Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, March 14, 2017

Khalil sahkan kenyataan Nik Abduh sokong Najib, cadangan Shahbudin memang kena

Khalil sahkan kenyataan Nik Abduh sokong Najib, kata Pemuda Amanah
14 Mac 2017 | MALAYSIA DATELINE
Faiz Fadzil

Tindakan Timbalan Ketua Pemuda Pas Mohd Khalil Abdul Hadi menyokong ketuanya Nik Abduh Nik Aziz bahawa skandal rasuah dan pembaziran adalah kesakitan lama yang berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah petanda jelas parti Islam itu menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil berkata kenyataan Khalil itu menunjukkan kekeliruan beliau mengenai musuh politik sebenar yang harus ditentang.

"Dakwaan beliau bahawa Pas bukan menentang individu (Najib Razak) tetapi sistem adalah bercanggah dengan logik akal dan syarak.

"Untuk mengubah sistem, kepala sistem itu perlu ditentang dan dijatuhkan, tanpanya sistem pemerintahan negara yang korup dan zalim ini akan terus kekal.

"Begitulah perjuangan Rasulullah SAW dahulu yang menentang pemimpin Arab yang zalim seperti Abu Jahal dan Abu Lahab dalam dakwah bagi mengubah sistem akidah dan urusan hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz menegaskan, mengekalkan Najib bermaksud mengekalkan GST, melindungi skandal korupsi global 1MDB, mengekalkan rasuah yang kian membarah, menyokong subsidi pendidikan dan kesihatan terus dipotong dan mengekalkan kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagaimana hendak mengubah sistem jika kepala dan pengatur sistem ini tidak ditukar?" soalnya.

Beliau juga mempersoal tindakan Pas yang mahu bertanding 40 kerusi parlimen tanpa bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan Bersatu tetapi berhasrat mengubah sistem pemerintahan negara.

"Sistem yang korup dan zalim ini hanya boleh diubah jika kerajaan baru dibentuk.

"Jika Pas menang kesemua kerusi tersebut sekalipun, Pas tidak mampu untuk membentuk kerajaan dan sebab itu, agenda Pas sekarang jelas menyokong Najib Razak untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan kenyataan Nik Abduh tersebut," tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata rakyat kini keliru dengan kompas agenda politik matang dan sejahtera yang dibawa Pas apabila fungsi sebagai penasihat kerajaan tidak mempunyai apa-apa kesan terhadap kes-kes rasuah dan skandal 1MDB dan hak royalti minyak rakyat Kelantan juga tidak diperjuangkan.

"Apa yang sejahteranya jika yang diserang Pas sekarang adalah Amanah dan DAP dan bukan lagi Umno dan Barisan Nasional.

"Menentang Najib Razak adalah salah satu agenda rakyat hari ini dalam usaha menjatuhkan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

"Rakyat kini semakin terdesak untuk melakukan perubahan bagi membebaskan kehidupan yang semakin tertekan akibat korupsi dan kenaikan kos sara hidup. Pakatan Harapan bersedia menggalas agenda ini," katanya.

Cadangan dan nasihat ini memang logik dan patut: 

Tuesday, 14 March 2017

NASIHAT PERCUMA DAN IKHLAS UNTUK PAS, BERGABUNG DENGAN UMNO ADALAH PILIHAN YANG TERBAIK

Dalam usaha mengekalkan kuasanya, Najib Razak jelas kepingin benar untuk menjalin kerjasama dengan Pas dalam PRU 14 akan datang ini.

Selain menunjukkan banyak sikap lunak, tidak bermusuh, bekerjasama dalam beberapa program dan berkompromi berkaitan Akta 355, dalam lawatan ke Kelantan baru-baru ini, Najib juga mengatakan tidak mustahil wujud kerjasama antara UMNO dan Pas.

Kata beliau, segala kemungkinan boleh berlaku dalam hubungan antara Pas dengan UMNO, namun setakat ini kedua-dua parti akan meneruskan kerja masing-masing tanpa ada kerjasama.

Najib juga dilihat amat berhati-hati dalam mengulas usaha UMNO untuk merampas kembali Kelantan, sebaliknya hanya berkata, "kita akan menampilkan UMNO sebagai parti yang penuh bertanggungjawab dan terbaik supaya rakyat Kelantan akhirnya dapat membuat penilaian."

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu segera dipangkah oleh Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dengan menegaskan, UMNO tetap akan mereka lawan dalam pilihanraya akan datang nanti.

Kata beliau, kerjasama UMNO dengan Pas hanya berkaitan isu agama, negara serta masyarakat dan  bukan melibatkan kerjasama politik.

Dalam pilihanraya, memang kita tetap akan lawan UMNO, tambahnya lagi.

Tetapi itu kata Naib Presiden Pas, lain pula kata-kata yang dilafazkan oleh Presiden Pas sendiri, Hadi Awang.

Dalam video yang kini viral di media sosial yang didakwa diucapkan bulan lalu di Terengganu, Hadi antara lain  membayangkan perlunya kerjasama antara UMNO dengan Pas bagi membolehkan "sifir politik menang-menang" dapat dicapai.

"Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor,  biar PAS memimpin. Negeri lain UMNO nak lagi bagi ke dia. 

"Kalau boleh nak perintah habis, nak telan habis. Tapi mulut kita luas mana nak telan habis? Kita kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam.

"Ini sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politik matang dan sejahtera yang kita lakukan pada hari ini. Orang UMNO pun selesa. Mereka pun tak mahu tegang, tak mahu berbalah lama. Tak mahu keras. Lembut. 

"Lembut inilah kita boleh berdialog. Kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah. Kalau silap kena perbetul..."demikian antara kata-kata Hadi dalam video tersebut.

Lalu, apa pilihan terbaik buat Pas? Ikut seperti kata Hadi atau Mohd Amar?

Dalam konteks Hadi, beliau jelas ingin bekerjasama dengan UMNO dan mengimpikan lima negeri sebagai bayangan untuk digenggam. Mohd Amar pun tentunya akan setuju dengan kerjasama itu jika ia akhirnya memudahkan lagi Pas berkuasa di Kelantan dan beliau boleh kekal lagi sebagai Timbalan Menteri Besar atau akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Besar.

Pendirian Hadi memang tidak jauh berbeza dengan Najib yang menyatakan segala kemungkinan boleh berlaku dalam hubungan kedua-dua parti. Najib tentunya tidak sukar untuk bersetuju jika melalui kerjasama itu, beliau lebih mudah lagi mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan sekaligus menyingkirkan musuh utamanya, Tun Mahathir Mohamad dalam perhitungan hidup mati PRU 14 akan datang nanti.

Bagi Najib, apalah sangat kuasa di lima negeri itu jika diserahkan kepada Pas melalui formula kerjasama antara kedua parti  kerana yang lebih penting baginya ialah kuasa di pusat dapat dipertahankan dan sekaligus membolehkan ruang bicara di mahkamah dan kamar penjara dapat dielakkannya.

Biar pun Najib dikenali di seluruh dunia sebagai pemimpin kleptokrasi manakala Pas memperjuangkan agama, Pas juga seharusnya sedar mereka adalah parti politik dan pemimpin-pemimpinnya pula adalah orang politik yang tidak terkecuali daripada dahagakan kuasa.

Maka, bekerjasama dengan UMNO adalah pilihan terbaik buat Pas. Lupakanlah Bersatu, PKR atau Pakatan Harapan. Lupakanlah juga untuk bertanding secara sendirian dan menggembleng tenaga dalam perebuatan tiga penjuru.

Impian menguasai lima negeri lebih mungkin dapat dicapai hanya jika Pas bekerjasama dengan UMNO, bukan bersama dengan Pakatan Harapan atau mewujudkan kerjasama lain dengan Bersatu dan PKR. Jika bersendirian, lagilah mustahil untuk menguasai lima negeri itu.

Dengan bekerjasama atau bergabung dengan UMNO, pertandingan PRU 14 akan menjadi satu lawan satu dengan Pakatan Harapan. Pas akan bertanding lebih banyak kerusi di lima negeri sebagaimana disebut Hadi dalam video itu.

Sebagai imbalannya, Pas akan bertanding sedikit kerusi Parlimen untuk membolehkan Najib terus kekal dengan kuasanya. Bagaimanapun, di mana calon Pas atau UMNO bertanding, jentera Pas akan saling bekerjasama dengan jentera UMNO dan BN untuk berlawan dengan Pakatan Harapan.

Sudah tentu, bukan saja lima negeri itu lebih mudah digenggam Pas kerana mendapat sokongan UMNO, bahkan calon kedua-dua parti di kawasan Parlimen majoriti Melayu juga akan mengaut lebih banyak kemenangan lagi kerana gabungan UMNO dengan Pas mampu membentuk penguasaan undi Melayu sekurang-kurangnya sehingga 60 peratus.

Berbanding bertanding sendirian dan membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru, ia sebenarnya lebih berisiko buat Pas. Boleh jadi mereka akan menang banyak kerusi dan boleh jadi juga akan menyebabkan kalah lebih banyak.

Katalah Pas menang banyak kerusi dan BN atau Pakatan Harapan tidak cukup jumlah untuk membentuk kerajaam, ia akhirnya menyebabkan parti itu masih perlu berunding untuk memilih pihak mana yang mereka ingin bergabung. Ia tentu merumitkan dan membuang masa.

Dengan membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru pula, secara kasarnya memang ia memperlihatkan seolah-olah Pas mahu memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, tetapi Najib juga boleh melupakan atau membuang terus Pas jika kemenangan besar memihak kepadanya. Ini kerana tiada perjanjian atau sebarang ikatan yang dipersetujui.

Bertanding tiga penjuru lebih mungkin menyebabkan Pas jadi "lebai malang" atau seperti "habis madu sepah dibuang". Ini kerana bagi Najib, yang penting ialah dapat mengekalkan kuasa, lagi pun tiada rakan yang kekal dalam perebutan kuasa, lebih-lebih jika tiada sebarang perjanjian.

Sebaliknya dengan memetrai kerjasama politik dengan UMNO dan BN dalam keadaan Najib sedang terumbang-ambing sekarang adalah peluang keemasan bagi Pas. Tawar-menawar pasti akan memihak kepada mereka dan dapat memerintah lima negeri adalah "rahmat besar amat yang amat bodoh"  untuk ditolak oleh Pas.

Sebagai parti politik dan bukan gerakan tabligh, cerahnya masa depan Pas ialah bersama UMNO dan BN, bukan bekerjasama dengan Bersatu atau PKR, dan bukan juga dengan bertanding sendirian. Lupakanlah soal salah laku atau imej kleptokrasi yang melingkari Najib, lagi pun bila sudah sama-sama menang nanti, bolehlah Pas lebihkan masa memberi nasihat, bimbingan atau usrah kepada Perdana Menteri dan seluruh rakan-rakan pemimpin dalam UMNO.

Kepada Pas, segera dan jangan buang masa lagi untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN kerana peluang terbaik untuk mereka sedang terhidang di depan mata. Peluang terbaik ini pula tidak mungkin selalu menjelma.

Kali ini, saya beri khidmat nasihat ikhlas dan percuma untuk Pas. (ShahbudinHusin 14/03/2017).

2 comments:

  1. Haji hadi nak kelantan, trengganu,kedah, perak dan selangor.......telahan umum ialah hh berhasrat kpd post PM
    KER GUANER TUANG PRESIDENG !!!!

    ReplyDelete
  2. Haji hadi nak kelantan, trengganu,kedah, perak dan selangor.......telahan umum ialah hh berhasrat kpd post PM
    KER GUANER TUANG PRESIDENG !!!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa