Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, September 5, 2012

Rakyat Bukan Buta: Saya Setuju Bahkan Rakyat Lebih Berotak Lagi!

Majoriti rakyat benci kebiadapan penyokong pembangkang
September 05, 2012

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Perbuatan memijak gambar pemimpin negara serta mempamerkan bendera baharu kononnya pengganti kepada Jalur Gemilang menunjukkan ketidakmatangan penyokong pembangkang dan menambahkan kebencian rakyat kepada mereka.

Penolong Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Kuala Muda, Kedah Ahmad Fayadh Abdul Manap berkata insiden tersebut tidak patut berlaku meskipun rakyat di negara ini bertentangan haluan politik.
“Rakyat harus sedar bahawa pemimpin negara dipilih oleh mereka sendiri melalui sistem demokrasi. Sebagai rakyat kita harus hormat kepada pemimpin dan sama sekali tidak wajar untuk kita memperlakukan pemimpin negara seperti itu.

“Berhubung isu mempamer bendera lain sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang, mereka ini harus sedar bahawa Jalur Gemilanglah lambang kemegahan kita dan bendera yang selama ini menyatukan rakyat Malaysia yang majmuk di bawah satu payung negara,” katanya kepada Bernama.

Insiden memijak gambar pemimpin negara dan meminta Jalur Gemilang diturunkan serta digantikan dengan bendera lain berlaku pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Ahmad Fayadh berkata kumpulan yang bertindak demikian perlu memuhasabah diri mereka dengan menilai peranan dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh pemimpin negara yang sekian lama bertungkus lumus membangunkan Malaysia.

Sementara itu guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Serting, Jempol, Nurhayati Zainudin berkata sebagai seorang pendidik beliau kesal dengan tindakan individu dewasa terlibat yang jelas mempunyai mentaliti rendah.

“Kenapa perlu pijak gambar pemimpin negara terutama ketika rakyat gembira dengan sambutan Hari Merdeka? Golongan ini mempunyai mentaliti yang sangat rendah dan tidak boleh berfikir dengan rasional atas tindakan mereka.

“Negara dah capai kemerdekaan selama 55 tahun dan kita rakyat hidup dalam keadaan rukun dan damai... tidak kisahlah kita sokong parti politik mana, apa yang utama tidak sepatutnya kita menggunakan pendekatan secara tidak matang seperti itu,” katanya.

Nurhayati berkata perbuatan tersebut juga sama sekali tidak menggambarkan bahawa masyarakat negara ini telah merdeka dari aspek pemikiran selain masih gagal membezakan antara kepentingan ideologi politik dan kepentingan negara.


Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengecam tindakan berat sebelah dan sikap memilih yang diamalkan oleh Barisan Nasional dalam menangani isu beberapa anak muda memijak potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu sambutan ambang Kemerdekaan dan meminta Polis Di Raja Malaysia agar mengambil tindakan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana pernah memijak potretnya satu ketika dahulu. — Gamba fail

Pengerusi MCA Bahagian Bandar Tun Razak Chiew Lian Keng pula menyifatkan suasana politik pada masa kini menjadi semakin buruk apabila sentimen cacian dan hinaan seolah-olah “trend” baru dalam usaha pembangkang meraih undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Perbuatan memijak gambar pemimpin dan menukar bendera adalah satu sikap yang sangat biadap malah ia bukan melambangkan sikap warga negara yang cintakan tanah air, sedangkan kita sebagai warga Malaysia perlu menghormati kedaulatan negara.

“Sikap seperti ini samalah seperti mereka telah mempermainkan maruah bangsa dan negara di mana mereka dilahirkan dalam aman, membesar dalam sejahtera dan menikmati kehidupan makmur,” katanya kepada Bernama.

Katanya tindakan peserta perhimpunan yang bertindak tidak ‘berbudaya’ itu memperjelaskan kegagalan pembangkang untuk memastikan penyokong mereka lebih bertamadun serta menghormati pelembagaan dan undang-undang negara dan juga menghormati orang yang lebih tua.

“Negara tetap negara....perlu ditumpahkan taat setia kita. Gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihormati bukan untuk dipijak atau dihina,” katanya sambil menambah sikap kurang ajar segelintir pihak itu boleh menjejaskan keharmonian negara.

Presiden Persatuan Komuniti Kepolisan Selangor Kuan Chee Heng berkata sikap biadap peserta perhimpunan itu memperlihatkan semangat patriotisme semakin hilang dalam kalangan penyokong yang dipergunakan oleh pembangkang.

“Adakah mereka lupa tentang asal usul sejarah negara? Bagaimana susah-payah nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan selepas dijajah? Keharmonian dan perpaduan yang musnah bukan mudah dibina semula jika kita gagal untuk menjaganya,” katanya.

Beliau dukacita kerana walaupun penguatkuasaan undang-undang sedia ada memperlihatkan ketegasan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan keharmonian negara terjamin, namun masih ada segelintir individu yang sengaja mencabar institusi perundangan dan penguatkuasaan.

Namun beliau percaya, majoriti rakyat faham bahawa tindakan biadap itu adalah agenda pembangkang yang mahu mencetuskan suasana buruk dan memberikan imej buruk terhadap Malaysia.

Menurut Kuan rakyat boleh menilai baik buruk sesuatu parti itu apabila penyokong pembangkang membuat pelbagai provokasi.
“Kita tunggu dan lihat pilihan raya akan datang ini, rakyat bukan buta. Mereka akan menolak kebiadapan itu,” katanya. — Bernama

1 comment:

  1. kebiadapan pembangkang nampak tetapi kebiadapan penyokong kerajaan yang lebih lagi tak nampak apa la punye orang berat sebelah

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa