dua parti ini. Dalam satu keluarga, ada berapa kereta dan motosikal? Adakah kerana sistem pengangkutan awam tidak baik atau kerana rakyat Malaysia terlalu mahu bermegah-megah? Adakah juga kerana malu menaiki bas kerana penuh dengan pekerja asing? Mengapa pula ramai pekerja asing? Adakah kerana kerajaan membenarkan pengambilan mereka atau kerana kita sanggup menganggur dari bekerja jadi buruh walaupun rezeki yang diterima itu halal?

    Terlalu banyak sebenarnya persoalan yang perlu kita jawab sendiri sebelum kita boleh menunding jari kepada pihak lain.

    Mungkin kehidupan di bandar lebih susah jika dibandingkan dengan kehidupan di kampung. RM 1000 dibandar tidak sama dengan RM 1000 di kampung. Begitu juga tidak semua tinggal di bandar kerana masih ramai yang tinggal dikampung.

    Saya tetap menyatakan bahawa kedua-dua pihak yang bertanding ini sebenarnya tidak baik. Jika kita menadah tangan, kenalah bersyukur dengan apa yang diberikan tetapi jika kita mahu lebih, maka kenalah kita berusaha lebih gigih. Bukan BN atau PR yang akan membuatkan kita berjaya.

    PS : LRT bukan kerajaan yang cipta tetapi ilham dari seorang usahawan. Kita nak pilih yang mana - jadi usahawan tersebut atau jadi penumpangnya? Atau bekerja dengan usahawan tersebut sampai pencen. Atau kita salahkan sesiapa saja yang duduk depan kita sekarang.....

    ReplyDelete
  2. USAH DIKEJAR TAK DAPAT...
    YG DIKENDONG BERCICIRAN!!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa