Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang peniaga kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan merosakkan bendera BN yang dipasang di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam minggu lepas.
  
Majistret Nurul Syahida Zainal membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery supaya waran tangkap dikeluarkan ke atas R.Chandran, 47, dari Taman Seri Muda, kerana gagal hadir di mahkamah.
  
Chandran bakal dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh hukum dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
  
Nurul Syahida menetapkan 16 Mei ini sebagai tarikh sebutan bagi mengetahui status waran tangkap dan seterusnya pertuduhan akan dibacakan terhadap peniaga itu jika beliau hadir.
  
Sementara itu GEORGE TOWN, dua pekerja parti dilapor diserang ketika memasang bendera parti di Jalan Perak tengah malam semalam.
  
Menurut jurucakap pilihan raya polis kontinjen negeri ACP Roslee Chik, mereka yang berumur 21 dan 53 tahun itu diserang sekumpulan individu menggunakan topi keledar dan kayu.
  
"Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala serta muka sehingga terpaksa menerima lebih 20 jahitan. Mangsa yang berumur 53 tahun itu koma, tetapi kini berada dalam keadaan stabil," katanya  kepada pemberita hari ini.
   
Sehubungan itu, polis sedang mengesan lima suspek berusia antara 20-an hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Roslee meminta saksi tampil membuat laporan.
    
Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Di SEREMBAN pula, polis sehingga kini menerima tujuh laporan berhubung perbuatan khianat yang dilakukan terhadap poster dan bendera pelbagai parti politik di negeri ini menjelang PRU13.
  
Jurucakap media bagi PRU13 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) negeri Superintenden Muhamad Hanifah Abdul Malek berkata antara perbuatan khianat itu adalah membakar dan mengoyak bendera serta melempar cat ke atas poster parti politik.
  
"Sejak 9 April lepas, ada tujuh laporan kes khianat diterima polis dan antara kawasan yang terlibat ialah Kuala Pilah, Jelebu, Port Dickson dan Nilai.
  
"Bagaimanapun, setakat ini, belum ada tangkapan dan polis sedang melakukan pemantauan di semua kawasan," katanya dalam  sidang akhbar di IPPK hari ini.
  
Beliau berkata mereka yang ditangkap melakukan perbuatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Muhamad Hanifah berkata semua penyelia atau ketua jentera parti politik pada PRU kali ini diminta memantau pergerakan anggota mereka agar tiada yang terlibat dalam perbuatan khianat itu.
  
"Anggota jentera parti politik juga dinasihat untuk menjaga keselamatan diri masing-masing agar tidak membahayakan diri ketika melakukan pemasangan bendera dan poster parti mereka," katanya.