Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, March 9, 2017

Malaysia bahan tawa dunia?

Isu Korea: Henti jadikan Malaysia bahan tawa dunia
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI - 8 MAC 2017
Kim Jong-un

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan digesa bersikap serius dalam menangani isu diplomatik, antara Korea Utara dan Malaysia.

Pengarah Pemikir Kaum Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Ahmad Anwar Asyraf berkata, kerajaan juga disarankan lebih tegas dalam menghadapi kemelut diplomatik ini.

"Jangan ulang kelemahan dan kesilapan dalam berhadapan misteri kehilangan MH370 lagi.

"Cukuplah menjadikan Malaysia bahan tawa dunia dengan kelemahan risikan dan keselamatan negara. Rakyat juga perlu berani untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bercakap benar dalam isu ini,"' katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hubungan antara Malaysia-Korea Utara kini memasuki episod baharu apabila kedua-dua buah negara bertindak membekukan perjalanan keluar, sama ada rakyat Malaysia di Korea Utara atau rakyat Korea Utara di Malaysia.   

[ARTIKEL BERKAITAN: Korea Utara sekat rakyat Malaysia keluar negaranya]

Terdahulu, memetik laporan Reuters, larangan itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia ekoran krisis diplomatik yang berlaku antara kedua-dua negara selepas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Namun menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican , difahamkan 11 rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang ancaman diterima oleh mereka di sana.

[ARTIKEL BERKAITAN: 11 rakyat Malaysia di Korea Utara selamat]

Seramai 11 orang warga Malaysia itu terdiri daripada tiga orang kakitangan kedutaan Malaysia, dua daripadanya adalah individu yang bekerja dengan World Food Programme di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka.

Ujar Ahmad Anwar lagi, mengimbas mengenai hubungan Malaysia-Korea Utara,ramai  rakyat tidak mengetahui hubungan diplomatik yang telah terjalin di antara kedua dua buah negara berkenaan selama ini.

"Selama bertahun-tahun, Korea Utara telah menikmati banyak kebebasan apabila menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.

"Rakyat mereka diberikan kebebasan untuk melawat, bekerja dan tinggal di Malaysia. Walaupun Korea Utara dianggap 'jahat' oleh sebahagian besar dunia hari ini tetapi Malaysia tetap menjalin hubungan dan memberikan keistimewaan kepada Korea Utara atas pertimbangan ekonomi dan sebagainya," katanya.

Katanya lagi, rakyat  perlu sedar bahawa selain hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Malaysia juga mempunyai hubungan perdagangan dengang dengan negara itu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut perihal itu katanya, apa yang perlu diberi pertimbangan kini adalah bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara.

"Ayuh, rakyat Malaysia, bersama-sama kita menjadi benteng mempertahankan kedaulatan negara.

"Ayuh, kita doakan keselamatan saudara-saudara kita yang menjadi tebusan rejim Pyongyang. Kita perlu berganding bahu bersama Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas menyelamatkan rakyat Malaysia di sana," katanya.

Ujarnya lagi, maruah kedaulatan Malaysia sedang dicabar, jadi ketepi perbezaan kita untuk berdiri bersama-sama pertahankan negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa