KOTA BAHRU- Kerajaan Negeri memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan laporan hasil siasatan mengenai aktiviti perlombongan haram sebagaimana yang didedahkan media Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mendapat laporan pihak SPRM menjalan siasatan lanjut berhubung perkara itu, namun hasilnya masih belum diketahui.

“ Berdasarkan liputan akhbar seolah-olah berlaku pencerobohan tidak terkawal, oleh itu kerajaan minta laporan kerana sehingga hari ini tidak ada tindakan pendakwaan, kita juga dengar pegawai SPRM menerima ugutan dan ancaman dan kita juga tidak suka ia berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Media sebelum ini melaporkan berpuluh-puluh tapak perlombongan emas haram dikesan beroperasi di beberapa daerah di negeri ini.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti tersebut ialah Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang. Susulan itu dikatakan pegawai SPRM yang membuat operasi pencegahan didakwa diserang oleh kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perlombongan itu.

Takiyuddin berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama yang penuh terutamanya agensi penguatkuasaan bagi membanteras gejala negatif yang berlaku dalam lingkungan pentadbirannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri meluluskan 34 orang dari pegawai Kerajaan Negeri termasuk  Majlis Daerah Pasir Puteh mengadakan lawatan ke Dubai bagi mempelajari kaedah membina dan menguruskan pelabuhan.

Beliau berkata, lawatan itu yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim penting sebagai persediaan kepada perjalanan Pelabuhan Tok Bali yang  bakal menjadi pelabuhan terpenting negara.

“Oleh sebab pelabuhan Tok Bali telah mula operasi, Kerajaan Negeri mulakan langkah segera untuk memajukan dan memudahkan proses perkembangan pelabuhan ini, kita membenarkan satu rombongan ini untuk mempelajari pelbagai aspek pelabuhan termasuk menangani hakisan pantai di pelabuhan,” katanya. - sumber