SEPTEMBER 03, 2013
Dua aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam kerana mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 di Dataran Merdeka dibebaskan awal pagi ini.
Malam tadi, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut akta itu.
“Tuduhan kibar bendera Sang Saka di bawah Akta Hasutan. Polis datang geledah rumah. Bebas di rumah jam 3 pagi dengan seorang penjamin. Tunggu siasatan sama ada ke mahkamah atau tidak,” kata Hishamuddin dalam satu kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider awal pagi ini.
“Ini kerana suasana sejak 2008 pada hemat saya sebagai seorang pemerhati politik sama seperti suasana pada ketika Putera-AMCJA, maka Sang Saka dikibarkan,” katanya merujuk kepada dua gabungan politik kiri terbesar di Malaya sebelum penjajah British menghancurkannya pada tahun 1948; Pusat Tenaga Rakyat dan All-Malaya Council of Joint Action yang beliau anggap hampir menyamai gabungan politik PKR, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).Dalam wawancara bersama The Malaysian Insider sebelum ini, Hishamuddin menjelaskan bendera Sang Saka Malaya dikibarkan kerana suasana politik tanah air pada ketika ini, mirip kepada keadaan Malaya sebelum penjajah British melancarkan Darurat pada tahun 1948.
“Apabila mereka melancarkan Perlembagaan Rakyat, mereka juga melancarkan Sang Saka sebagai bendera kepada Tanah Melayu merdeka. Bila saya cakap tentang Tanah Melayu merdeka itu Tanah Melayu merdeka bersama-sama Singapura.”
Menurut Hishamuddin, Putera-AMCJA ditakuti British pada ketika itu kerana gabungan itu mahukan Malaya (nama Semenanjung Malaysia sebelum 1963) merdeka 100 peratus dan kepentingan penjajah itu akan hilang jika dibiarkan menang.
“Salah satu clause fasa yang ada dalam Perlembagaan Rakyat yang saya anggap paling penting untuk saya ialah, ‘sesiapa sahaja yang menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah tumpah darahnya mereka akan ditakrif sebagai Melayu.’
“Ini adalah satu klausa yang radikal pada 1947. Iaitu kita menerima Cina, kita menerima India, kita menerima sesiapa saja. Kalau dia hendak duduk berpayung di Persekutuan Tanah Melayu ini maka dia akan dianggap Melayu, dianggap Malayan. Tapi konsep ini menakutkan penjajah British ketika itu,” katanya.
Semalam Polis Kuala Lumpur menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh memberitahu Bernama, pasukan khas itu akan menyiasat insiden itu daripada pelbagai sudut dan membuka kertas siasatan berhubung insiden itu.
Selain itu, tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Hishamuddin berhubung insiden mengibarkan bendera itu.
Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Jalan Kasipillay sementara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay menyifatkan perbuatan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang ketika negara meraikan sambutan kemerdekaan sebagai tidak boleh diterima dan menyinggung perasaan rakyat.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya pula berkata perbuatan itu menghina kedaulatan negara dan tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku.
“Mana lebih tidak patriotik? Meruntuhkan Stadium Merdeka, meruntuhkan Stadium Negara tempat yang mempunyai sejarah merdeka adakah itu langkah patriotik?
“Mereka lupa, bendera rasmi United Malay National Organization itu Sang Saka. Bendera rasmi parti PAS itu Sang Saka. Bendera Singapura ini Sang Saka. Bendera daripada Indonesia itu Sang Saka. Sang Saka ini memang dari dulu bendera kepulauan Nustantara,” kata Hishamuddin.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berkata polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera "Sang Saka Malaya" jika ada laporan dibuat mengenainya.
Beliau menegaskan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia.
Mengulas mengenai kumpulan yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" pada sambutan ambang Merdeka di Dataran Merdeka Jumaat lalu, beliau berkata, pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden itu harus membuat laporan polis.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara, soal mempertikai bendera kebangsaan harus dielakkan. – 3 September, 2013
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa