Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, January 28, 2017

Alam mistik Haron Din

Mengenang alam mistik Haron Din
JUHAIDI YEAN ABDULLAH - 27 JANUARI 2017
Haron Din

ISNIN lalu (16 Januari), genap empat bulan Datuk Dr Haron Din kembali ke rahmatullah. Penulis pertama kali berjumpa beliau 34 tahun lalu ialah ketika bertugas di Jabatan Hasil Dalam Negeri, bawah Kementerian Kewangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Tuan Guru mengadakan kuliah mingguan di surau Blok 8A waktu rehat tengah hari yang dihadiri puluhan staf perkhidmatan awam. Waktu itu, beliau masih pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan giat mengadakan ceramah dan kuliah seluruh negara.

Dalam salah satu kuliahnya pada 1983, penulis terkesan dengan pengisahan beliau berjumpa Rasulullah SAW dalam mimpi. Kali kedua berlaku 10 tahun kemudian, ketika menjadi wartawan di New Straits Times.

Penulis diberi tugas membuat laporan khas mengenai alam roh dan makhluk halus serta sejauh mana penganut pelbagai agama mempercayainya.

Bagi memenuhi keperluan tugas, penulis berjumpa banyak pihak termasuk tokoh agama Islam, sami Hindu dan Buddha, paderi Kristian, penyelidik universiti, doktor perubatan dan pakar jiwa, pengamal perubatan Islam dan orang yang pernah mengalami.

Pelaporan ini tidak memerlukan penulis berjumpa bomoh, pawang, shaman, tukang jampi atau tukang tilik, justeru mereka tidak diwawancara. Untuk memahami alam roh dari perspektif Islam, penulis berjumpa beberapa kali dengan Dr Haron Din di Pusat Darussyifa’ di Bangi.

Antara yang diceritakan termasuk pengalaman mengendali beberapa kes tenat membabitkan kerabat istana, orang kenamaan dan pensyarah universiti akibat gangguan makhluk halus dan santau. Juga pengalamannya ‘berkomunikasi’ dengan makhluk halus

Tuan Guru juga menjemput penulis melihat sendiri pengubatan Islam dijalankan dua muridnya, Ustaz Sani dan Ustaz Salleh. Pada satu malam, penulis menyaksikan mereka mengubati seorang wanita yang mohon diselamatkan daripada gangguan dalaman.

Wanita yang pada mulanya lemah-lembut bertukar menjadi agresif bila pengubatan bermula, bercakap suara garau dan bila diberi minum air mineral yang dibaca ayat-ayat suci, mengeluarkan asap panas dari mulutnya!

Penulis juga teringat kisah Tuan Guru semasa UKM mula dibuka pada 1970-an. Ada sebatang pokok besar yang tidak boleh ditebang walaupun kontraktor telah membersihkan seluruh kawasan universiti yang luas itu. Pekerja dan mesin gergaji terpelanting ketika memotong pokok itu.

Khidmat beliau diminta, lalu dapat dilihatnya begitu banyak ‘makhluk asing’ ketika bermotosikal di situ. Rundingan terpaksa dilakukan dengan ‘kepala makhluk’ yang bermastautin di pokok itu, sehingga akhirnya bersetuju ‘dipindah’ ke tempat lain untuk membolehkan pembinaan UKM dimulakan.

Paling tidak dilupakan ialah kisah di Jambatan Pulau Pinang, yang menyaksikan banyak kes bunuh diri dan kematian akibat kemalangan dalam tahun-tahun awal siap pembinaannya.

Menurut Tuan Guru, beliau dihubungi ketua polis Pulau Pinang dan Kedah untuk membantu mengurangkan statistik kematian sebegitu. Penulis agak tergamam bila diceritakan bagaimana beliau selesaikan masalah itu tanpa perlu ke Pulau Pinang.

Dalam sebuah rumah di Selangor, beliau membaringkan muridnya dan mengeluarkan roh melalui ubun-ubun (atau ‘astro travel’). Roh itu dibawa secara batin ke Jambatan Pulau Pinang, dan melalui perantara ini, Tuan Guru berunding dengan ‘ketua makhluk’ di situ.

Seingat penulis, Tuan Guru menerangkan bahawa kewujudan lembaga yang banyak di situ adalah kerana upacara penyembelihan khinzir yang dibuat oleh kontraktor asing setiap kali fasa pembinaan siap.

Sesudah kontraktor balik negara asal dan sembelihan terhenti, makhluk-makhluk jadi kelaparan darah. Tidak seperti makhluk di UKM, makhluk Jambatan Pulau Pinang tidak mahu berunding. Lalu berlaku pergelutan, yang memerlukan Tuan Guru ‘meniup’ roh muridnya agar jadi besar dan kuat untuk mengalahkan makhluk itu.

Untuk sejenak ketika mendengar cerita Tuan Guru, penulis terpaku dan mungkin mulut pun terbuka. Melihat keadaan ini, beliau nasihatkan penulis berjumpa murid beliau bagi mengesahkan cerita itu. Bila ditanya, beliau meminta penulis ke Tingkat 25 di Menara Mara, Kuala Lumpur untuk jumpa sendiri muridnya itu. Penulis ke sana untuk mendapatkan identitinya. Murid yang dimaksudkan dalam kisah ini ialah Encik Ali Ahmad, ketika itu Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk (kini Tan Sri) Dr Yusof Nor.

* Penulis ialah CEO dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

1 comment:

  1. Negara lain termasuk negara islam
    (Contoh Dubai) pun bina mcm2 binaan yg lebih hebat drp kita. Tak ada dengar cerita2 mistik mcm ni pun. Melayu mmg senang dikelentong

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa