Allahyarham Azizan dipanggil 'Pakcik'
29 September 2013
Rumah Azizan di Jalan Sultanah, Alor Setar dilanda banjir pada 2011
“ASSALAMUALAIKUM!” Laung seorang anak muda sambil tertinjau tinjau di sisi bangunan di pinggir Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan jalan Alor Setar - Sungai Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.
Seketika kemudian, kedengaran suara salam dijawab dari belakang bangunan dua tingkat itu. Anak muda yang bertubuh tinggi, berambut lebat segera mencari arah datangnya suara.
Tiba di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di satu ruang yang pintunya terbuka. Seorang daripada mereka – kelihatannya seperti yang paling tua - berbaring di pangkin.
“Saya Rizal, skuad Sinar (Harian) baru di kawasan Yan,” kata anak muda itu dengan senyuman seperti dipaksa.
Dia dipersilakan masuk.
Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: “Hang tau dak saya ni sapa?”
“Minta maaf pakcik, saya tak tau ...,” jawab si anak muda, jujur.
“Tak pa, hang boleh tanya depa ni,” balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.
Barang kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian berkata: “Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah.”
Anak muda itu hilang kata-kata!
Dia seperti tidak percaya.
“Saya bukan tak kenal MB Kedah, Che Mat, tapi hari tu dia nampak lain sangat. Dengan baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik,” kata Rizal mengimbas peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.
Ya, mungkin ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sepanjang jadi Menteri Besar Kedah tidak pernah menghuni Seri Mentaloon. Kediaman rasmi MB yang tidak berapa jauh dari Istana Anak Bukit itu hanya diguna untuk acara rasmi.
Dan orang Alor Setar, juga seluruh Kedah rata-ratanya tahu bahawa sebaik sahaja Ustaz Azizan naik mengetuai kerajaan negeri, dia terus memulakan tradisi kuliah agama mingguan pada setiap Sabtu di dewan kediaman rasmi itu.
Sepanjang jadi MB, Azizan terus tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu. Di Alor Setar, dia tinggal di sebuah rumah lama di Jalan Sultanah yang dibeli daripada
keluarga mertuanya.
Menarik ceritanya, rumah itu dahulunya tidak berpagar. Selepas dilantik jadi Menteri Besar, Azizan mahu mengekalkan keadaan itu – rumah tanpa pagar – namun atas sebab keselamatan, dia dinasihatkan supaya dirikan juga pagar di sekeliling rumahnya.
Namun Azizan meletakkan syarat, untuk pemasangan pagar itu, dia mahu guna wang sendiri, bukan dibiayai oleh kerajaan!
Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.
Setiausaha akhbarnya, Helmi Khalid pernah menceritakan, Azizan jika mahu beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai biasa di Pekan Simpang Empat Kangkong, di selatan Alor Setar.
“Dia selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor. Kata dia, baju, seluaq di kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand macam tu,” kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya berharga tidak lebih RM20 sehelai.
Selain Kedai Timor, Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.
“Satu hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru perasan tengok muka Ustaz di TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang besaq.
Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual,” katanya.
Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan!
Tidak lama dulu, saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang, Bangi.
Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.
Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, “mai makan kenuri sudah naa, jangan dok buat berita buh dalam surat habaq.”
Selepas makan, saya bertanya kepada setiausaha politiknya, Sanusi Mohd Noor, apa sebab Ustaz tak buat kenduri di Alor Setar?
Jawab Sanusi: “Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB. Kali pertama di Kedah. Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari beberapa orang exco RM20,000 seorang.
“Kali ni dia tak sanggup nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja,” katanya.
Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.
“Sebagai menteri besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko.
Mungkin ada yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah. Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam pentadbirannya,” katanya.
INNALILLAHIWAINNA
ILAIHIROO'JIUN.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa