| A SHUKUR HARUN
Walaupun pada sebelah petangnya hujan, tetapi menjelang Maghrib, hujan perlahan-lahan berhenti, seolah-olah untuk memberi laluan berlansungnya program pelancaran Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Kelana Jaya di USJ 1, Subang Jaya, Selangor.
Annuar Tahir bertemu petugas AmanahParti Amanah Kelana Jaya baru saja ditubuhkan di bawah pimpinan Baharudin Kasim dengan didukung oleh gabungan tenaga professional, para ustaz, veteran, anak muda dan lain-lain. Malam itu memang sangat bermakna, meriah dan segar.
Kelana Jaya adalah kawasan bandar di Selangor bermasyarakat majmuk. Maka pada malam itu, ramai yang hadir bukan saja terdiri dari kaum Melayu, bahkan kaum Tionghua dan India yang datang dari kawasan sekitar, bahkan dari luar Kelana Jaya.
Di tengah udara yang masih dingin, laman sukan, tempat program itu berlansung, sudah dikuasai warna orange – warna Parti Amanah. Di mana-mana warna orange. Bahkan Warna ini sangat popular di kawasan Parlimen Kelana Jaya.
Dengan penuh semangat, para petugas Amanah Kelana Jaya, sejak beberapa hari bertungkus lumus membuat persiapan untuk menjayakan program tersebut.
Pada malam itu, hadirlah para tetamu – pimpinan Amanah Negeri Selangor, Ir. Izham Hashim, serta pimpinan pusat dan juga dari PKR dan DAP, Tony Pua, Hannah Yeoh (Adun Subang Jaya), Ir. Datuk Seri Nizar Jamaludin, Wong Cheen (MP Kelana Jaya) dan lain-lain.
Presiden Amanah, Tuan Haji Muhammad Sabu merasmikan pelancaran tersebut dan menyampaikan ucapan.
Kehadiran pelbagai kaum pada program tersebut adalah manifestasi sambutan pelbagai kaum terhadap Parti Amanah di mana tergambar harapan mereka terhadap Parti Amanah supaya ia nanti benar-benar berfungsi menyampaikan suara rakyat pelbagai kaum.
Baik Hannah Yeoh, mahupun Wong Chen kelihatannya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap pogram malam itu.
Hannah Yeoh sendiri sejak beliau menjadi Adun Subang Jaya penggal kedua, malam itu dengan gembira telah naik ke pentas, memperkenalkan seorang demi seorang Ahli Jawatankuasa Parti Amanah, Parlimen Kelana Jaya.
Dimulai dengan Ir. Izham Hashim (kini Ketua Amanah Selangor), Baharudin Kassim, Haji Qamarudin, saya sendiri, Hajah Kamariah Naris, Frankie Kok Eng, Badrul Hisham Majer Siddique, Omar Ahmad dan lain-lain.
Dengan gembira, Hannah Yeoh mengatakan, “inilah barisan pimpinan parti dulu yang bertungkus lumus membantu kami dalam dua PRU yang lalu. Sekarang mereka berada dalam Parti Amanah. Tentulah harapan tinggi kami untuk terus bekerjasama erat dengan mereka bagi memperkukuh Pakatan Harapan di masa depan.”
Tony Pua dalam ucapannya juga meletakkan harapan tinggi kepada Parti Amanah supaya sama-sama dapat memperkukuh pakatan pembangkang – Pakatan Harapan – untuk menghadapi PRU akan dating.
“Bagi DAP,” katanya, “harapan tinggi kepada Amanah untuk melaksanakan kerjasama memperkukuh paduan pembangkang.”
Ir. Izham Hashim, juga menekankan keperluan memperkukuh Pakatan Harapan, khususnya di Selangor.
Tidak ada pilihan lain, katanya, melainkan Pakatan Harapan yang boleh berjaya, yang memungkinkan dapat memenangi hingga ke Putrajaya dalam PRU akan datang.
Setiausaha Agung Amanah, Annuar Tahir menyatakan gembira kerana hari demi hari Parti Amanah terus mendapat sambutan pelbagai kaum. Di mana saja program Amanah diadakan, sambutan hangat terus diberikan oleh rakyat baik di bandar mahupun di luar bandar.
Ini, kata Annuar, menunjukkan Amanah memang menjadi pilihan rakyat masa kini.
Ir. Nizar, dalam ucapannya, menceritakan bagaimana pengalaman beliau menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.
Katanya, tidak mustahil, melalui Pakatan Harapan, kita akan menawan kembali negeri Perak dalam PRU akan datang.
Sebab itu, kata beliau, Parti Amanah Negeri Perak kini bekerja keras, menambah ahli dan memperkukuh parti. Sambutan rakyat Perak kepada Parti Amanah, kata Ir. Nizar, sangat memberansangkan.
“Kejutan demi kejutan berlaku, pelbagai golongan menyertai Amanah dan kita bekerja terus siang dan malam,” kata beliau.
Presiden Amanah, Haji Muhamad Sabu yang menjelajah seluruh negara menghadiri pelbagai progam Parti Amanah, malam itu kelihatan ceria dan segar merasmikan pelancaran tersebut, walaupun baru pulang dari Johor dan Kelantan.
“Sambutan Amanah di Kelantan sangat luar biasa,” katanya, “setiap hari begitu ramai menyertai Amanah dan program Amanah di negeri itu juga mendapat sambutan luar biasa.”
Beliau merasakan ada keinginan luar biasa rakyat Kelantan untuk melihat perubahan. Oleh itu, kata Haji Mat Sabu, Amanah menawarkan pilihan kepada rakyat Kelantan melalui demokrasi.
Turut berucap, Ketua Biro Kebajikan Amanah, Ustazah Mariam Abd Rashid yang menyatakan bahawa dalam masa singkat, Biro Kebajikan Amanah telah mengatur beberapa program kebajikan untuk rakyat.
Sambutan, sangat baik, katanya.
Pada program malam itu saya mendeklamasikan sajak saya ‘Tanah Airku berbisik kembali.’
Dengan pelancaran Parti Amanah Parlimen Kelana Jaya bermakna sebuah lagi kawasan yang sedang subur bagi Amanah negeri Selangor, di samping kawasan lain di Selangor seperti Shah Alam, Kota Raja, Subang dan lain-lain.
Tidak syak lagi dalam PRU akan dating, Parti Amanah, khususnya di Selangor akan mengambil peranan penting dalam Pakatan Harapan di Selangor.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa