Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Sunday, January 22, 2017

Tempoh untuk PAS berbincang mengadakan kerjasama dengan HARAPAN sudah berakhir

'Kalau PAS tak nak, biarlah'
Alyaa Azhar      Hari ini, 1:01 tengahari
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh untuk PAS berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah berakhir.

"Kita telah buat keputusan, masanya sudah tiba dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU tak lama lagi," kata Dr Mahathir pada majlis dialog anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Titiwangsa dan Seputeh di Ampang, malam tadi.

Turut menjadi panel, pimpinan AMANAH, Datuk Husam Musa.

Dr Mahathir berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik, yang menjadi pengerusi program berkenaan.

Maszlee bertanya sehingga bilakah pakatan pembangkang memberi masa kepada PAS untuk bersatu dalam satu barisan menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Dr Mahathir, penyertaan BERSATU dalam HARAPAN bukan lagi berstatus "kemungkinan" sebaliknya ia sudah diputuskan pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Menurut bekas perdana menteri dan presiden Umno itu, BERSATU memberi lebih masa kepada PAS bagi membolehkan parti berkenaan memberi pandangan serta berbincang.

Selepas BERSATU menyatakan syarat yang dikehendaki, kata Dr Mahathir, PAS pula selepas sekian lama tidak memberi jawapan.

"Hasrat BERSATU, jika PAS tak nak sertai HARAPAN, BERSATU akan berada dalama Pakatan Harapan. Kalau PAS tak nak, (biar) tak naklah," katanya.

Tolak tidak, terima pun tidak

Pada masa sama Dr Mahathir mengulangi pandangan dikongsi hampir semua pembangkang, iaitu BN harus ditentang secara satu lawan satu pada PRU ke-14 nanti.

"Kalau boleh, kita mahu semua lima parti (pembangkang) berada dalam satu pakatan. Tetapi malangnya, PAS mempunyai pendiriannya sekali gus menyukarkan proses penyatuan.

"PAS kata tak akan bersama dalam satu gabungan yang ada DAP dan AMANAH. Tapi, tak ada dua parti ini maknanya tak adalah kelima-lima parti yang menentang BN.

"Jadi BERSATU sedang cuba untuk meyakinkan PAS supaya dengan adanya PAS dalam gabungan pembangkang, lebih besar kemungkinan untuk menang namun malangnya sampai hari ini tak dapat persetujuan walaupun ada beberapa perbincangan diadakan," katanya.

Menurut beliau, perbincangan sebelum ini diadakan tanpa melibatkan pimpinan tertinggi PAS.
"Perbincangan cuma di peringkat bawahan saja, (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) sama sekali tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan, dan hanya diwakili Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden) dan Datuk Mustafa Ali (Pengarah PAS pilihan raya).

"Mereka tidak menolak tapi dalam masa yang sama tidak juga menerima," kata Mahathir.

Pada Disember tahun lalu HARAPAN dan BERSATU memutuskan secara rasmi bersetuju membentuk pakatan pembangkang bagi menentang BN pada PRU akan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya telah memberikan beliau masa untuk berunding dengan PAS sehingga tahun ini bagi membentuk kerjasama dengan parti Islam itu.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, adalah penting untuk memahami sebab di sebalik keengganan PAS menyertai gabungan pembangkang.

"Kita kena faham kenapa PAS bersikap sedemikian. Kalau kita tak faham dia (PAS), kita akan diheret oleh PAS sehingga tarikh pilihan raya dan kita tetap dalam keadaan tidak bersetuju," kata Husam.

Memetik kertas strategik yang disediakan ilmuan PAS dan difahamkan dibentang dalam Majlis Syura parti berkenaan, Husam berkata, kedudukan parti berkenaan akan lebih strategik jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

Sebagai bekas pemimpin PAS dan seorang yang masih berhubung dengan orang PAS, Husam berkata, beliau mendapati "habitat" PAS telah berubah.

Katanya, PAS berfikiran demikian kerana telah "diikat oleh Rome" - merujuk kepada sejarah bagaimana kerajaan purba Rome akan sentiasa menghantar kuda untuk diberikan kepada tentera Islam yang sebelum pertempuran dan mereka berpuas hati dengan apa yang diterimanya.

"Pemimpin-pemimpin PAS hari ini mempunyai kereta besar, saya tidak tahu di mana mereka mendapat wang," kata Husam.

"Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat dua kem dalam PAS. Apabila mereka mahu berunding dengan pakatan pembangkang, mereka akan menghantar Tuan Ibrahim dan Mustafa sebagai diplomat.

"Tetapi yang membuat keputusan adalah pemimpin-pemimpin lain," katanya.

1 comment:

  1. dengan tamat nya tempoh untuk pas bergabung dengan pakatan harapan meletak kan pas dalam keadaan sangat gembira...
    iq akan di jadikan isu konon pakatan harapan menolak pas dan menjadi satu sebab besar untuk pas memulakan kerjasama gabungan dengan umno..
    mekasih pas..bergabung la semoga anda semua gembira

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa