Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, November 12, 2015

Rakyat tunggu kelainan dari Amanah

SOFI WAHAB
Parti Amanah Negara atau Amanah adalah parti baharu yang lahir hanya kira-kira sebulan lebih yang lalu. Ia ditubuhkan oleh bekas-bekas pimpinan PAS yang tewas pada Muktamar PAS Jun lalu. Mereka yang jumlahnya 18 orang ini telah menubuhkan sebuah parti paling bongsu iaitu Amanah.
Sewaktu Amanah dilancarkan pimpinannya dengan berani menyatakan parti mereka adalah inklusif, progresif, amanah dan sebagainya. Malah mereka juga mendakwa bahawa Amanah akan menampilkan suatu gaya baru yang jauh bezanya dari parti-parti yang sedia ada.
Pemerhati politik dan rakyat Malaysia terbanyak ternanti-nanti gaya politik baru tersebut. Apakah gaya baru ini dalam bentuk pentadbirannya, gaya kepimpinan, program dan aktiviti atau mungkin juga dasar perjuangan dan kaedah mendepani cabaran semasa. Atau mungkin gaya politik baru hanya dalam bentuk dalaman bukan luaran. Sedangkan apa yang paling penting ialah hubungan dengan rakyat dan orang ramai.
 Rakyat sebenarnya sudah muak dengan politik adu domba, perkauman sempit, politik subsidi, politik rasuah, politik ugutan dan seribu satu macam gaya politik lama yang jelas bertentangan dengan agama, tata susila manusia maupun undang-undang. Rakyat tidak mahu lagi melihat politik pura-pura, politiklakonan umpama drama, politik yang menjadikan sindrom penafian sebagai jalan keluar untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan rakyat.
Rakyat mahu mencari satu parti yang benar-benar menjunjung gaya dan cara politik baru yang merentasi bangsa, agama, status, ideologi dan sebagainya. Gaya politik yang meyakinkan serta disokong dengan fakta dan bukti bukan sekadar spin media yang mengubah yang salah menjadi betul, yang betul menjadi salah atau mengalihkan sesuatu isu dengan isu yang sengaja dicipta dan dispinkan oleh media.
Rakyat sudah jelak dan muak dengan politik menghukum dan menuding jari mempersalahkan dan melabel orang lain dengan pelbagai gelaran dan label. Mengklasifikasikan orang lain dengan gelaran munafik, syirik, kafir dan sebagainya. Sebagai pendakwah ahli politik sepatutnya menyimpan istilah-istilah tersebut di dalam hati mereka. Sebaliknya bermanis muka mendidik dan menerang serta memberi pencerahan jika tuduhan itu benar sekalipun.
Oleh kerana itu Amanah seharusnya tampil dengan tangkas memperagakan budaya politik baru yang ditagih oleh rakyat. Budaya politik yang tidak memfaraidkan rakyat dengan kelompok-kelompok bangsam agama dan sebagainya.
Amanah sewajarnya memikirkan produk-produk dan kaedah-kaedah baru mendekati rakyat dengan lebih santai dan ringan bagi menarik minat semua golongan yang sebelumnya tidak berminat dengan acara-acara yang serius dan berat bagi mereka.
Diharapkan dalam masa terdekat ini Amanah dapat membuktikan bahawa mereka adalah lain dari yang lain. Lain dari Umno, DAP, PAS, MIC, MCA, PBB, PBS dan sebagainya. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru yang tidak pernah dilakukan dan tidak pernah difikir untuk dilakukan.
Kita lihat kepimpinan Amanah sedikit demi sedikit telah berjaya mengikis politik yang bersifat bengis, marah-marah dan menghukum dalam ucapan dan tindakan mereka. Syabas dan tahniah.
Ramah bukan marah-marah
Politik adalah seni. Seorang ahli politik mesti faham dan mahir seni politik.  Jika tidak mereka tidak akan pergi jauh. Seni politik sukar dipelajari di bangku sekolah. Ianya dikutip melalui pengalaman menelusuri perjuangan politik. Seorang ahli politik yang hanya berpandukan buku sudah tentu kaku dalam meneruskan kerjaya politiknya. Seorang ahli politik yang mengutip seni politik di sepanjang perjalanan perjuangan politiknya sudah tentu mahir mendepani cabaran perjuangan politiknya.
Salah satu seni berpolitik ialah sikap ramah, mesra, mudah berkawan, tidak berdendam, berjiwa besar dan tidak marah-marah. Ramah ialah sikap terpuji di mana seseorang itu mudah didekati, senang berbicara dan mudah 'masuk kawan'. Seseorang yang ramah juga mempunyai seni berhubung dan berbicara dengan orang lain walaupun perbezaan sangat ketara antara mereka.
Seseorang ahli politik juga, wajib membuang dan mengelakkan sikap suka marah-marah, suka menghukum, suka berdendam dan pelbagai lagi sifat mazmumah. Jika seseorang itu suka marah-marah tanpa mengira waktu, masa dan waki' (keadaaan sekeliling) sudah tentu mereka sukar mencari kawan. Dalam konteks pilihanraya ahli politik yang suka marah-marah sudah tentu hilang kawan malah hilang sokongan.
Politik marah-marah menyebabkan kawan menjauhi kawan. Musuh makin bertambah dendam, penyokong membatalkan sokongan. Politik marah-marah bukan politik di alaf baru tetapi ia politik yang ketinggalan zaman. Walaupun sesuatu perbuatan itu tidak dipersetujui atau bertentangan dengan pegangan politik seseorang, ia bukan tiket untuk seorang ahli politik bersifat marah-marah.
Seni politik ramah dan tidak marah-marah mesti menjadi pakaian kepada kepimpinan Amanah di semua peringkat. Ia adalah sebahagian dari juzuk politik baru yang mesti disubur dan dibaja supaya semua pihak mengamalkan seni politik ini.
Amanah selatan pelopor politik baru
Amanah Negeri-negeri Selatan dan Pantai Barat mesti menjadi pelopor kepada pengamalan dan penghayatan politik baru yang penuh dengan kelainan ini. Komposisi penduduk yang majmuk ini sudah tentu menagihkan cara politik baru ini. Berbeza dengan waqi' negeri-negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu yang memang didominasi oleh orang Islam dan Melayu.
Amanah negeri-negeri Selatan wajar mempersiapkan kepimpinan dan jenteranya dengan ilmu-ilmu asas tentang politik baru dan politk ramah ini. Jangan ulangi kesilapan lama. Banyakkan diskusi, perbincangan, forum dan program-program santai yang menyentuh hati dan perasaan rakyat. Bantu dan selami masalah mereka semaksima mungkin. SELAMAT MERENCANAKAN POLITIK BARU.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa